Isu kantin sekolah yang dibenar beroperasi sepanjang bulan Ramadan mendapat reaksi berbeza dalam kalangan pemimpin Perikatan Nasional (PN). Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata parti itu tak berkongsi pandangan sama dengan PAS yang menganggap tindakan tersebut sebagai tidak menghormati bulan Ramadan dan sengaja mencetuskan polemik.
“Saya rasa kita mempunyai interpretasi berbeza dalam perkara ini. Tiada siapa yang salah dan bukan semua pandangan perlu dikritik. Bagi kantin sekolah, biarlah ia beroperasi. Apa yang penting adalah nilai hormat menghormati kepercayaan dan amalan keagamaan dalam kalangan pelajar,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Ahmad Yahaya mendakwa arahan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek supaya kantin sekolah mesti beroperasi seperti biasa sepanjang bulan Ramadan sebagai keterlaluan. Katanya, arahan itu seolah-olah sengaja mencetuskan polemik sedangkan pelajar bukan Islam boleh membawa bekal makanan dan makan di ruangan yang dibenarkan.
“Perkara sebegini hanyalah mencetuskan polemik tidak perlu dan membuang masa,” katanya pada Selasa.
Namun, Fadhlina menegaskan bahawa langkah itu bagi membolehkan pelajar bukan Islam dapat makan dengan selesa.
“Saya tidak mahu anak-anak (pelajar) bukan Islam makan di dalam stor dan tempat yang tidak sepatutnya, padahal semua sekolah ada kantin. Kita (kementerian) sarankan kantin dibuka sepanjang Ramadan khususnya bagi sekolah yang mempunyai anak-anak bukan Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat
Tambah Dominic lagi, parti Gerakan berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang memberi ruang kepada semua rakyat Malaysia kebebasan dalam beragama.
Sementara itu, seorang pemimpin Bersatu menyokong pendirian PAS dalam isu tersebut.
Bercakap atas kapasiti peribadi, Razali Idris berkata dia tak bersetuju dengan saranan untuk membenarkan kantin dibuka semasa bulan Ramadan.
Menurutnya, pelajar bukan Islam sepatutnya boleh menguruskan diri sendiri kerana amalan berpuasa di bulan Ramadan merupakan kewajiban yang menjadi rutin umat Islam setiap tahun.
“Murid bukan Islam boleh menguruskan diri sendiri ketika bulan Ramadan dan mereka kena faham rutin tahunan murid Islam akan berpuasa pada masa ini. Tapi tak perlulah sampai minta mereka makan di stor, boleh makan di kantin tapi kantin tak dibuka dan berjualan macam biasa,” katanya yang juga Ketua Penerangan Bersatu.
Tambahnya lagi, pendirian ini tidak ditujukan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ataupun Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) tapi kepada sekolah harian. Razali berkata jika terdapat kes murid bukan Islam diarah makan di stor atau tempat-tempat yang tidak sepatutnya, pihak kementerian perlu mengambil tindakan.
Pandangan ekstrem tidak sesuai diamalkan di Malaysia
Isu kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan tak wajar dipolemikkan, terutama oleh pembangkang. Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, berkata tindakan pembangkang itu dilihat sebagai percubaan memecah-belahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Pembangkang tidak melihat keperluan murid sekolah khususnya yang bukan beragama Islam. Terdapat pelbagai sebab mengapa kantin sekolah wajar dibuka ketika bulan Ramadan. Di sesebuah sekolah ada pelajar dan guru bukan Islam yang tidak berpuasa. Di samping itu, untuk anak-anak Muslim, walaupun mereka harus dididik berpuasa, tetapi yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa,” katanya dalam satu kenyataan menerusi platform X
Beliau merujuk kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya, berkait pengumuman Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bahawa kantin sekolah akan dibuka sepanjang Ramadan.
Syahredzan Johan berkata, tujuan dan niat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek adalah berpaksikan nilai kemanusiaan dan amat mendukacitakan apabila terdapat pemimpin Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang menjadikannya sebagai polemik politik.
Menurutnya, insiden-insiden yang dilaporkan sebelum ini di mana anak-anak bukan Muslim terpaksa makan di tandas sekolah dan tempat-tempat yang tidak sesuai sewaktu bulan puasa juga tidak harus dilupakan.
“Adakah pemimpin Pas seperti Datuk Ahmad Yahaya tidak mempunyai rasa belas kasihan untuk anak-anak ini?
“Jelas bahawa mereka lebih cenderung untuk mengeluarkan kenyataan yang memecah-belah masyarakat dan bukannya memupuk perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Syahredzan menjelaskan, terdapat pelbagai sebab mengapa kantin wajar dibuka ketika Ramadan.
“Di sesebuah sekolah, ada pelajar dan guru bukan Islam yang tidak berpuasa.
“Di samping itu, untuk anak-anak Muslim walaupun mereka harus dididik berpuasa, tetapi yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa,” katanya.
Justeru beliau menggesa Pas dan PN untuk berhenti mempolitikkan isu kantin sekolah.
“Perkara seperti ini tidak wajar dicemarkan dengan politik sempit mereka,” katanya.