Ramai ahli parti jadi katak, Bersatu semakin lemah

f1

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti.

Hal ini susulan tindakaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ketika parti yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin itu baru meluluskan pindaan parti.

“Rashid melakukan ‘kamikaze’ kerana Bersatu baru pinda perlembagaan parti. Dia tak takut pada pindaan, dia lebih takut kapal Bersatu yang akan karam.

“Bersatu akan berhadapan dengan krisis perlembagaan parti jika pindaan itu tak terpakai sebelum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS),” katanya menerusi hantaran di Facebook

Abdul Rashid yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor telah mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Amirudin.

Selain itu, turut tular ketika ini terdapat lima lagi wakil rakyat parti tersebut yang didakwa akan mengikut jejak Abdul Rashid.

Sementara itu, Mohd Puad dalam hantaran sama turut mendakwa tindakan Abdul Rashid itu juga memperlihatkan kapal Bersatu yang semakin karam.

Perkembangan terbaharu itu juga katanya, memberi tempeleng maut kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dikaitkan sebagai ‘poster boy’ Bersatu di negeri berkenaan.

Bersatu harap pindaan perlembagaan parti segera diluluskan untuk hukum katak

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor menggesa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) untuk segera luluskan pindaan perlembagaan parti itu bagi membolehkan tindakan tegas dikenakan kepada ahlinya yang menyokong pihak lawan.

Ia susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari yang dilaporkan mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengerusinya, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, tindakan Abdul Rashid itu disifatkan agak mengejutkan buat parti.

“Saya baru tahu berita ini melalui media. Cuma saya berasa agak sedih di kala semua rakyat tertekan akibat tindakan Kerajaan Perpaduan seperti isu kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), harga barang yang terus meningkat, isu beras tempatan dan minyak peket subsidi yang menghilang, namun masih ada ADUN Perikatan Nasional (PN) yang menyatakan sokongan kepada pihak lawan

“Saya harap pindaan yang dibuat Bersatu dapat diluluskan segera oleh RoS, agar tindakan lebih tegas dapat dikenakan kepada wakil rakyat Bersatu yang berpaling tadah,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Dr Sahrudin yang merupakan bekas Menteri Besar Johor dan ADUN Bukit Kepong memberitahu sokongan daripada Ahli Parlimen dan ADUN Bersatu kepada parti tidak pernah goyah.

“Selain saya, seorang lagi ADUN Bersatu dari DUN Endau, Alwiyah Talib masih kukuh dan kekal menyokong pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Bersatu dilaporkan meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti itu selepas mendapat sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.

Pindaan perlembagaan itu dibuat susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

Bagi Najwan, Bersatu sekarang semakin lemah

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi menyifatkan kedudukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor seperti retak menanti belah.

Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata, Bersatu ternyata adalah ‘the weakest link’ dalam gabungan Perikatan Nasional.

“Selepas enam ahli Parlimen mereka umum sokongan kepada Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan, kini ADUN mereka di Selangor pula melakukan tindakan sama.

“Pengumuman ADUN Selat Klang yang secara terbuka menzahirkan sokongan kepada kepimpinan (Menteri Besar) Datuk Seri Amirudin Shari membuktikan Bersatu di Selangor mulai berpecah dan semakin melemah,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X.

Mohd Najwan turut menyifatkan Bersatu pada hakikatnya sekadar bergantung nyawa dengan kekuatan Pas untuk hidup.

Pada Rabu, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar.

Menurut ADUN Selat Klang itu, keputusan itu dibuat selepas meneliti perkembangan semasa dan mengambil kira beberapa faktor utama.

Ujarnya dalam kenyataan sama, keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan setelah beliau meneliti titah ucapan Sultan Selangor, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang memuji pentadbiran kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Berikutan kenyataan itu, empat lagi ADUN Perikatan Nasional didakwa akan mengikuti langkah Abdul Rashid, namun perkara itu dinafikan Pengerusi Perikatan Nasional Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali termasuk empat ADUN terbabit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *