Sarawak kuatkuasakan sekatan perjalanan, dan ada hospital yang terpaksa ditutup

F1
Sarawak kuatkuasakan sekatan perjalanan, dan ada hospital yang terpaksa ditutup

Nampaknya dah ramai yang alpa dan lupa bahawa kita sebenarnya masih berperang dengan pandemik, memandangkan banyak kelonggaran dah diberikan oleh pihak kerajaan termasuklah nak adakan kenduri serta menunaikan solat Jumaat. Kalau korang masih ingat, beberapa bulan ni kes aktif kita banyak dilaporkan daripada kelompok pekerja asing dan kelompok rakyat yang baru datang dari luar negara.

Saringan Pemeriksaan
Via Selangorkini

Tetapi sekarang ni dah nak akhir Julai, kita dikejutkan lagi dengan peningkatan kes tempatan khususnya di Sarawak. Ketika artikel ni ditulis, Sarawak kini mencatatkan beberapa lagi kluster lain seperti kluster syarikat kejuruteraan, kluster Mambong, kluster Jupiter dan kluster Jeti Kuching. Yang paling tinggi setakat ni adalah Kluster Hospital Sentosa…

Punca Kluster Hospital Sentosa masih belum dikenal pasti, tak terima pesakit baharu dan terpaksa ditutup kepada orang awam

Sebelum ni kita memang ada beberapa kes melibatkan hospital sehingga hospital tersebut terpaksa ditutup manakala perkhidmatannya tergendala. Kat Sarawak pulak, KKM dah keluarkan makluman menerusi laman rasmi Facebooknya bahawa wujudnya Kluster Hospital Sentosa yang melibatkan sorang petugas kesihatan pada 21 Julai lalu.

Kes pertama kluster ni iaitu kes ke-8773, dimaklumkan telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 13 Julai 2020 dan dikesan positif COVID-19 pada 19 Julai 2020. Oleh disebabkan skop petugas kesihatan ni memang kena bergerak ke sana ke mari di sekitar hospital tu, KKM arahkan siasatan dan mulakan aktiviti pengesanan kes secara aktif (active case detection).

Sehingga 21 Julai 2020 tu, seramai 61 orang telah disaring yang mana 5 daripada positif COVID-19. 5 daripadanya adalah petugas kesihatan manakala sorang adalah pekerja syarikat pembersihan. Semua kes ni telah dirujuk untuk rawatan seterusnya di Hospital Umum Sarawak. Proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan lepas kluster tu dikenalpasti.

Doc7blvy7qf3w6nnmw1gaf
Via The Star

3 hari kemudian, kes untuk kluster Hospital Sentosa pulak bertambah menjadi 8 kes aktif lalu menjadikan kluster tersebut sebagai kluster paling ramai di Sarawak. Ia kemudiannya bertambah lagi susulan hasil saringan pemeriksaan kesihatan KKM untuk mengesan pesakit yang dah terjangkit.

“Setakat hari ini, seramai 643 orang telah disaring dan diambil swab untuk ujian rT-PCR yang melibatkan Kluster Sentosa. Daripada jumlah yang telah disaring tersebut, seramai 16 orang atau sebanyak 2.49% telah didapati positif dengan jangkitan COVID-19,”- Datuk Amar Douglas Uggah, Timbalan Ketua Menteri Sarawak

Pecahan Kes 24 Julai
Via KKM

Dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, ujian secara rawak akan diteruskan serta diperluas sekitar Kota Sentosa disebabkan peningkatan kes daripada saringan kesihatan sebelum ni. Kluster Hospital Sentosa ni antara 9 kluster lain yang wujud di Sarawak, dengan pertambahan kluster yang telah dikesan iaitu Kluster Pusat Perubatan dan Kluster Pasar Stutong.

Pada 25 Julai, keluar lagi laporan bahawa pertambahan kes Kluster Hospital Sentosa kini dah meningkat kepada 20 kes. Ni menjadikan daerah Kuching sebagai satu-satunya daerah di Sarawak yang diletakkan dalam zon merah penularan tempatan. Bau dan Samarahan pulak masih lagi diletakkan sebagai zon kuning manakala 37 daerah lain masih lagi dalam zon hijau.

Kuching Kluster Sentosa
Via RTM

Disebabkan peningkatan jumlah kes di Hospital Sentosa tu, hospital terpaksa ditutup dan semua kakitangan hospital tak dibenarkan balik ke rumah serta dikuarantin di dalam hospital tersebut selama 14 hari. Berita Harian mendakwa ‘sebahagian besar’ dari kakitangan tu dijangkiti COVID-19, tapi kami tak dapat mengesahkan dengan laporan lain berkenaan jumlah ‘sebahagian besar’ ni.

Sarawak kuatkuasakan sekatan perjalanan, kita mungkin berhadapan dengan PKP semula jika kes aktif bertambah lagi

Sekarang ni, lebih banyak kluster lain telah dikenalpasti seluruh negara seperti Kluster PUI Ramnad, Kluster PUI Al Khobar dan Kluster Elsa dimana ketiga-tiga kluster ni melibatkan warganegara Malaysia yang pulang dari negara lain atau sekapal dengan krew bukan warganegara yang ada sejarah perjalanan dari Filipina dan transit ke Korea. Tapi ni kes import… yang merisaukan kami adalah penularan kes tempatan.

Seperti kluster Hospital Sentosa, puncanya masih belum dapat dikenalpasti lagi setakat ni… jadi risiko penularan dan kebolehjangkitan tu masih lagi tinggi sehingga di luar kawasan Kota Sentosa. Kalau kes import, biasanya kita dah boleh jejak kerana pengesanan awal kat sempadan negara untuk mereka yang pulang semula ke tanah air.

Sempadan Klia
Via ISMAWeb

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan bahawa mereka akan buat semula sekatan perjalanan, dimana pergerakan antara bahagian daerah tak digalakkan kecuali untuk hal-hal tertentu.

“Antara kes yang dibenarkan adalah bagi menjalankan tugas rasmi, pekerja perkhidmatan penting, kematian ahli keluarga terdekat, ahli keluarga sakit tenat dan keperluan pemeriksaan kesihatan,”-Datuk Amar Douglas Uggah, Timbalan Ketua Menteri Sarawak

Untuk warga Malaysia yang baru balik dari luar negara dengan pesawat dan transit di Semenanjung Malaysia, Labuan, Sabah, Brunei atau Singapura pula diwajibkan menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari. Kemasukan pelajar program prauniversiti Universiti Sarawak Malaysia (UNIMAS) dan pembukaan sekolah untuk beberapa kawasan terpaksa ditangguhkan hingga 3 Ogos.

Metro Saringan
Via Harian Metro

Sepertimana yang dah kami katakan sebelum ni, ramai yang dah mulai leka dengan situasi COVID-19 ni dan sudah ramai pulak yang langgar peraturan serta SOP yang telah ditetapkan. Pakai pelitup separuh muka tu pun taknak dah, hmm…

Berikutan ‘kelekaan’ kita ni, KKM pun dah macam nak bersedia untuk lonjakan kes baharu akibat masyarakat yang dah leka termasuklah dalam isu kegagalan lebih dari 2,000 orang yang tak lapor diri untuk pemeriksaan kesihatan kali kedua. Taknak lapor diri, maka mereka yang terlibat akan ditahan dan didakwa. Senarai nama dan alamat dah ada tu…

“Mereka akan berdepan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika masih enggan menjalani ujian saringan COVID-19 kali kedua, bermula hari ini.

“Sekiranya mereka yang ditahan ini positif COVID-19, kita akan dakwa mereka selepas pulih. Saya amat tegas mengenai perkara ini,”- Tan Sri Abdul Hamid Bador, Ketua Polis Negara

Pemakaian pelitup separuh muka pulak dah dimaktubkan sebagai perkara wajib lepas diwartakan nanti. Dulu takde hukuman, sekarang dah ada hukuman dah disebabkan lonjakan kes tempatan. Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kalau ada lonjakan kes hingga tiga angka lagi-lagi lepas Hari Raya Aidiladha ni… kita akan terpaksa menguatkuasakan PKP semula.

Bila PKP dikuatkuasakan kembali, ertinya tak boleh berniaga, tak boleh keluar rumah, tak boleh pergi kerja. Dulu kita boleh tengok sendiri betapa ramai yang terjejas ekonominya disebabkan perintah sekatan tersebut. Belum tambah lagi kesan psikologi ke atas kita sendiri yang terpaksa duduk kat rumah je. Kalau nak kembali pulih, kita kena teruskan hidup norma baharu ni tanpa terleka lagi.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top