Isu kampung baru Cina jadi tapak warisan UNESCO

f1

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menolak ajakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu berbincang dan bermesyuarat.

Ia berhubung cadangan Kor Ming yang mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Dr Muhamad Akmal dengan tegas berkata, tiada keperluan untuk berbuat demikian dan ia tidak patut dibincangkan lagi.

“Tak ada apa yang perlu dibincangkan lagi.

“Tiada keperluan untuk cadangan ini. Titik,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan UMNO menolak sekeras-kerasnya cadangan ahli Parlimen Teluk Intan itu kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) menggesa Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berfikiran lebih profesional dan menjunjung semangat perpaduan dalam isu pengiktirafan kampung baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Setiausaha DAPSY Perak, Steven Tiw berkata, pemimpin muda UMNO itu tak seharusnya merumitkan isu tersebut dengan menunjukkan keangkuhan melalui media sosial.

Katanya, jika terdapat sebarang kegusaran mengenai hal ehwal kampung baru Cina, ia harus diperjelas menerusi perbincangan lebih mendalam secara bersemuka.

“Saya ingin mengajak Muhamad Akmal memainkan peranan dengan mempromosikan perpaduan rakyat Malaysia yang bersatu padu tanpa permainan sentimen kaum, agama dan bangsa.

“Kerugian besar kepada tanah air kita, Malaysia sekiranya pimpinan politik terus merosakkan perpaduan antara rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau turut yakin bahawa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming sedia untuk mengadakan perjumpaan mesra jika Muhamad Akmal mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai cadangan kampung baru Cina sebagai tapak UNESCO itu.

Steven yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh berkata, kampung baru Cina di negara ini sememangnya mempunyai ciri-ciri yang bersejarah yang wajar diiktiraf sebagai tapak warisan UNESCO.

“Sekiranya sesebuah kampung baru Cina mendapat pengiktirafan UNESCO, maka ia mempunyai lebih banyak dana daripada UNESCO untuk membangunkan tapak tersebut sebagai salah satu produk pelancongan.

“Saya yakin bahawa pengiktirafan kampung baru Cina sebagai tapak warisan UNESCO tidak akan menggadaikan apa-apa hak rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan Malaysia akan menjadi lebih maju dan berdaya saing di persada dunia sekiranya perpaduan rakyat menjadi pegangan utama kepada semua pimpinan negara.

Kor Ming sebelum ini mencadangkan untuk mencalonkan kampung baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Pandangan ahli akademi terhadap isu ini

Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bukan bersifat kekal dan melibatkan kos pemeliharaan serta pemuliharaan yang tinggi.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan sejauh mana Kampung Baru Cina di Selangor wajar diangkat sebagai calon kerana kemungkinan boleh menjadi satu bentuk pembaziran sekiranya gagal memenuhi syarat-syarat penilaian ditetapkan.

Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Sahul HM berkata, proses pencalonan bagi mendapatkan pengiktirafan itu sendiri akan melibatkan modal yang sangat besar meskipun menjanjikan pulangan berlipat kali ganda sekiranya mendapat pengiktirafan kelak.

Bagaimanapun menurutnya, dalam soal pengiktirafan tapak warisan dunia UNESCO, ia bukan hanya melibatkan faktor kewangan tetapi juga membabitkan kebijaksanaan dan juga ketulenan.

“Setiap warna bangunan, bahan yang digunakan, semua itu diambil kira dan semua itu akan dirujuk. Jadi sekiranya Kampung Baru Cina diiktiraf, timbul persoalan siapakah pasukan yang akan memastikan hal-hal ini dipatuhi kerana kalau (pengiktirafan) ditarik balik, rugilah pelaburan kita.

“Sebab ini melibatkan pemeliharaan bukan hanya bangunan-bangunan, tapi orangnya.

“Apa yang nak ditonjolkan sebenarnya? budaya Malaysia atau budaya satu masyarakat yang kecil?,” soalnya ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi 432 bertajuk ‘Kampung baru: Kontroversi atau pengiktirafan UNESCO?’

Pada masa sama, Sahul menambah, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan merupakan budaya Malaysia yang paling utama perlu ditonjolkan.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada ia menjadi praktis utama penduduk di kawasan berkenaan demi memastikan status pengiktirafan kelak dapat dikekalkan.

“Budaya Malaysia itu apa? bahasanya mesti bahasa Melayu…agamanya tidak mengapa sebab kita mengiktiraf kebebasan beragama…jadi adakah bahasa negara (kebangsaan) dipraktikkan dalam lingkungan (kawasan) itu?

“Adakah itu juga menjadi salah satu faktor penilaian oleh UNESCO?…jadi statusnya boleh ditarik balik kalau tak dipelihara atau (syarat) tak dipenuhi. Ini sangat rumit.

Ujar beliau lagi, reaksi masyarakat pribumi terhadap pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai tapak warisan dunia itu juga kemungkinan telah menjejaskan penilaian yang dibuat UNESCO.

“Saya fikir UNESCO juga akan menilai reaksi atau tindak balas masyarakat dalam negara itu.

“Misalnya isu Kampung Baru Cina dengan bantahan besar-besaran begini daripada masyarakat pribumi negara itu sendiri, adakah UNESCO bersedia ambil risiko besar untuk mengiktiraf? sebab ini juga akan melibatkan kebolehpercayaan jawatankuasa mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bercadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Bagaimanapun, cadangan tersebut menimbulkan kontroversi apabila dibantah ramai pihak termasuk pemimpin UMNO yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *