Simpan duit rasuah di rumah, SPRM siasat beberapa individu

f1 min (30)

Sejumlah mata wang asing bernilai kira-kira RM5 juta ditemukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika menggeledah di sebuah pangsapuri yang didakwa dijadikan ‘safehouse’ seorang ahli politik berpengaruh. Tindakan ini adalah susulan penahanan dua individu termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) berkait kes rasuah berhubung konsesi perlombongan pasir.

Menurut sumber, kedua-dua suspek itu didakwa ada kaitan dengan ahli politik terkenal yang pernah mempunyai pengaruh politik di Selangor.

“Susulan penahanan itu, seorang suspek mendedahkan kewujudan ‘safehouse’ yang bertujuan menyimpan wang hasil rasuah milik seorang ahli politik berpengaruh,” katanya.

Menurutnya, penggeledahan dilakukan pada pada jam 10 malam di sebuah pangsapuri di mana ia disewa oleh seorang ahli perniagaan sebagai tempat penyimpanan wang hasil rasuah yang diperoleh.

“Hasil penggeledahan menemui sejumlah wang mata wang Singapura SG$1,529,000 atau kira-kira RM5 juta,” katanya.

Katanya, wang itu disimpan bertujuan untuk kegunaan ahli politik berkenaan bagi aktiviti politiknya.

“Wang itu telah disita oleh SPRM bagi siasatan lanjut. Dipercayai wang itu diberikan oleh seorang individu yang belum dikenal pasti identitinya dan disimpan oleh ahli perniagaan ini atas arahan ahli politik berpengaruh tersebut,” katanya.

Sebelum ini, SPRM menahan dua individu termasuk seorang bekas eksekutif kanan di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI untuk siasatan kes rasuah konsesi perlombongan pasir.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan masih di peringkat awal dan disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009. Seorang daripada mereka telah direman lima hari, manakala seorang lagi dibebaskan atas perintah mahkamah kerana masalah kesihatan. SPRM turut menyita kira-kira 15 akaun bank milik individu dan syarikat untuk siasatan lanjut.

Setelah Safe House pertama digeledah, nampaknya ada lagi tempat penyimpanan wang haram

Dua lagi tempat penyimpanan wang telah digeledah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar ibu negara susulan penggeledahan pertama yang dibuat di sebuah pangsapuri.

Penggeledahan yang dibuat pada malam Ahad itu turut berjaya menemui wang tunai termasuk mata wang asing dengan nilai keseluruhan sebanyak RM321,000.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, memang ada dua lagi tambahan ‘safehouse’ yang digeledah dan turut menemui wang tunai di rumah berkenaan.

“Saya tidak boleh dedahkan lagi dan pegawai saya telah menggeledah ada tambahan dua safehouse lagi yang dikatakan ada tersimpan wang. Salah satu daripadanya ada penemuan lebih kurang SG$74,000 atau RM243,000. Kemudian di satu tempat pejabat dijumpai wang lebih kurang RM78,000 dan kita juga mendapat maklumat ada wang telah dibuat pelaburan di Singapura namun saya tidak boleh dedahkan berapa jumlahnya dan siapa pemiliknya.

“Ya (Lembah Klang), ada di Kuala Lumpur, ada di sekitar Selangor. Penggeledahan yang pertama dibuat pada Sabtu malam dan yang seterusnya malam tadi, kita buat satu persatu selepas siasatan dan dapat pengakuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC).

Azam dalam pada itu tak menolak kemungkinan akan ada lagi penggeledahan seterusnya dilakukan oleh SPRM mengikut siasatan yang dilakukan.

“Rasanya akan ada lagi penemuan-penemuan di safehouse yang lain, yang ini kita masih lagi menjalankan siasatan dan risikan terhadap penyimpanan wang ini. Mungkin ada dibuat penyimpanan di bank-bank lain, yang ini sedang kita siasat,” katanya.

Sebelum itu, beliau turut mengesahkan laporan mengenai penemuan S$1.5 juta atau kira-kira RM5 juta di sebuah tempat yang dikatakan safehouse.

Ahli politik ternama tersebut akan dipanggil SPRM

Tan Sri Azam Baki memaklumkan pihaknya bakal memanggil ahli politik dikaitkan dengan penggeledahan ‘safe house’ baru-baru ini. Azam berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat penglibatan ahli politik namun belum dapat mendedahkan identiti individu berkenaan.

“Kita perlu memperoleh segala bukti dan apabila disahkan, SPRM akan memanggil individu berkaitan.

“Namun kita tidak menafikan beliau akan dipanggil,” katanya ketika ditemui media sewaktu hadir pada Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC)

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah keseluruhan tangkapan, Azam menyatakan seramai empat individu ditahan reman termasuk seorang wanita.

“Yang direman sekarang ini yang ditangkap pada 10 Oktober lalu dan direman sehingga 15 Oktober iaitu seorang pengarah syarikat atau seorang ahli perniagaan. Seorang lagi pernah bertugas di Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) MBI iaitu seorang lelaki berumur 45 tahun namun hanya berjaya menahan reman satu malam saja kerana dia mempunyai masalah kanser prostat.

“Ketiga individu berjawatan pemandu berumur 43 tahun dan direman selama tiga hari dan sudah dilepaskan. Seorang lagi wanita iaitu bekas pegawai kewangan satu syarikat berumur 46 tahun tetapi dilepaskan selepas reman tiga hari,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *