займ срочно

Pemimpin wanita dari German yang disegani ramai, ini cerita Angela Merkel

f121
Pemimpin wanita dari German yang disegani ramai, ini cerita Angela Merkel

Bila kita tengok Jerman, kita selalu teringat Hitler je. Kita selalu tonton dokumentari betapa sengsaranya peperangan dulu. Bila tengok sekarang, Jerman pulak antara negara yang paling maju dan selalu menjadi negara yang dicemburui ramai. Salah satu tokoh pemimpin yang menjadikan negara tu sebagaimana sekarang adalah Angela Merkel – pemimpin wanita yang disegani dan dihormati ramai.

Angela Merkel ni jugak merupakan pemimpin wanita pertama yang pernah pegang jawatan tertinggi di Jerman. Selain tu, dia turut dinobatkan pemimpin wanita paling lama yang jadi anggota Kesatuan Eropah. Pada tahun ni, tempoh dia pegang jawatan Canselor Jerman dah tamat. Kini Jerman akan memilih canselor baharu diorang.

angela merkel
Ni lah Angela Merkel.. -Via BBC

Daripada saintis kimia kuantum kepada orang politik, perjalanan awalnya membawa dirinya jadi Menteri Kabinet paling muda di Jerman

Mungkin ramai tak tau bahawa pemimpin tertinggi Jerman, Angela Merkel ni sebenarnya berlatarkan dunia akademik dulu sebelum terjun ke dalam politik. Dilahirkan pada 17 Julai 1954 di Hamburg, dia sempat melihat kesan Perang Dingin dengan terbelahnya Jerman kepada dua: Jerman Barat dan Jerman Timur.

Lepas mengikuti keluarganya berpindah ke Berlin Timur, dia menjadi sorang pelajar yang bijaksana. Di sekolah, dia dah petah berbahasa Rusia dan seringkali dianugerahkan hadiah kerana kefasihannya dalam bahasa Rusia serta keputusan terbaik dalam Matematik.

merkel masa kecil
Angela masa dia kecil.. -via Time

Tapi masa tu, sesiapa yang tak sertai parti politik rasmi kerajaan ketika tu iaitu Parti Socialist Unity, sukar nak masuk belajar di universiti. Dia masuk je lah dalam sayap muda, Free German Youth (FDJ). Dia kemudiannya sambung pengajian di Universiti Karl Marx, Leipzig. Di sana, dia belajar fizik dari 1973-1978.

Sebelum dia habis belajar tu, dia memohon jadi pembantu pensyarah di sekolah kejuruteraan. Namun oleh sebab salah satu syaratnya adalah kena selalu laporkan kegiatan rakan-rakannya kepada Kementerian Keselamatan Negeri (Stasi), dia tolak. Alasannya, dia pun tak dapat simpan rahsia dengan begitu baik untuk jadi perisik.

merkel sekolah
Angela Merkel, dulunya Angela Kasner, di tengah. Gambar pada 1973, di Advanced High School (EOS), Templin. -Via Time

Dia bekerja sambil belajar di Pusat Kimia Fizikal, Akademi Sains yang terletak di Berlin-Adlershof pada 1978-1990. Ketika ni, namanya meningkat naik dalam sayap muda tu. Dia diberi peluang jadi anggota sektretariat FDJ dan dikatakan menjadi setiausaha propaganda menyebarkan Marxisme. Walaupun begitu, secara rasminya Angela kata dia tak ingat pulak benda tu berlaku sebaliknya menjelaskan dia hanyalah setiausaha budaya je.

Selepas dianugerahkan ijazah kedoktoran untuk tesisnya mengenai kimia kuantum pada 1986, dia bekerja sebagai penyelidik dan telah terbitkan beberapa kertas kajian. Pada tahun yang sama jugak, dia dapat bergerak bebas ke Jerman Barat untuk menghadiri kongres, selain menyertai kursus bahasa di Donetsk. Donetsk ketika tu di bawah pentadbiran Republik Sosialis Soviet Ukraine.

merkel tunang angela jerman
Angela Kasner bersama tunangnya, Ulrich Merkel pada 1975. -Via Reddit

Kepantasannya melonjak naik dalam persada politik memang mengagumkan. Sejak runtuhnya tembok Berlin pada 1989, dia lebih aktif dalam gerakan memperjuangkan demokrasi dan menyertai parti Democratic Awakening. Dalam pilihan raya berbilang parti yang julung kali diadakan dalam Jerman bersatu pada 1990, dia menang dan dilantik menjadi Menteri Wanita dan Belia. Ni menjadikan dia pemimpin termuda dalam kabinet persekutuan ketika tu. Masa tu dia baharu berusia 36 tahun.

Walaupun lepas kekalahan partinya (yang dah gabung dulu dengan parti Kristian) iaitu Christian Democratic Union, dia tetap dilantik menjadi muka utama parti. Pada tahun 2000, dia akhirnya menjadi pemimpin wanita pertama dalam parti Jerman selepas menggantikan Wolfgang Schauble. Dalam tempoh 2002-2005, dia jadi Ketua Pembangkang di Bundestag (setaraf dengan dewan parlimen). Popularitinya terus mencanak, dan akhirnya pada 2005, dia menjadi Canselor Jerman.

angela merkel kempen poster jerman
Poster kempen politik Angela Merkel.. -Via Wikipedia

Dia turut jadi penyandang canselor pertama yang tak bertanding lagi, bukan Malaysia je yang hadapi krisis politik ketika pandemik

Ingat Malaysia je ke yang hadapi krisis politik ketika pandemik? Sebenarnya Jerman pun sama jugak. Sejak pilihan raya umum 2017, parti-parti politik di sana pun ada jugak perselisihan antara satu sama lain. Selama enam minggu, diorang berbincang di balik tabir tentang kerjasama rentas parti antara CDU dan Parti Demokratik Sosial Jerman (SPD). Pucuk kepimpinan SPD umumkan diorang nak masuk blok pembangkang.

Lepas beberapa siri perbincangan dengan gabungan Jamaica (CDU, FDP dan Green), FDP (Parti Free Democratic) taknak ikut lagi kerana wujud percanggahan pendapat dalam soal migrasi dan polisi tenaga. Angela Merkel berunding dengan Presiden Frank-Walter Steinmeier untuk pujuk semua parti mempertimbangkan semula keputusan diorang demi elakkan pilihan raya baharu.

merkel frank jerman
Angela bersama Frank-Walter Steinmeier..- Via The Bangkok Post

Akhirnya, diorang tak jadi bubar parlimen dan wujud pemilihan semula dalaman menerusi undi anggota. Angela Merkel masih dipilih sebagai Canselor untuk penggal keempat. Namun bukan tu penghujungnya. Pada 2018, perselisihan parti terus membengkak, sehinggakan Angela Merkel sendiri umumkan dia akan letakkan jawatan sebagai pemimpin CDU dalam persidangan parti dan sedia meletakkan jawatan sebagai Canselor Jerman pada pilihan raya akan datang. Ni rentetan prestasi parti dalam pilihan raya negeri di Bavaria dan Hesse.

Pada pilihan raya 2021, dia benar-benar mengotakan katanya 2 tahun lalu. Dia tak bertanding lagi untuk Canselor Jerman, memberi ruang kepada wajah baharu untuk Jerman. Pada 26 September lalu, Jerman mengundi. Keputusannya lebih memihak kepada SPD, yang mana berjaya membentuk gabungan terbesar dan memperoleh undi yang agak banyak. Prestasi CDU terus merundum. Namun begitu, setakat ni belum ada lagi parti yang berjaya membentuk kerajaan dan perlukan kerjasama daripada parti-parti lain.

Oleh sebab Jerman belum ada kabinet baharu sempena PRU tahun ni, Angela Merkel bertindak sebagai canselor sementara. Sekiranya rundingan membentuk kerajaan di Jerman belum selesai menjelang 17 Disember, Angela Merkel turut memecahkan rekod Helmut Kohl sebagai canselor yang paling lama berkhidmat sejak Perang Dunia kedua. Masa pentadbiran yang masih tersisa ni digunakan oleh Angela Merkel untuk menguruskan isu luar negara seperti Ukraine dan perubahan alam sekitar.

Persoalan Canselor baharu masih belum terjawab, ini cara Jerman pilih pemimpin tertinggi diorang

Bagi memahami macam mana diorang pilih Canselor, kita kena faham bahawa diorang amalkan sistem perwakilan berkadaran campuran (mixed-member proportional representation). Bundestag ni perlukan 598 anggota, dipilih untuk 4 tahun sepenggal. Bilangan kerusi diorang dibahagikan ke serata 16 negeri Jerman selaras kadarnya dengan bilangan pengundi dalam sesebuah negeri.

jerman pilihan raya
Jerman semasa kempen pilihan raya.. -Via Politico Europe

Oleh sebab sistem pilihan raya diorang, boleh jadi jugak lebih dari 598 anggota dipilih. Walau bagaimanapun, secara asasnya sistem diorang ni memerlukan rakyatnya mengisi dua kertas undi iaitu untuk wakil rakyat diorang, dan untuk parti politik yang diorang nak. Daripada kedua-dua undi ni, sekurangnya 598 anggota akan dipilih ke dalam Bundestag. Separuh daripadanya datang daripada 299 daerah, manakala separuh lagi dipilih berdasarkan kadar undi parti.

Kerajaan akan terbentuk apabila wujudnya gabungan atau kerjasama dengan dua atau tiga parti bagi membentuk majoriti di Parlimen. Ahli parlimen tu lah kemudiannya pilih canselor baharu. Untuk undi kedua tu (299 kerusi), ia diberi kepada calon-calon dalam senarai yang dikemukakan oleh parti.

german bundestag
Via BBC

Untuk masuk ke Bundestag, sesebuah parti kena menang sekurangnya 5% daripada undi kedua. Nilai ambang (threshold) ni direka sebegitu agar mengelakkan parti kecil (selalunya radikal) untuk dapat kuasa. Pendek kata, undi kedua ni menentukan peratusan kerusi yang sesebuah parti akan wakili di Bundestag dan peluang diorang untuk bentuk sebuah kerajaan.

bundestag
Pemandangan Bundestag pada 2021, kini muatkan 709 kerusi.. -Via BBC

Angela Merkel adalah contoh yang membuktikan bahawa wanita boleh terlibat dengan politik dan mampu mengendalikan sesebuah negara sehingga mencapai kemajuan. Wanita tidak dimaknakan berbeza dengan seorang lelaki; wanita adalah manusia dan mampu melakukan apa yang lelaki dapat lakukan. Yang membezakannya adalah bagaimana masyarakat memperkasakan wanita yang selalu diajar untuk takut, pasif dan sentiasa dinilai dengan berapa anak yang mampu dilahirkannya atau suaminya bekerja sebagai apa.

Kami harap selepas ni, sesiapa pun yang naik dan menjadi muka baharu Jerman, merupakan pemimpin yang sesuai untuk Jerman. Bagi kita, polisi antarabangsa kita turut bergantung kepada minda dan sikap pemimpin sesebuah negara. Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jerman perlu terus dipelihara untuk kepentingan dan keamanan bersama.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top