Pemilihan Bersatu hangat, TOP 2 menang tanpa bertanding

f1 min (25)

Jawatankuasa Pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima sejumlah 8,531 borang pencalonan daripada ahli seluruh negara bagi menentusahkan kelayakan dan keabsahan untuk mengambil bahagian pada pemilihan parti bagi sesi 2024-2027.

Perkara ini disahkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Saiful Adli Mohd Arshad dengan memaklumkan seramai 93 calon bertanding bagi peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Armada Malaysia (53), Jawatankuasa Srikandi Muda Malaysia (39) dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu Malaysia (27).

Dalam masa yang sama, keputusan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mahu membawa suara yang kuat bagi membantu pengurusan parti berkenaan, kata Razali Idris.

Ketua Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris menetapkan pendirian bahawa beliau tidak akan menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan tersebut meskipun berdepan persaingan daripada lima calon yang lain bagi merebut tiga jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti berkenaan bagi 2024-2027.

“Kita dah masuk (bertanding) maka tak ada istilah nak tarik balik dan teruskan sahaja untuk sama-sama membantu parti. Sebenarnya dahulu saya ada berhasrat untuk calonkan diri sebagai Naib Presiden tetapi dalam pertengahan itu ada perundingan dan saya hentikan hasrat.

“Jadi kali ini saya melihat saya kena masuk balik (bertanding jawatan Naib Presiden) dan tidak ada kena mengena langsung dengan perbincangan (bersama Presiden parti) atau pakatan mana-mana pihak.

“Ini adalah pendirian saya sendiri kerana saya juga merupakan antara pengasas parti dan mempunyai jawatan-jawatan yang mana asalnya daripada parti. Jadi saya kena berkhidmat pada parti untuk beri pulangan balik pada parti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Terengganu International Paramotor Callenge di Dataran Drawbridge

Mengulas lanjut, Razali menyatakan jawatan Naib Presiden dilihat sebagai suatu jawatan yang bersesuaian terhadap dirinya untuk berkhidmat kepada Bersatu.

“Saya pernah menjadi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selama dua penggal, Ketua Penerangan Bersatu pun dah. Jadi jawatan Naib Presiden ini merupakan suatu jawatan yang boleh mempunyai suara agak kuat untuk membantu parti dan juga membantu pengurusan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung bagi memastikan kelangsungan parti tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Razali menyatakan pertembungannya dengan calon lain bagi merebut jawatan Naib Presiden disifatkan sebagai suatu pertandingan yang sihat.

“Persaingan itu macam biasa. Kalau kita kata persaingan itu berat seolah-olah ia bukan pemilihan.

“Ini pertandingan dalam kelompok kita, dalam keluarga kita dan kita buat persaingan itu adalah persaingan yang ceria. Jadi kita serahkan pada perwakilan untuk pilih calon yang mana yang sesuai untuk dijadikan Naib Presiden bagi membantu Presiden, Timbalan Presiden dan parti,” jelas beliau.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Saiful Adli Arshad memaklumkam enam calon layak bertanding termasuk penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; A’ziss Zainal Abidin; Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin; Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah untuk memenuhi tiga jawatan Naib Presiden dipertandingkan itu.

XXX

Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengisi jawatan Timbalan Presiden, selepas masing-masing menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti itu bagi 2024-2027.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Bersatu, Saiful Adli Arshad dalam sidang media.

“Pengisytiharan rasmi kemenangan kedua-dua calon tunggal ini hanya akan dibuat selepas selesai Persidangan Bahagian-Bahagian pada 2 November 2024 kelak,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menang tanpa bertanding jawatan Ketua Srikandi selepas penyandangnya, Datuk Seri Rina Mohd Harun menarik diri.

Turut menang tanpa saingan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi bagi jawatan Naib Ketua Srikandi.

Saiful Adli berkata, bagi jawatan Naib Presiden, enam calon layak bertanding termasuk penyandang jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, A’ziss Zainal Abidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah untuk memenuhi tiga jawatan dipertandingkan itu.

Beliau berkata, bagi jawatan Ketua Armada, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham akan bersaing dengan penyandang Pengerusi Tetap Armada yang juga Pengarah Pilihan Raya Pemuda Perikatan Nasional (PN), Akmal Zahin Zainal Zahir.

Beliau berkata, menerima 276 borang pencalonan pada hari penyerahan borang 21 September lepas bagi pemilihan di peringkat nasional untuk jawatan di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Jawatankuasa Srikandi, Jawatankuasa Armada, Jawatankuasa Srikandi Muda dan Jawatankuasa Sayap Bersekutu.

Sementara itu, Ahmad Faizal dalam sidang media sama berkata, bagi jawatan Presiden, Timbalan Presiden serta Naib-naib Presiden, MPT telah membuat ketetapan bahawa ahli yang pernah memegang jawatan MPT atau Ketua Bahagian selama sepenggal lengkap dibenarkan bertanding bagi mengisi jawatan tertinggi itu.

“Begitu juga dengan pertandingan untuk mengisi jawatan MPT, iaitu syarat tempoh kelayakan ditetapkan mestilah merupakan ahli parti selama dua tahun.

“Kesemua calon bertanding juga telah melalui proses tapisan yang dilakukan secara cermat dan teliti mengikut Perlembagaan parti dan juga perundangan negara – oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (PP) ditubuhkan mengikut Fasal 14.9 Perlembagaan Bersatu bagi maksud melaksana, mengendali dan menyeliakan pemilihan ini,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, persidangan sayap-sayap Bersatu peringkat Bahagian akan berlangsung pada 12 dan 26 Oktober, sebelum diakhiri dengan Persidangan Bahagian-bahagian Bersatu pada 2 November.

Beliau berkata, persidangan semua peringkat bahagian pada tahun ini akan melibatkan agenda pemilihan Jawatankuasa Bahagian, Jawatankuasa Sayap Bahagian, Ahli MPT serta Sayap-sayap Peringkat Nasional. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *