Najib dapat pengurangan hukuman, pelbagai reaksi timbul

f1

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mendesak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menjalani hukuman penuh seperti yang telah diputuskan oleh mahkamah tertinggi negara sebelum ini.

Dalam satu kenyataan, Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, walaupun Lembaga Pengampunan mempunyai hak Perlembagaan untuk memberi pengampunan, keputusan itu akan memberi kesan besar kepada kepercayaan seluruh rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Mengapakah kes Najib diberikan keutamaan untuk dipertimbangkan sedangkan hari ini masih ramai mereka yang dipenjara khususnya dari kalangan rakyat yang masih menunggu peluang untuk mendapatkan ruang pengampunan?

“Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa pemimpin politik yang melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah boleh mengambil jalan pintas untuk bebas daripada hukuman, seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk orang biasa dan orang atasan,” katanya.

Mengulas lanjut, Bersih berkata, Mahkamah Persekutuan pada 2022 telah mengekalkan sabitan terhadap jenayah yang dilakukan oleh Najib yang menyeleweng wang negara sebanyak RM42 juta dalam kes SRC International dan menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta.

“Sabitan ini sangat jelas menunjukkan bahawa Najib telah merompak wang negara dan di pihak Bersih, kami tidak melihat kewajaran untuk mengurangkan hukuman penjara mahupun denda yang disabitkan.

“Justeru, Lembaga Pengampunan wajib menjelaskan alasan-alasan pengurangan hukuman kerana kesalahan beliau melibatkan penyelewengan wang negara yang berjumlah jutaan ringgit,” katanya.

Bersih berkata, sebelum ini pihaknya telah melancarkan satu petisyen pada tahun 2022 untuk mengumpul pandangan rakyat terhadap isu pengampunan Najib Razak.

“Petisyen yang telah ditandatangani oleh lebih 150,000 rakyat Malaysia mencerminkan sentimen rakyat yang sangat kuat untuk menolak pembebasan Najib atau mana-mana pemimpin politik yang disabitkan kesalahan rasuah dan pecah amanah,” katanya.

Lembaga Pengampunan pada Jumaat memaklumkan Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersetuju mengurangkan hukuman dan denda yang dikenakan terhadap Najib.

Lembaga tersebut mengesahkan hukuman penjara beliau dikurangkan dari 12 tahun ke enam tahun, dan denda terhadapnya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan adalah pada 23 Ogos 2029.

Semua pihak harus hormati keputusan pengampunan

Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara ke atas Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan kepada RM50 juta daripada RM210 juta.

Tambahan penjara setahun akan dikenakan jika Najib tidak membayar denda itu.

Semua pihak diminta menghormati keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, keputusan itu adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan pengampunan berkenaan tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Mana-mana pihak tidak kira ahli politik, pimpinan, atau rakyat biasa, sudah tentu perlu kembali merujuk kepada peruntukan Perlembagaan.

“Ini kerana di dalam Perlembagaan sudah pun terletak kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai contoh kuasa melantik Perdana Menteri.

“Begitu juga kuasa memberi pengampunan sudah pun ada dalam Perlembagaan. Justeru kita perlu ada kewarasan, hormati undang-undang tubuh negara,” katanya.

Shamsul Iskandar menegaskan kenyataan Lembaga Pengampunan yang dikeluarkan pada Jumaat lalu berhubung pengampunan itu sangat jelas.

“Kenyataan itu jelas menunjukkan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dalam Perlembagaan untuk memberi pengampunan dalam konteks ini, Najib diberikan pengampunan

“Mesej kita kepada rakyat, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk melakukan tindakan sebagaimana yang dilakukan. Oleh itu, jangan timbulkan spekulasi dan cakap-cakap yang tidak menjurus fakta sebenar,” ujarnya.

Najib, 70, yang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang menyaksikan pengampunan diraja adalah satu-satunya harapan beliau untuk membebaskan diri.

Anwar jelaskan beberapa hal berkaitan pengampunan

Asas Lembaga Pengampunan memutuskan untuk memberi pengurangan hukuman kepada Datuk Seri Najib Razak, antaranya dibuat atas sumbangan bekas perdana menteri itu kepada negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu diambil kira dalam perbincangan mesyuarat Lembaga Pengampunan termasuk kaedah lain yang diperincikan.

“Pertama, apa asas rayuan, selalunya memikirkan peranan dia, perjalanan hidup dia sebelum itu, peranan kepada keluarga dia, kehidupan di penjara, jasa dan khidmat dia, peranan kepada keluarga atau masyarakat dan dalam kes Najib, kepada negara.

“Jadi diberikan juga mengenai proses badan kehakiman, apa kesnya, apa hukumannya, kemudian kalau ada kes dalam proses, itu semua dijelaskan sebelum masing-masing (ahli lembaga) beri pandangan dan akhirnya Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dipersoal kenapa permohonan Najib untuk mendapatkan pengampunan dibincangkan terlalu awal sedangkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu baharu sahaja menjalani hukuman.

Beliau menjelaskan bahawa sesiapa sahaja yang sudah dijatuhi hukuman boleh mengemukakan permohonan pengampunan.

“Saya mengakui tanggungjawab itu, jadi kenapa ditanya Perdana Menteri ambil sikap kemukakan rayuan Najib begitu awal, saya kata sebaik sahaja saya dapat mana-mana rayuan, saya mohon supaya Lembaga Pengampunan bicarakan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *