Umum mengetahui bahawa kos sara hidup pada hari ini semakin meningkat. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bekerja di bandar-bandar besar. Namun apa yang lebih membimbangkan ialah kenaikan harga barangan makanan. Cuba korang bayangkan, harga sepinggan nasi dan seketul ayam goreng boleh mencecah sehingga RM12. Mahal tak? Kali ni kami akan kongsikan kepada korang tentang senarai makanan yang paling mahal yang ada kat dunia.
Nasib baiklah makanan-makanan yang kami sebutkan ni bukan makanan asas, kalau ia makanan asas, memang ramailah yang akan mati kebulur akibat tak mampu beli. Jadi mari kami “hiburkan” korang dengan senarai makanan mahal yang ada kat dalam dunia.
1. Cendawan Matsutake, harga mahal gila sampai boleh cecah RM6.5k. Cendawan ni mungkin tak tumbuh selepas hujan
Cendawan adalah merupakan sejenis kulat yang amat mudah untuk didapati di mana-mana pasar. Pada kebiasaannya, harga sepaket tidak melebihi RM10 sahaja pun. Namun, kalau korang nak tahu terdapat sejenis cendawan yang boleh mencapai harga RM6,500 untuk sekilo tau.
Nama candawan tersebut adalah cendawan Matsutake. Apa yang menyebabkan cendawan matsutake ini menjadi mahal adalah proses pencariannya yang amat merumitkan. Gelaran bagi mereka yang mencari cendawan ini pula akan digelar sebagai pemburu dan ada juga segelintir daripada mereka yang terpaksa menggunakan anjing peliharaan sebagai salah satu alternatif untuk memburu cendawan tu kerana kawasan cendawan ini tumbuh dikelilingi dengan semak samun serta hutan yang tebal.
Apa yang lebih menarik ialah ada yang sampai menggunakan helikopter semata-mata hanya untuk mencari cendawan ini. Dahsyat bukan?
2. Caviar, harga sekilo dah boleh beli kereta mewah. Padahal, telur ikan je pun
Bagi mereka yang tak tahu apa itu caviar, ia sebenarnya adalah telur ikan. Telur ikan ni bukan macam telur ikan yang biasa kita tengok dan makan tu tau. Telur ikan ni agak unik dan mahal kerana ianya datang daripada spesis ikan sturgeon putih iaitu ikan yang mendiami kawasan laut Eurasia.
Untuk pengetahuan korang, Caviar ni sebenarnya ada banyak jenis tetapi yang paling mahal adalah Beluga Caviar atau lebih dikenali dengan nama Black Caviar. Black Caviar adalah telur daripada ikan sturgeon putih yang hanya boleh didapati di Laut Caspian di negara Iran. Harga bagi Beluga Caviar ini adalah RM136,000 untuk sekilo sahaja. Bayangkan berapa banyak jenis makanan yang lain yang korang boleh dapat dan beli dengan harga tersebut?
3. Kopi Luwak yang sebabkan banyak musang mati akibat kekurangan nutrisi
Mesti ramai di antara kita yang gemar minum kopi kan? Alah, macam kopi Starbucks dan lain-lain tu lah. Tapi, korang pernah tak dengar nama kopi luwak iaitu kopi yang paling mahal kat dunia yang mana harga sekilogram kopi luwak ini boleh mencecah RM400 hingga RM2,000 tau. Untuk pengetahuan korang, harga kopi ni mahal disebabkan ianya dihasilkan daripada tahi musang. Pelik bukan najis dijadikan minuman?
Kopi Luwak diperbuat hasil dari sejenis musang yang diberi nama luwak yang memakan biji kopi. Biji kopi tersebut akan dihadam dan akan dikeluarkan semula melalui duburnya. Kopi jenis ini banyak di proses di negara jiran kita iaitu di Indonesia. Musang luwak ini telah diternak secara meluas tetapi binatang-binatang ni tersiksa disebabkan diet seharian mereka hanyalah semata-mata biji kopi. Disebabkan hal itu, banyak musang luwak yang diternak akhirnya mati kerana tidak mendapat diet yang betul.
4. Pizza James Bond, harga dia sampai RM15K. Baik duit tu buat kahwin
Sebut saja pizza, mesti ramai daripada korang yang akan terfikir tentang Pizza Hut dataupun Domino’s Pizza kan? Tidak diragui bahawa kedua-dua jenis ini memang sangat sedap dan mempunyai harga yang berpatutan tetapi kalau ada sekeping pizza yang berharga RM15,530 korang sanggup tak nak beli?
Di New York, seorang chef yang bernama Domenico Crolla telah mencipta sekeping pizza yang bersaiz dua belas inci dengan menggunakan ramuan dan bahan-bahan yang termahal di dunia dan pizza tersebut diberi nama Pizza Royale 007. Diinspirasikan daripada filem James Bond, bahan utama pizza ini adalah daging rusa, caviar yang direndam dalam champagne dan udang karang yang diperap dengan arak brandy. Untuk memahalkan lagi pizza tersebut, Crolla menabur kepingan daun emas sebanyak 24 karat di atas pizza itu dan disebabkan itulah harganya menjadi sangat mahal.
5. Mee Sup, tak sama dengan harga yang kita selalu makan dekat mamak
Mee sup merupakan salah satu makanan ruji di Malaysia. Paling mahal berkemungkinan kita akan membayar sebanyak RM10 je kan. Cuma, adakah korang mahu memakan mee sup jika ianya berharga sebanyak USD5,000? Cuba korang tukarkan nilai mata wang dollar tu kepada ringgit malaysia. Sangat mahal bukan?
House of Art merupakan sebuah restoran di Vietnam telah memperkenalkan semangkuk mee sup yang dinamakan sebagai An Qi Pho. Kalau korang tengok, ianya memang kelihatan hanya seperti mee sup biasa, tapi untuk An Qi Pho, segala ramuan mahal digunakan untuk menghasilkannya. Kalau korang nak tahu, mee yang digunakan diperbuat daripada daging udang karang yang dihiris nipis.
Selain itu, resepi ini juga menggunakan daging lembu wagyu iaitu daging lembu termahal di dunia selain menambahkan trufle putih. Supnya pula menggunakan foie gras iaitu hati itik yang termahal di negara Perancis dan bahan yang paling murah yang terdapat dalam hidangan ini hanyalah taugeh.
Kebanyakan makanan yang mahal ni sebab rasanya berbeza, kita janji dapat makan dah cukupkan?
Apa yang paling penting tentang makanan adalah – kita dapat nutrisi yang secukupnya untuk ada tenaga dan hidup secara sihat. Kita tak perlu pun rasa rugi kalau tak pernah cuba mana-mana makanan yang mahal ni, kalau nak cuba pun tak salah, tapi ikut kemampuan masing-masinglah. Dalam keadaan ekonomi yang tak menentu, kita sepatutnya bersyukur kalau kita masih tak risau tentang bekalan makanan yang kita ada. Ada je orang yang setiap hari berfikir – mana nak cari duit untuk beli makanan hari ni?