Adik kepada Presiden UMNO, Datuk Abdul Hakim Hamidi telah menyerahkan surat keahlian Pas. Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Pas Parit Buntar.
Menurut Mohd Misbahul, adik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu telah mendaftarkan diri sebagai ahli Pas seumur hidup.
“Semoga dengan kehadiran beliau dapat mengukuhkan lagi hubungan pimpinan UMNO yang cintakan perpaduan yang berlandaskan Islam,” katanya. Menerusi video tersebut, kelihatan borang keahlian itu diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat Pas di Kuala Lumpur.
Menjelaskan rasional tindakannya meninggalkan Umno sedangkan beliau adik kepada Timbalan Perdana Menteri Hakim berkata, perubahan Umno yang mendesak beliau untuk angkat kaki.
“Kini keadaan sudah berubah, Umno yang dulu menjaga hak Melayu dan agama Islam dengan tegas, kini semakin lemah. Kekuatan Melayu semakin terhakis, dan agama Islam sering kali dipermainkan oleh individu-individu tertentu.
“Saya melihat Umno sudah tidak lagi seperti zaman saya. Kepercayaan saya pada perjuangan asal Umno mula pudar. Inilah yang membuatkan saya kembali kepada akar perjuangan keluarga saya – kembali kepada Pas,” jelas Hakim dalam kenyataan media.
Beliau bahkan yakin hanya PAS yang masih mampu mempertahankan hak Melayu dan kedaulatan Islam di tanah air ini.
“Ini Seperti mana yang pernah disuarakan oleh Tun Abdul Razak pada 1973, apabila Umno dalam masalah, orang Melayu harus bersatu bersama Pas. Kita semua perlu sedar bahawa jika kita tidak bersatu mempertahankan hak kita, keadaan akan menjadi semakin parah,” ujarnya lagi.
Oleh itu, beliau menyeru kepada semua supaya bersatu demi mempertahankan kedaulatan Melayu dan agama Islam.
“Kita tidak boleh membiarkan pihak yang mengetepikan hak orang Melayu di luar bandar dan yang tidak menghiraukan masalah rakyat terus memegang kuasa. PRU-16 nanti, pastikan kita menolak pihak-pihak yang telah merosakkan nilai-nilai teras negara ini. Semoga dengan bersatu, kita mampu mengembalikan kegemilangan Melayu dan Islam di negara kita,” kata Hakim.
Mengulas lanjut berkait penyertaan beliau dalam Pas yang kini blok pembangkang di bawah payung Perikatan Nasional (PN), Hakim berkata keputusan saya menyertai Pas sebenarnya bukan sesuatu yang baru atau tiba-tiba.
“Ia adalah suatu warisan yang saya ambil daripada bapa saya, Hamidi Abdul Fatah. Beliau bukan sekadar seorang guru agama di Maahad Ulum Bagan Datuk, tetapi juga seorang aktivis Pas yang berdedikasi, yang berdakwah dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat.
“Bapa saya turut terlibat dalam mesyuarat Pemuda Pas Malaysia di Bagan Datuk, tempat mesyuarat kedua selepas PAS ditubuhkan. Namun begitu, ketika abang saya (Zahid) menyertai Umno, bapa saya memilih untuk bersama Umno juga. Pada masa itu, bapa saya melihat Umno sebagai parti Melayu yang masih komited dalam menjaga agama Islam.
“Walaupun begitu, hatinya masih bersama perjuangan Pas, terbukti dengan langganan akhbar Harakah yang tetap dipegangnya untuk mendapatkan berita alternatif,” ujar Hakim.
Adik Zahid masuk Pas tak akan jadi kudis kepada Umno
Tindakan adik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi iaitu, Abdul Hakim menyertai PAS tidak menjadi ‘kudis’ kepada parti Melayu itu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, berkata Hakim bukanlah individu heavyweight dalam Umno yang boleh memberi kelebihan kepada PAS.
“Umno tidak hairan Hakim masuk PAS. Umno jalan terus. Mad Tyson (Muhammad Muhd Taib) kembali kepada Umno. Kita tunggu Annuar Musa. Apa PAS dapat darinya. Kalah lagi teruk di Nenggiri.
“Tidak ada apa dalam PAS baik manis iman, survival politik atau perjuangan Islam. Umno tidak hairan siapa keluar parti. Di bawah Zahid, Umno punyai bargaining power sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya
Sementara itu, Mohd Puad secara sinis berkata individu yang layak menerima penghargaan kerana menyertai PAS adalah Muhammad Muhd Taib dan Annuar Musa.
Ini kerana kedua-dua tokoh ini merupakan bekas pemimpin kanan Umno, bagaimanapun Muhammad yang juga bekas menteri besar Selangor kembali ke pangkuan Umno.
“PAS kata ‘hari ini dalam sejarah’ bila Hakim adik Presiden Umno sertai PAS. Sepatutnya yang lebih layak terima pengiktirafan itu ialah Muhammad atau Annuar. Mereka berdua bekas naib presiden dan setiausaha agung Umno. Hakim bukan heavyweight. Mungkin pandai berniaga. PAS jangan lebih sudu dari kuah,” katanya lagi.
Tambah Mohd Puad, parti lain dengan seperti Amanah tenang apabila anak bekas mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz bertanding atas tiket parti itu di DUN Cempaka pada 2018. Mengingatkan PAS, Mohd Puad berkata, bekas presiden PAS Asri Muda menjadi ahli Umno dari tahun 1989 hingga dia meninggal dunia 1992.
Ahmad Fadhli kata Puad tak tenang sebab gelar kudis pada adik Zahid
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyindir Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung penyertaan adik Presiden parti berkenaan, Datuk Abdul Hakim Hamidi ke dalam Pas.
Beliau mendakwa, ia berikutan Mohd Puad tidak tenang apabila Abdul Hakim yang pernah menjadi ‘kudis’ kepada UMNO menyertai parti itu.
“Jika sebelum ini ia ‘kudis’ di dalam UMNO, sempatkah ‘kudis’ itu berjangkit? Jika ia berjangkit, adakah kepada keluarga terdekat dahulu? Saya cuba memahami metafora dari kenyataan Puad ini. Orang lain di peringkat tertinggi UMNO hanya tenang, tiba-tiba dia yang ‘kalut’. Bahkan siap membuat perbandingan cerita keluar masuk parti dengan individu-individu lain,” katanya dalam satu kenyataan
Tambah Ahmad Fadhli, ahli politik yang keluar dan masuk parti itu perkara biasa, bahkan ramai juga yang keluar serta tidak kembali ke pemerintahan masing-masing.
“Yang keluar Pas kemudian masuk balik Pas pun ada. Yang keluar UMNO tak kembali semula kepada UMNO pun ramai, bahkan daripada senarai Presiden UMNO, berapa ramaikah di kalangan mereka yang meninggal dunia di luar UMNO? Jadi, tak payahlah ‘mengkudiskan’ sesiapa. Senyap dan buat kerja. Boleh jadi itulah modul pembelajaran yang dipelajari oleh Datuk di sekolah perkaderan di China,” katanya.