Sankar dikritik hebat di Sabah, tapi ada yang menyokong

f1

Seramai 15 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Sabah sebulat suara menolak kepimpinan Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.

Pendirian itu dinyatakan melalui akuan bersumpah (SD) mereka selain turut dimaklumkan dalam mesyuarat MPN yang diadakan pada Ahad.

Ketua Cabang Kota Marudu, Sazayle Donol Abdullah yang mewakili 15 cabang tersebut mengesahkan bahawa terdapat ketua cabang bertindak meninggalkan mesyuarat tersebut.

“Tindakan ini diambil selepas mengambil kira beberapa perkara termasuk kegagalan Pengerusi Negeri, Datuk Sangkar dalam memimpin parti di negeri ini.

“Sejak dilantik menjadi pengerusi pada 2022, beliau (Sangkar) belum pernah lagi mengadakan program bagi memperkasakan parti sama ada latihan strategi, latihan kepimpinan, latihan komunikasi dan penerangan, latihan pengucapan awam, latihan pilihan raya dan pelbagai lagi program.

“Apa yang dilakukan beliau hanyalah menganjurkan majlis makan-makan bagi menyambut pemimpin dari peringkat pusat yang turun ke Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di sini pada Isnin.

TSangkar juga tak dikenali selain tidak mendapat kepercayaan majoriti kepimpinan serta akar umbi parti.

“Kegagalan beliau juga telah menyebabkan PKR dipandang rendah bukan sahaja oleh rakan komponen Pakatan Harapan (PH) malah rakan dari Kerajaan Perpaduan.

“Semalam semasa mesyuarat MPN, Ketua Cabang Tuaran telah meluahkan masalah dan kelemahan kepimpinan negeri yang akhirnya beliau meminta pengerusi meletakkan jawatan dan berundur secara terhormat.

“Tindakan ini disusuli oleh beberapa lagi ketua cabang yang menyaksikan akhirnya mereka meninggalkan mesyuarat sebagai tanda protes terhadap kegagalan kepimpinan Datuk Sangkar,” katanya.

Sehubungan itu, Sazayle Donol berkata, ketua cabang ini mengharapkan kebijaksanaan Presiden PKR bagi menyelesaikan kemelut ini terutama ketika parti bakal berdepan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.

Sebelum itu, 14 ketua cabang lain yang menyatakan keputusan sama ialah Ketua Cabang Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud; Ketua Cabang Kota Kinabalu, Datuk Christina Liew; Ketua Cabang Sepanggar, Peto Galim – KC Sepanggar; Ketua Cabang Tuaran Razeef Rakimin dan Ketua Cabang Pensiangan, Raymond Ahuar.

Turut menyatakan keputusan sama ialah Ketua Cabang Sipitang, Wendey Agong; Ketua Cabang Beaufort, Dikin Musah; Ketua Cabang Beluran, Basran Omar; Ketua Cabang Kinabatangan, Azmi Tambuyong; Ketua Cabang Papar, Roslee Malek; Ketua Cabang Kimanis, Awang Chuchu; Ketua Cabang Kalabakan Roslan Sapar; Ketua Cabang Batu Sapi, Aris Remigius dan Ketua Cabang Semporna, Amin Mem.

Walaupun ada desakan untuk meletakkan jawatan, AMK, Srikandi, Wanita PKR tetap sokong

Angkatan Muda Keadilan (AMK), Wanita dan Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah pada Rabu menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong Datuk Sangkar Rasam sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.

Ketua AMK Sabah, Zaidi jatil berkata, sidang akhbar yang diadakan secara bersama itu sebagai maklum balas berhubung kenyataan membabitkan 15 ketua cabang yang menolak kepimpinan Sangkar pada Isnin lalu.

“Kami lihat kenyataan 15 ketua cabang untuk menukar Pengerusi MPN Sabah ini tidak pernah berbangkit di mesyuarat sebelum ini.

“Kita telah melalui lima mesyuarat tahunan pada tahun lepas dan tak pernah berbangkit sekalipun agenda untuk menukar sehingga pada Ahad lepas Ketua Cabang Tuaran, Razeef Rakimin telah berdiri dan meminta Sangkar secara terhormat meletakkan jawatan atas beberapa sebab jelas,” katanya dalam sidang akhbar tersebut di Pejabat MPN PKR Sabah

Zaidi berkata, tindakan itu dilihat membelakangi proses musyawarah yang sepatutnya dibawa dalam perbincangan atau mesyuarat parti.

“Ikutilah saluran tersebut bukan dengan mengeluarkan kenyataan media dan sidang media yang menggambarkan pergolakan dalaman parti yang melihatkan parti ini lemah.

“Sebarang keputusan atau berkenaan perubahan MPN Keadilan Sabah adalah atas kuasa presiden. Lantikan Pengerusi MPN dalam Perlembagaan parti di mana lantikan ini atas kuasa presiden dan untuk peletakan jawatan atau mohon pertukaran pengerusi MPN perlu di bawah kuasa presiden,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai kenyataan mengenai rombakan kepimpinan negeri perlu dilakukan susulan Sangkar sudah tidak mendapat sokongan majoriti, Zaidi memaklumkan perkara itu juga diserahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi parti.

“Setakat ini tidak ada sebarang arahan kepada ketua-ketua cabang atau secara jelas dengan bersurat untuk menukar Pengerusi MPN.

“Setakat ini Sangkar sah sebagai Pengerusi MPN walaupun ada andaian daripada ketua cabang yang terlibat,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR Sabah, Noriha Yakub turut menyangkal dakwaan Pengerusi MPN Sabah tidak pernah melakukan program memperkasakan kepimpinan parti sejak beliau dilantik pada 2022.

Sebaliknya beliau berkata, banyak inisiatif program daripada Pengerusi MPN dalam memperkasakan dan mengeratkan hubungan antara pimpinan negeri dan cabang.

“Ini kita boleh lihat jelajah Pengerusi MPN dan cabang di seluruh negeri sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan jelajah mesyuarat pimpinan cabang di negeri ini melibatkan lima zon pada 2022 hingga 2023.

“Jelajah mesyuarat MPN bukan saja tertumpu agenda mesyuarat semata-mata tetapi juga aktiviti lain bagi memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi selain menyantuni masyarakat dengan menyampaikan bakul makanan dan sebagainya.

“Tuduhan yang mengatakan pengerusi hanya menganjurkan majlis makan-makan adalah fitnah dan mempunyai niat yang tidak baik serta berkepentingan peribadi,” katanya.

Sehubungan itu, Noriha berkata, kenyataan itu bukan saja mencemarkan nama parti tetapi menganggu usaha persiapan pimpinan Wanita dan AMK menghadapi pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *