Masalah jerebu semakin teruk, KKM keluarkan panduan hadapinya…

Tip Jerebu

Nampaknya masalah jerebu semakin menjadi-jadi. Semalam kami fikir Zabuza (dari anime Naruto) datang melawat KL, sebabnya banyak tempat diliputi jerebu. Masalah jerebu ni hampir tiap-tiap tahun kita kena hadap, dah macam acara tahunan. Macam biasalah – akibat ‘kenakalan’ jiran kita main bakar-bakar hutan, kita pulak yang jadi mangsa. Sejak beberapa hari ni, hampir separuh stesen bacaan kualiti udara catatkan bacaan yang teruk…

Zabuza. Via Giphy

Jerebu di Malaysia Barat datang dari Sumatera, di Malaysia Timur pulak datang dari Kalimantan…

Hampir separuh dari kesemua stesen kat seluruh negara catatkan kualiti udara yang buruk, kalau ikut bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar. Sehingga jam 8 pagi semalam (14 September), 30 stesen kat seluruh negara catatkan bacaan IPU “tak sihat” manakala tiga lagi stesen merekodkan bacaan “sangat tidak sihat.”

Ada 68 stesen catatkan pencemaran kualiti udara, 35 lagi stesen catatkan bacaan sederhana. Takde stesen yang catatkan kualiti udara yang baik. Bagi mereka yang mungkin tak tahu; IPU 0-50 bermaksud kualiti udara baik, 51-100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tak sihat, 201 hingga 300 sangat tak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.

Via Apims

Kat Semenanjung Malaysia, semua stesen pemantauan di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang catatkan kualiti udara tak sihat. Keadaan Tangkak dan Johan Setia sangat buruk apabila kedua-dua kawasan tu catatkan IPU 204.

Semua stesen pemantauan di Lembah Klang merekodkan IPU tak sihat lebih daripada 150, dengan beberapa kawasan mendekati tahap sangat tidak sihat. Hanya hujung selatan Johor, bahagian utara Taiping, Terengganu dan Kelantan pada tahap sederhana.

Gambar satelit oleh Pusat Pakar Meteorologikal ASEAN (ASMC) menunjukkan arah pergerakan udara dan titik panas dikesan di Sumatera dan Kalimantan, Indonesia. Via UTUSAN

Kat Malaysia Timur pulak, tujuh dari 33 stesen pemantauan menunjukkan kualiti udara buruk, yang paling teruk adalah di Kuching dengan bacaan IPU sangat tak sihat pada tahap 205. Sebahagian besar kawasan kat Sabah yang sebelum ni tak dapat jerebu kini turut menyaksikan pencemaran udara yang semakin memburuk dengan kualiti udara di Tawau merosot ke tahap tak sihat, pada IPU 118.

Data Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) terus perlihatkan kawasan panas kat Kalimantan, Indonesia. Menurut ASMC, setakat ni ada 627 kawasan panas di Kalimantan dan 55 di Sumatera, 10 di Sabah dan Sarawak dan satu di Semenanjung Malaysia.

Teruk gila. Via Awani

Pengesanan ASMC tunjukkan jerebu di Malaysia Barat berasal dari Sumatera manakala jerebu di Malaysia Timur pula datang dari Kalimantan.

Jangan ambik mudah pasal jerebu, Kementerian Kesihatan keluarkan 10 langkah berjaga-jaga…

Kita jangan ambik mudah tentang masalah jerebu ni, sebab ia boleh jejaskan kesihatan kalau kita tak berhati-hati. Oleh sebab itulah Kementerian Kesihatan ada keluarkan 10 langkah pencegahan untuk orang ramai bagi menghadapi kesan jerebu. Hahhh…cuba baca dan fahami;

1. Elak aktiviti fizikal di luar bangunan bagi mengurangkan pendedahan kepada jerebu. Aktiviti fizikal akan menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan keadaan ini boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu.

2. Penganjuran aktiviti fizikal di luar bangunan dinasihat supaya ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.

3. Banyakkan berada di dalam bangunan (indoor) dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut (face mask) yang sesuai.

Via SelangorKini

4. Tutup tingkap bagi kurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan.

5. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

6. Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi (mode) kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.

7. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga (sekurang-kurangnya lapan gelas sehari).

8. Jika mampu, pasang alat pendingin hawa dan penapis udara (air filter/purifier) yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.

Topeng yang betul, N95. Bukan topeng pembedahan. Via Awani

9. Sentiasa awasi kesihatan anak-anak kecil dan mereka yang menghidap penyakit respiratori dan jantung kerana lebih mudah terjejas akibat pendedahan kepada jerebu.

10. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya tidak sihat.

Jaga kesihatan ketika musim jerebu, dan moga masalah ni akan segera pulih…

Banyak sebenarnya kesan buruk akibat jerebu ni, selain daripada masalah kesihatan; salah satunya, sebanyak 220 sekolah dan institut pengajian tinggi (IPT) kat Muar dan Tangkak, Johor diarah tutup berikutan jerebu yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200. Itu salah satu contoh je…

Jiran oh jiran, hentikanlah membakar, mata dan kesihatan kami turut terbakar…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *