Lima artis yang pernah bercinta dan hampir nak kahwin, tapi tak jadi

Korang mesti pernah dengar tentang rakan ataupun keluarga sendiri yang dah bertunang dan bercinta lama dengan kekasih tetapi pada akhirnya tak jadi kahwin kan? Kalau korang nak tahu, benda tu pun dah biasa terjadi kat artis di negara kita tau. Siap ada yang tengah menunggu hari perkahwinan jer lagi. Saja je bagi korang artikel kali ni yang relaks sikit, takdelah korang asyik baca artikel yang buatkan korang berfikir panjang. Hari ni kita nak imbas sedikit tentang beberapa percintaan yang tak menjadi.

Kami bukan setakat nak kenang kisah cerita cinta orang yang tak menjadi, tapi kami jugak nak beritahu korang yang putus cinta ni tak semestinya menjadi pengakhiran dalam kehidupan kita. Apa yang penting – kita kena positif dan teruskan kehidupan…

1. Dazrin dan Amyra Rosli, sepatutnya kahwin Ogos 2014, tapi dibatalkan

Korang mesti kenalkan dengan pelakon Dazrin dan Amyra Rosli? Alah, Amyra Rosli yang memegang watak Nur tu. Dazrin dan Amyra Rosli telah lama menjalinkan hubungan dan mereka berdua telah pun melangsungkan pertunangan mereka pada 25 ogos 2013. Dazrin dan Amyra Rosli yang sepatutnya berkahwin pada 8 ogos 2014 akhirnya mengambil jalan berpisah dan pertunangan mereka berdua hanya mampu bertahan selama setahun sahaja.

Via MStar

Namun demikian, sehingga kini tidak ada lagi kenyataan rasmi daripada kedua-dua pihak mengenai punca mereka berdua putus tunang. Ada yang kata mereka berdua ni putus tunang akibat kontroversi yang mengaitkan seseorang yang bernama Ramona Zam Zam. Korang rasa apa kaitan Ramona erk dalam isu putusnya pertunangan mereka berdua ni?

2. Awie dan Erra Fazira, ini boleh dikatakan satu Malaysia dah tahu

Bagi generasi 1990-an, korang pasti dah tahu tentang kisah percintaan antara Awie dan Erra Fazira yang sangat hangat pada suatu masa dulukan? Awie dan Erra Fazira pernah menjalinkan hubungan cinta selepas mereka berdua membintangi filem “Sembilu” terbitan Skop Production pada masa tu sebelum mereka mengikat tali pertunangan pada tahun 1996.

Via Astro Gempak

Bagaimanapun, tali pertunangan yang mereka bina itu tidak mampu bertahan lama apabila Awie dan Erra Fazira telah membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan mereka yang mana pada akhirnya Awie telah mengahwini seorang penyanyi iaitu Arni Nazira pada Disember 1998. Namun, perkahwinan itu juga tidak dapat bertahan lama dan akhirnya berakhir dengan penceraian pada tahun 2006. Erra pula pernah berkahwin pernah berkahwin sebanyak dua kali, dan kedua-duanya berakhir dengan perceraian.

Tapi kita boleh nampak kedua-duanya berjaya dalam bidang masing-masing…

3. Zizan Razak dan Emma Maembong, pasangan paling hot ketika tu

Siapa yang tak kenal dengan pasangan yang pernah menjadi satu fenomena besar suatu ketika dulu kerana dua-dua kelihatan seperti pinang dibelah dua. Untuk pengetahuan korang semua, Zizan dan Emma mula menjalinkan hubungan pada awal tahun 2014 dan ada dakwaan yang menyatakan bahawa pasangan ini akan berkahwin. Namun, pada Januari 2015 pasangan ini telahpun disahkan putus cinta akibat tiada persefahaman antara mereka berdua.

kredit gambar : hotlips corner

“Sebagai manusia biasa pasti akan diberi dugaan dalam hidup dan saya tidak terkecuali. Masalah ini tidak mengganggu saya sebaliknya saya terima dugaan ini dengan tenang,” kata Zizan.

Sabar eh Zizan dan Emma, insya-Allah korang akan dapat pasangan yang lebih baik. Dua-dua pun nampaknya dah makin berjaya dalam kerjaya masing-masing.

4. Hans Isaac dan Neelofa, sekarang cuma kawan biasa

Korang mesti kenal dengan Hans Isaac dan Neelofa kan? Kisah hubungan cinta antara Hans Isaac dan Neelofa yang sebelum ini banyak memberikan teka-teki kepada pihak lain akhirnya bertemu titik noktah pada sekitar tahun 2014. Neelofa sendiri telah membuat pengakuan bahawa hubungan dua tahunnya bersama Hans Isaac yang merupakan pelakon, pengarah dan penerbit itu sudah pun berakhir.

Via Astro Gempak

Menurut Neelofa, dia tidak mahu hidupnya akan dibayangi terus dengan nama Hans Isaac sedangkan hubungan mereka berdua telah berakhir. Di samping itu, Neelofa juga mengakui bahawa mereka berdua kini hanyalah kawan dan spekulasi mengenai dirinya dan Hans Isaac akan berkahwin adalah tidak benar sama sekali.

5. Sufian Suhaimi dan Elfira Loy, dua-dua dah berjaya dalam kerjaya diorang

Amat mustahil jika korang tak mengenali dua artis ni kan? Mana tidaknya, tahun 2019 ni memang hangat isu tentang kisah pertunangan antara Sufian Suhaimi dan Elfira Loy yang terputus di pertengahan jalan. Sufian Suhaimi dan Elfira Loy telah pun bertunang pada 6 Oktober 2017 bertempat di kediaman Elfira di Cheras, Kuala Lumpur. Kalau korang semua nak tahu, pertunangan mereka berdua ni berlangsung hasil daripada perkenalan mereka berdua yang kurang daripada setahun tau dan mereka berdua menyatakan akan berkahwin pada bulan Mac 2018 yang mana bersempena bulan kelahiran Elfira sendiri.

Namun, hubungan antara Sufian Suhaimi dan Elfira Loy nampaknya hanya putus di pertengahan jalan sahaja dan hal ini sekaligus menarik minat ramai netizen kerana selepas sahaja Elfira memutuskan ikatan pertunangannya dengan Sufian, tidak lama kemudian Elfira telah pun berkahwin dengan seorang lelaki yang bernama Faris Khairol Anuar yang merupakan anak kepada seorang usahawan bergelar Datuk. Keadaan menjadi lebih panas lagi apabila Sufian Suhaimi berjaya membuatkan netizen sebak melihat keadaan Sufian saat dia menggunakan props pelamin yang seakan-akan sama dengan pelamin perkahwinan Elfira dengan Faris. Sampai ada artis yang turut menangis tau.

Via Berita Harian

Tak ada apa yang nak dimalukan dengan putus cinta, ia sepatutnya menguatkan, bukan melemahkan

Bercinta dan berpisah ni lumrah sebenarnya. Ia adalah sebahagian daripada kehidupan, takde apa yang nak dimalukan dengan putus cinta atau putus tunang. Kalau korang tengok, ramai je pasangan dalam senarai yang kami bagi ni – putus cinta dan kemudian kedua-duanya berjaya dalam kehidupan masing-masing. Jadi kalau korang putus cinta, jangan putus harapan. Bak kata Muluk dalam filem Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck; cinta itu menguatkan bukan melemahkan. Ramai orang tewas dalam percintaan tapi diorang berjaya.

So, kalau putus perhubungan, ambik masa dan recover. Jangan layan fikiran yang bukan-bukan – macam nak bunuh diri atau nak cederakan diri. Ingat, ramai yang sayang korang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *