Ulama ni dinobatkan Tokoh Maal Hijrah kategori antarabangsa, siapa dia?

Asa

Baru-baru ni bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA), Datuk Seri Dr Zaini Ujang, diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1441H/2019M. Ketua Majlis Fatwa Emiriah Arab Bersatu, Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah pulak diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

Pengumuman tu dilakukan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan bertema ‘Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ kat Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Via Astro Awani

Secara jujur, kami pun tak berapa kenal dengan kedua-dua tokoh yang menang ni, jadi kami pun buatlah sedikit bacaan. Kami nak fokus untuk penerima anugerah kategori antarabangsa, sebabnya di peringkat antarabangsa, nama Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah ni bukanlah sesuatu yang asing. Malangnya, kat Malaysia ni ramai yang tak kenal sangat (termasuk kamilah tu, huhu)…

Pernah jadi Menteri Pendidikan, Menteri Kehakiman, dan wakil Presiden Mauritania

Macam yang kami tulis kat atas, nama penuhnya adalah Abdullah bin al-Syaikh Mahfuz bin Bayyah. Dia dilahirkan pada tahun 1935, di Timbedra, Miuritania. Dia dapat jolokan “Ustaz al-Jail” (guru generasi), semasa dia berkhidmat di Bahrain.

Bapanya, Syaikh Mahfuz adalah salah seorang ulama terkemuka di Mauritania yang pernah jadi Qadhi di Wilayah al-Haoud al-Syarqi, bapanya meninggal pada tahun 1973. Bapanya merupakan guru pertama yang dia dapat ilmu, dan Syaikh Muhammad Salim Ibn al-Syin dalam pengajian ilmu bahasa arab dan al-Syaikh Bayyah bin al-Salim al-Masumi dalam bidang Ulum al-Quran dan beberapa orang ulama-ulama terkemuka di Mauritania jadi gurunya.

Semasa muda, ulama bermazhab Maliki ni tinggal di Tunisia untuk dalami hukum-hukum melibatkan perundangan. Sekembalinya dia ke Mauritania, dia dilantik jadi Menteri Pendidikan dan kemudiannya jadi Menteri Kehakiman. Malahan, dia pernah jadi wakil Presiden bagi Presiden pertama Mauritania.

Via BebasNews

Dia pernah jadi timbalan Kesatuan Ulama Sedunia dan tarik diri dari jawatan tu pada tahun 2013. Dia masih anggota dari Dewan Penelitian dan Fatwa Eropah yang berpusat di Dublin, satu dewan ulama yang terarah pada usaha jelaskan hukum-hukum Islam yang sensitif terhadap kehidupan muslim Eropah, dan terkini dia menubuhkan Forum memperkasakan keamanan dalam kalangan masyarakat Islam.

Ucapannya selepas menerima anugerah memang padu, tegaskan Islam adalah agama rahmat…

Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah menyeru umat Islam supaya tak menyebarkan sesuatu kat media sosial yang boleh musnahkan kedamaian dan keharmonian dalam kalangan umat Islam.

Dia turut nasihatkan umat Islam supaya sentiasa utamakan keamanan melalui dasar rahmah supaya tidak timbul kekecohan lebih-lebih lagi dalam cabaran dunia semasa Islam dengan media sosial dan fitnah akhir zaman.

Media sosial. Via Giphy

“Usaha yang dibawa oleh kerajaan Malaysia hari ini melalui dasar rahmatan lil alamin dan maqasid syariah adalah tepat pada masa dan tempatnya. Saya menyeru supaya usaha ini disambut oleh semua pihak di negara ini tidak kira peringkat umur dan bangsa,” – katanya  selepas majlis sambutan Maal Hijrah, seperti yang dilaporkan Utusan

Dia juga akan wujudkan satu kerjasama bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa selepas ni untuk promosikan kedamaian dan keamanan kepada dunia Islam. Kami tertarik juga dengan beberapa kandungan ucapan yang dia berikan ketika menerima anugerah tu. Antaranya, dia kata;

Islam adalah agama rahmat. Untuk memasuki syurga, seorang Muslim perlukan keimanan yang baik dan ia tidak sempurna tanpa sifat kasih sayang. Begitulah pentingnya rahmat. Bumi Malaysia mengenali rahmat sejak era Islam mula sampai ke tanah air ini. Setiap zaman ada cabaran khusus.

Via Khabar Siyasah

Kewajiban berbeza-beza sepanjang zaman ini terhasil daripada realiti semasa yang terikat dengan kemaslahatan dan kemudaratan. Cabaran hari ini ialah menangani sikap melampau dalam kehidupan. Kewajiban masa kini ialah mempromosi keamanan, membina ketenangan dalaman dan membasmi terrorisme serta ekstremisme.

Kita hari ini tiada pilihan melainkan hidup bersama di dunia ini bersama dengan kelompok lain yang bukan seagama dan dari kaum berbeza.

Iman seseorang tak akan sempurna tanpa kasih sayang

Selepas ni kami akan terbitkan lagi beberapa artikel tentang Shaykh Abdallah Shaykh Al-Mahfoudh Bayyah, memandangkan gagasan pemikiran yang dia bawa amat sesuai dengan keadaan yang ada di Malaysia. Kami rasa apa yang dia katakan tu benar; Islam sememangnya agama rahmat. Untuk masuk syurga, seorang Muslim perlukan keimanan yang baik dan ia tak akan sempurna tanpa sifat kasih sayang.

Bahagian ‘Pernah jadi Menteri Pendidikan, Menteri Kehakiman, dan wakil Presiden Mauritania’ diambil dan diolah dari kertas kajian Ustaz Wan Ji Wan Hussin yang menamatkan pengajiannya di Universiti Al-Azhar, Mesir (Ijazah Syariah Islamiyyah) dan memperolehi Sarjana Sastera di Universiti Malaysia Kelantan (kajian Maqasid Syariah). Kini dia berkhidmat sebagai Pengarah Akademik di SAUDARA (NGO).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *