Isu sijil halal, Anwar nasihatkan pemimpin politik berhati-hati

f1 min (19)

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mempertahankan kenyataannya berhubung isu pensijilan halal untuk premis makanan dan menegaskan perkara itu disalah tafsir.

“Jika seseorang membaca dan menganalisis kenyataan saya secara menyeluruh dan dalam semua konteks, ia menjadi jelas dan tidak samar. Kenyataan terbabit tidak mengandungi konotasi atau rujukan kepada 3R (agama, bangsa, raja) atau apa-apa yang berkaitan,” katanya

Teresa berkata, tugasnya sebagai Ahli Parlimen adalah untuk menyuarakan kebimbangan rakyat dan menangani isu yang dihadapi oleh mereka di peringkat akar umbi.

“Adalah malang dan membingungkan bahawa pihak berkuasa mengklasifikasikan kenyataan saya sebagai berpotensi melanggar undang-undang. Membuka siasatan berdasarkan klasifikasi ini adalah tidak perlu dan tidak wajar, kerana tiada jenayah dilakukan,” katanya.

Baru-baru ini, Teresa dalam satu kenyataan di media sosial dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Beliau berkata, cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berkata JAKIM sedang mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal.

Kenyataan Teresa itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Malah, polis membuka kertas siasatan terhadap Teresa bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya yang mendakwa sijil halal akan menambah beban peniaga dan memalukan negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini pihaknya menerima lima laporan di seluruh negara berkaitan kenyataan itu. Kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Anwar beri amaran supaya tidak mengeruhkan keadaan

Kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian PH, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim. Perdana Menteri berkata kenyataan Naib Presiden DAP itu hanya mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Anwar juga menasihati mana-mana pemimpin politik untuk mengemukakan cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

“Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita. Ada masalah… peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok,” kata Anwar

Selepas kenyataan keras oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Teresa Kok dakwa kenyataannya berhubung pensijilan halal telah datangkan banyak salah faham sesetengah pihak. Katanya, ekoran kenyataan itu, beliau didakwa tidak faham Islam dan tidak sokong pensijilan halal.

Dalam satu kenyataan terbaharunya, Teresa mendakwa, beliau menyokong usaha kerajaan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempromosi pensijilan halal dalam industri makanan dan minuman.

“Sebenarnya standard yang digunapakai oleh Jakim dalam pensijilan halal adalah di antara yang paling tinggi di dunia.

“Saya mempromosi pensijilan halal Malaysia sejak tahun 2008 bila saya pegang Exco Perdagangan, Industri dan Pelaburan di Selangor sehingga hari ini.

“Dalam banyak pertemuan dengan rombongan bisnes dan agensi kerajaan asing, salah satu agenda yang saya bangkitkan adalah meminta mereka mendapatkan pensijilan halal dari Malaysia sekiranya mereka ingin mengeksport apa-apa makanan ke Malaysia ataupun negara-negara Islam yang lain,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Pada akhir ucapannya, Anwar turut menambah;

“Kita kena jaga sentimen orang Islam dan bukan Islam. Cara dia (Teresa Kok) runding secara elok dahulu bukan tunjuk kehebatan masing-masing.

“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil penghargaan dunia baik, ekonomi naik perlu apa perkara-perkara ini nak merosakkan,” kata Anwar ketika berucap pada majlis Perasmian Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan

Dalam masa yang sama, Ketua Pemuda Umno tak risau disaman

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menegaskan beliau tidak gentar dengan kenyataan Naib Presiden DAP, Teresa Kok yang mahu menyaman beliau. Kata Muhamad Akmal, beliau sedia untuk berhadapan dengan tindakan saman oleh Teresa yang juga Ahli Parlimen Seputeh itu.

“Dia keluarkan satu kenyataan bahawa dia nak bawa saya ke mahkamah, mempertimbangkan nak saman saya di mahkamah.

“Saya nak beritahu kepada Teresa Kok…Bawa ke mari. Saya tidak takut, tidak menyerah. Kita jumpa di mahkamah,” katanya dalam satu hantaran video berdurasi 30 saat di media sosial pada Selasa.

Terdahulu, Teresa Kok hari ini menyatakan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang ke atas Ketua Pemuda UMNO itu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *