Muhyiddin keluarkan fatwa, tapi rakyat tetap undi

f1 min (2)

Ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil tempoh hari, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan haram hukumnya bagi mereka yang mengundi calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai.

Muhyiddin mendakwa, tindakan tidak mengundi Suhaizan itu perlu bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan pengundi di Parlimen Pulai berikutan Kerajaan Perpaduan tidak membantu rakyat dalam kesusahan.

“Jangan bagi satu undi pun pada pihak Suhaizan Kayat (calon PH di Parlimen Pulai), bekas Speaker (DUN Johor). Jangan bagi satu undi pun.

“Saya bagi hukum haram. Ada yang esok mencabar saya berhubung hal ini, tanya ikut fatwa mana. Namun tak boleh (undi) kerana situasi yang sudah berlaku sekarang, sudah sembilan bulan berlalu ujian (bagi rakyat) macam soal kenaikan harga barang,” katanya berucap pada Ceramah Perdana PN di Kempas, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan calon PN bagi PRK Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mendakwa rakyat kini berada dalam keadaan tertekan dan kesusahan berikutan kos sara hidup terutama harga barang yang semakin melambung.

“Kita ada sebuah kerajaan dan rakyat biasanya mengharapkan kerajaan. Kita berdoa kepada Allah setiap kali sembahyang, tetapi kita minta juga kerajaan bantu dan tolong supaya rakyat tidak menderita

“Namun apa yang dia (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) buat, itulah yang kita hadapi sekarang.

“Mana-mana saya pergi orang ramai cakap Tan Sri tolonglah. Saya cakap tolong apa, (rakyat jawab) harga barang naik. Baru-baru ini pun kata harga beras pun sudah naik,” katanya.

Muhyiddin mendakwa, kerajaan PN sebelum ini prihatin dan mendengar suara rakyat yang kesusahan sebelum pelbagai bantuan disalurkan.

Mohamed Khaled kecam Muhyiddin kerana jadi mufti

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menempelak Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa mengeluarkan fatwa haram mengundi calon parti dari Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor.

Beliau berkata, lebih baik jangan menganjurkan pilihan raya untuk memilih calon sebagai pemimpin di kawasan masing-masing kerana ‘fatwa’ sebegitu rupa yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu sudah memadai.

“Wah, dialah orang politik, dialah mufti.

“Lain kali Malaysia bukan sahaja tak payah (laksanakan) pilihan raya, tak payah panggil Parlimen bersidang,” katanya menerusi akaun X (Twitter)

Beliau mengulas satu video yang tular di media sosial hari ini menunjukkan Muhyiddin ketika berucap dalam satu ceramah sempena PRK Parlimen Pulai di Johor, mengeluarkan ‘fatwa haram’ mengundi calon PH, Suhaizan Kaiat.

Muhyiddin ketika berucap dalam kempen ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai di Nusa Bestari, Johor Bahru malam tadi melarang pengundi Parlimen Pulai untuk mengundi calon Pakatan Harapan (PH).

Untuk itu, bekas bekas perdana Menteri itu mengeluarkan ‘fatwa’ haram untuk memberi satu undi kepada calon PH yang bertanding di kawasan berkenaan.

Kata Presiden BERSATU itu, cara itu dapat menentang kekuasaan kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menangani isu ekonomi yang menghimpit rakyat ketika ini.

Walaupaun ‘haram’ diundi, Suhaizan menang

Pakatan Harapan (PH) berjaya kekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila calonnya, Suhaizan Kayat, disahkan menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 18,641 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK P161 Parlimen Pulai, Miswan Yunus.

Suhaizan yang juga bekas Speaker DUN Johor meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dengan 29,642 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi yang bertanding sebagai calon Bebas pula meraih 528.

Suhaizan meraih kemenangan dengan majoriti 18,641. Peratus keluar mengundi pula berjumlah 47.37 peratus.

Bagaimanapun Suhaizan menang dengan majoriti lebih rendah berbanding majoriti besar 33,174 undi diraih Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Kemenangan Suhaizan yang juga Naib Pengerusi AMANAH Johor itu mencatat sejarah peribadi kepadanya selepas tewas enam kali dalam pilihan raya yang pernah ditandinginya sebelum ini.

Cubaan kali ketujuh Suhaizan yang juga Ketua AMANAH Bahagian Pulai itu akhirnya berjaya menghadiahkan kemenangan kepadanya.

Pada PRU15 November lalu, Salahuddin menang kerusi Parlimen Pulai dengan 64,900 undi, menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional (BN) yang meraih 31,726 manakala Loh Kah Yong daripada Perikatan Nasional (PN) meraih 20,677.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *