Pernah tak korang cari kat Google atau WebMD bila korang ada rasa sakit-sakit? Ye lah, nak jumpa doktor pun takde masa. Kadangkala tak tau pun betul ke tak sakit korang tu kena dengan apa yang korang cari. Simptom-simptom ni tak boleh buat main, tau… sebab tu korang tak digalakkan untuk buat self-diagnose lagi-lagi setakat cari kat Internet.
Aplikasi mudah fokus orang Malaysia agar lebih sihat, pada awalnya idea ni ditolak
Kali ni, kami nak kongsi dengan korang pasal satu aplikasi yang lahir dari kepala orang Malaysia sendiri, iaitu Bookdoc. Diasaskan oleh Datuk Chevy Beh dan 2 orang kawannya, anak kelahiran Ipoh ni merupakan anak sulung kepada pengasas BP Healthcare, Datuk Beh Chun Chuan.
Latar belakang dia ni memang dalam bidang perkhidmatan kesihatan, jadi dia boleh faham macam mana industri tu berfungsi. Namun bekerja di bawah syarikat bapanya, BP Healthcare dengan nak bina perniagaan sendiri tu pun ada susah senangnya. Idea aplikasi tu hampir ditolak sebelum konsep baharu dirangka semula.
Bookdoc kemudiannya dilancarkan kat Malaysia pada tahun 2015, dengan fokus nak beri perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia dan tengah kembangkan sayapnya di beberapa negara jiran seperti Filipina dan Indonesia.
“Kami sasarkan nak jadi Amazon dalam bidang penjagaan kesihatan. Kami ingin jadi platform yang boleh dipercayai dimana pengguna tak ragu mengenai integriti dan kualiti maklumat yang kami sediakan…-Datuk Chevy Beh, seperti yang dilaporkan oleh South China Morning Post pada 27 Disember 2017
Macam Grab, tapi untuk doktor dan pesakit, lebih kurang macam Grab lah…
Idea Bookdoc ni boleh dikatakan suatu yang baharu dan unik sebab ia menghubungkan pelanggan dengan pakar perubatan yang bertauliah. Haa… konsepnya hampir sama macam e-hailing, dimana aplikasi tu mudahkan orang nak cari pemandu yang boleh hantar mereka ke destinasi yang nak dituju.
Kami dah muat turun aplikasi Bookdoc ni, dan kami rasa idea nak jadi servis perhubungan antara pelanggan kesihatan dengan golongan profesional kesihatan ni adalah core concept aplikasi tu. Tapi, kami kena perincikan versi apa yang kami gunakan agar korang tak bingung jika versi korang tak sama pada masa akan datang.
Versi yang kami gunakan adalah versi terbaharu (pada masa ini) iaitu versi 3.1.2 dalam platform iOS. Setakat ni diorang dapat 4.5 bintang daripada 5, dengan 1,500 ratings. Banyak tu… nampaknya sambutan aplikasi Bookdoc agak memberangsangkan.
Ditambah lagi dengan kerjasama Bookdoc dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam program KOSPEN (Komuniti Sihat Pembina Negara) dan International Medical University (IMU), galakan nak manfaatkan Bookdoc ni lebih besar.
Doktor kat hujung jari, ikut korang lah nak jumpa atau nak tanya…
Macam yang kami cakap tadi, kami rasa core concept aplikasi ni seperti Grab untuk pesakit dan doktor. Ada dua ciri utamanya, iaitu nak jumpa doktor atau nak tanya doktor je. Bagi kami, idea ni memang diperlukan pun untuk rakyat Malaysia terutamanya golongan yang kerap mempunyai masalah kesihatan.
Dua ciri yang kami maksudkan sebagai konsep utama Bookdoc ni adalah ‘Search & Book’ dan ‘Teleconsult’. Secara asasnya, aplikasi ni membolehkan korang nak cari klinik berdekatan ikut kategori. Maksudnya, kalau korang ada masalah sakit puan, korang mudah nak cari kat mana klinik terbaik ikut lokasi korang.
Tambah lagi, Bookdoc pun bekerjasama dengan beberapa perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan informasi perjalanan seperti Google Map dan Waze. Lebih menarik, korang boleh tempah jadual janji temu kat klinik pilihan korang. Kami rasa Bookdoc boleh tambah lebih banyak pilihan perkhidmatan perhubungan lain terutamanya untuk mereka yang nak guna pengangkutan awam.
Mungkin korang takde masa nak bersemuka, dan lebih suka nak dengar pandangan pakar? Boleh je… tapi kena bayar. Kami tengok seimbas lalu, harganya pun takdelah sampai poket bocor nak bayar. Tambah lagi, ni adalah doktor daripada klinik swasta, tau. Mungkin dalam versi lain, Bookdoc nak tambah pilihan doktor dari hospital swasta dan awam pula.
Bersaing nak kira jalan kaki sesama warga Malaysia…
Bookdoc Activ boleh dianggap sebagai ciri yang buatkan mereka lebih hebat sebagai sebuah aplikasi penjagaan kesihatan. Kalau korang tengok balik tangkap layar kami kat atas, ada perkataan ‘Activ’ kan? Haa… Bookdoc Activ ni buatkan korang lagi semangat nak bergerak lebih kerap dan cergas nak jalan kaki.
Setiap bulan, korang berpeluang nak bersaing dengan warga Malaysia yang lain, di samping dapat sertai cabaran-cabaran menarik setiap bulan. Korang pun boleh tengok berapa banyak cabaran dah korang sertai. Selain tu, cabaran tu pun terbahagi kepada dua kelompok, iaitu untuk kelompok awam dan kelompok Premium. Yang Premium ni, kena ada kod pengaktifan dulu.
Kalau korang ada jam sukan seperti Mi Band, Apple Watch dan Fit Bit, korang boleh sambungkan data korang ke aplikasi Bookdoc ni. Setakat ni kami dah cuba kat Mi Band, dan ia berfungsi dengan baik. Oleh sebab Bookdoc gunakan data kat Apple Health (untuk iOS), maka korang kena sync dulu data kat jam sukan korang tu kat Apple Health.
Aplikasi penuh potensi, wajib sokong dan nikmati…
Selesailah ulasan ringkas kami dengan Bookdoc ni. Kami nampak aplikasi tersebut betul-betul ada potensi untuk dikembangkan ke pasaran antarabangsa. Malah, kami berpendapat Bookdoc kena lebih rajin mendekatkan diri dengan komuniti badan bukan kerajaan (NGO) lain agar lebih ramai orang awam sedar kewujudan Bookdoc ni.
Jika nak dipinjam konsep industri start-up, model bisnes Bookdoc terlihat ke arah B2B (business to business) kerana langganan Premium mereka. Jadi kami rasa, mereka kena lebih agresif nak promosikan aplikasi mereka ni kat syarikat-syarikat tempatan jugak. Dengan potensi sebesar ni, kami harap aplikasi ni akan terus dikemaskini.
Apapun, kami ucapkan syabas dan akan terus menyokong idea anak muda tempatan. Jika diberi ruang dan peluang yang luas untuk memperkembang bakat mereka, kita berupaya untuk lahirkan lebih ramai anak muda yang hebat-hebat kelak.