Isu stokin menghina Islam, ini pandangan Nik Nazmi

f1

Pemimpin parti politik seharusnya menjadi ‘pembina jambatan’ dalam mengeratkan semangat perpaduan di negara ini, serta menyelesaikan sesuatu isu secara baik, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata mana-mana pemimpin parti tidak sepatutnya membesarkan sesuatu isu terutama berkaitan perkara yang sensitif termasuk isu penjualan stoking tertera kalimah “Allah” di pasar raya KK Mart.

“Kita sebagai pemimpin politik perlu membina jambatan bagi menyelesaikan isu ini, turunkan suhunya. Itu pendekatan kita buat sebagai satu parti dan kerajaan, dan tidak memperbesarkan sesuatu isu,” katanya pada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan mock cheque kepada TAR UMT

Beliau berkata pandangan itu juga telah disampaikan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa majlis berbuka puasa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama pemimpin Kerajaan Perpaduan dan perwakilan asing di Istana Negara, semalam.

Loke mengulas mengenai kenyataan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Salleh yang membidas KK Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah “Allah” dalam tulisan rumi dan jawi di pasar raya berkenaan dan turut menggesa orang ramai untuk memboikot KK Mart sekiranya tidak membuat pemohonan maaf secara bertulis.

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata beliau tidak bersetuju dengan pendekatan yang dilakukan Dr Muhamad Akmal kerana KK Mart telah mengemukakan permohonan maaf serta mengakui kesilapan mereka.

“Jadi apabila permohonan maaf itu dibuat, sepatutnya kita menyelesaikan isu itu dengan baik dan membina jambatan. Kita merasakan bahawa dalam isu sensitif ini, perlu ditangani dengan berhemah.

“Saya sendiri menghubungi pengasas KK Mart Datuk Seri KK Chai yang kebetulan saya kenali beliau dan saya telahpun bantu dia, mengaturkan satu pertemuan dengan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Malah Datuk Seri KK Chai telah bertemu dengan ketua pengarah JAKIM semalam untuk memberikan penjelasan dan sebagainya. Jadi ada prosesnya dengan pihak berkuasa agama dan sebagainya, yang akan menyiasat perkara yang berlaku,” katanya.

Sebelum ini tular gambar stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas ia dimuat naik oleh pengguna di media sosial sejak 13 Mac lepas.

Susulan itu pelbagai pihak tampil mengecam tindakan kedai serbaneka terbabit sebelum pengasasnya dan syarikat pembekal membuat sidang media permohonan maaf pada 16 Mac lepas dan pasar raya itu juga dilapor menghentikan penjualan produk berkenaan.

Nik Nazmi kata biar undang-undang yang menghakimi

Serahkan isu ini kepada pihak polis dan Badan Perundangan adalah langkah terbaik bagi mengelakkan hal-hal yang tidak diingini berlaku. Itu pandangan Naib Presiden Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung isu stoking kalimah Allah yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Katanya, kedaulatan undang-undang perlu diutamakan dan beliau percaya pemimpin juga mempunyai kewajipan dalam memastikan perkara tersebut diutamakan.

”Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah menegaskan agar isu ini dikendalikan mengikut lunas undang-undang. Sesuai dengan saranan Perdana Menteri, kita perlu memberikan ruang untuk undang-undang menghakimi individu-individu yang terbabit,” katanya menerusi satu kenyataan

Menurut Nik Nazmi lagi, di bulan Ramadan yang mulia ini, beliau percaya ia adalah masa sesuai umat Islam menunjukkan contoh yang baik dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, semua bertanggungjawab dalam mengekalkan keharmonian di negara ini yang terdiri daripada berbilang kaum.

”Sikap berlebihan dalam menangani isu ini mampu mempengaruhi individu-individu tertentu untuk bertindak ekstrem seperti insiden melontar bom petrol ke kedai KK Mart.

”Islam pada asasnya menjunjung keadilan yang dijalin dengan belas kasihan. Islam yang penuh hikmah dan kasih sayang menekankan ketinggian akhlak dan adab umatnya dan melarang kita bersikap melampau atau bertindak di luar lunas undang-undang seperti mengancam nyawa, menyebabkan kecederaan atau merosakkan harta benda.

”Kita seharusnya mengekalkan belas kasihan dan empati dan bukannya menaikkan kemarahan atau kecaman sesama sendiri,” ujar beliau lagi.

Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut menzahirkan bahawa beliau memahami kemarahan umat Islam terhadap kedai serbaneka KK Mart dalam isu berkenaan.

Justeru, beliau berharap insiden tersebut akan memberi pengajaran kepada semua perniagaan untuk lebih teliti dan berhati-hati dalam pengedaran produk yang boleh menyentuh sensitiviti mana-mana agama.

Semalam, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui antara lima individu didakwa berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka itu.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka membuat pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Muhamad Anas Mahadzir.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *