PRK Ayer Kuning, BN dan Pas telah bersedia

f1

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin meninggal dunia selepas bermain bola sepak di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Februari 2025. Perkara itu dimaklumkan rakannya yang juga bekas pemain bola sepak Perak, Mohd Zakaria Mohamad.

Menurut Mohd Zakaria, berdasarkan maklumat yang diterimanya, Allahyarham dikatakan rebah selepas bermain dalam pertandingan bola sepak persahabatan dengan bekas pemain empat negeri, Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.

“Allahyarham dikatakan rebah ketika berbual dan bergambar dengan beberapa rakan bekas pemain dari negeri lain sekitar jam 6 lebih sikit. Menurutnya, pasukan perubatan kemudiannya memberi rawatan awal sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang.”

81740230551 belasungkawa

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada 26 April ini. Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 12 dan 22 April ini.

“Sehubungan itu, urusan permohonan bagi semua kategori undi pos luar dan dalam negara akan dibuka mulai hari ini,” katanya pada sidang media. Ramlan berkata, tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula dari tarikh pengisytiharan calon yang bertanding hingga jam 11.59 malam 25 April ini.

484215917 991746026407813 5233042333421875810 n

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK itu membabitkan daftar pemilih tambahan Januari 2025 yang dikemas kini hingga 22 Februari lalu. Berdasarkan DPPR berkenaan, seramai 66,318 pemilih terdiri daripada 31,897 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan. Pelaksanaan PRK DUN N48 Ayer Kuning memerlukan peruntukan sebanyak RM2.5 juta.

“Seramai 601 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK ini, manakala 19 pusat mengundi biasa mengandungi 63 saluran dan dua pusat mengundi awal bakal digunakan. Bagi maksud PRK ini, Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi yang digunakan adalah di Dewan Merdeka Tapah, Perak,” katanya.

Barisan Nasional yakin akan dapat sokongan daripada anak muda

Enam nama di peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah yang telah diangkat untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning masih dalam senarai untuk dimuktamadkan.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad secara ringkas memaklumkan tiada di antara keenam-enam calon tersebut telah menarik diri.

“Setakat ini belum, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa UMNO Perak di Bangunan UMNO Tapah di sini hari ini. Terdahulu, Saarani memaklumkan lapan nama peringkat kepimpinan UMNO Bahagian Tapah telah diangkat untuk dipilih calon BN dalam PRK DUN Ayer Kuning, namun jumlah itu tinggal enam pilihan kerana dua telah menarik diri.

Katanya, lapan pilihan itu ialah Pemangku Ketua Bahagian yang juga Timbalan Ketua Bahagian, Naib Ketua Bahagian, Setiausaha Bahagian, Bendahari Bahagian, Ketua Penerangan Bahagian, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri di Bahagian tersebut.

bn
Bilik mesyuarat BN menjelang PRN

Barisan Nasional (BN) yakin sokongan pengundi muda akan berpihak kepada parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning. Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, keyakinan itu berdasarkan gerak kerja dilakukan BN Parlimen Tapah sebelum ini yang memfokuskan kebajikan dan sumbangan secara berterusan bermula di peringkat sekolah.

Menurut Saravanan, pihaknya hanya perlu memperkemaskan jentera pada pilihan raya itu memandangkan terdapat kira-kira 14,000 pengundi muda berdaftar di kawasan DUN tersebut.

“Nasib baik Pemuda BN Parlimen Tapah sentiasa mengadakan program-program untuk belia di sini. Ini satu-satunya Parlimen yang saya berani sebut, kita mula sumbangan kepada generasi muda daripada peringkat sekolah. Bila sampai sahaja Tingkatan Lima, dah ada sumbangan untuk mereka. Maka saya percaya, daripada 14,000 pengundi muda itu, sebahagian besar akan menyokong calon BN,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa BN Parlimen Tapah di Bangunan UMNO Tapah

Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, berdasarkan rekod empat pilihan raya lalu, BN diberi mandat yang memuaskan oleh pengundi-pengundi Melayu yang mewakili lebih 60 peratus pengundi DUN Ayer Kuning.

Katanya, kedudukan itu jelas membuktikan bahawa kawasan DUN tersebut merupakan kubu kuat BN.

“Kita dekati pengundi-pengundi Melayu bukan hanya musim pilihan raya, sebaliknya hubungan itu sudah akrab, maka saya yakin kita dapat mandat yang sewajarnya. Bagi saya pucuk pimpinan BN cukup berpengalaman dan lihat Tapah ini tak pernah banyak masalah sama ada UMNO ataupun parti komponen lain, kita tidak ada isu,” ujarnya.

Sementara itu PAS bersedia untuk namakan calon

Tiga nama calon berpotensi telah disenarai pendek oleh Pas untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning nanti. Yang Dipertua Pas Kawasan Tapah, Abd Muhaimin Malek berkata, semua calon yang dikemukakan itu merupakan anak tempatan berusia bawah 50 tahun yang aktif berkhidmat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, senarai berkenaan akan dikemukakan kepada jawatankuasa Pusat minggu hadapan untuk dimuktamadkan dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN).

pas bendera

“Kita ada ramai calon untuk ditampilkan, tetapi daripada jumlah itu, dua atau tiga nama telah disenarai pendek dan dipersetujui untuk diangkat kepada pimpinan Pusat PN. Ada antara nama tersebut merupakan kalangan pimpinan Pemuda Pas,” katanya

Beliau berkata, pimpinan Pas Kawasan telahpun mengatur kesiap-siagaan untuk menghadapi PRK dengan memperkemas jentera dan program mendekati pengundi. Katanya, pertemuan bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu lalu memberi suntikan semangat untuk jentera parti memperkukuh gerak kerja.

“Kita akan bekerja untuk sesiapa pun calon yang dipilih oleh PN. Bagi saya, potensi untuk menang tetap ada walaupun sebelum ini kita tewas di situ. Kita ambil semangat daripada PRK Sungai Bakap yang mana PN mencipta kemenangan di kawasan yang majoritinya Melayu,” katanya.

Untuk rekod, Pas sudah bertanding di kerusi tersebut sebanyak lima kali sejak Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008, namun semuanya berakhir dengan kekalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *