Piagam Muafakat Nasional, moga bukan untuk lindungi pemimpin korup

Lawak
Piagam Muafakat Nasional, moga bukan untuk lindungi pemimpin korup

Macam yang kita tau, baru-baru ni telah diadakan Himpunan Perpaduan Ummah yang dihadiri puluhan ribu penyokong kedua-dua parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Arus semasa menyaksikan pembangkang mempunyai peningkatan sokongan, ekoran senario sosio-politik semasa yang dilihat agak mencabar khususnya terhadap kehidupan umat Melayu-Islam di negara ini.

Piagam Muafakat Nasional, moga PAS-UMNO mainkan peranan baik sebagai pembangkang…

Dalam program tu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO) dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani piagam kerjasama antara dua parti itu yang disaksikan ribuan penyokong kedua-dua parti di sana. Malaysia telah menyaksikan kemunculan sistem dua parti secara jelas sejak 2008. Malah, PAS sendiri pernah menyertai gabungan Kerajaan PAS-Perikatan sebelum ditukar nama menjadi Barisan Nasional (BN).

Via FMT

Jadi, gabungan PAS-UMNO ni bukanlah sesuatu yang baru. Benda ni juga membuktikan PAS, sepertimana ketika bersama Pakatan Rakyat (PR) dulu, memang memerlukan kerjasama dan gabungan untuk memenangi PRU di negara kita. Rakyat lah yang akan menjadi penentu dalam pemilihan gabungan parti yang disenangi atau dipercayai mereka. Dari segi demokrasi, ia sebenarnya adalah sesuatu yang positif – kerajaan diimbangi oleh oposisi yang mempunyai banyak sokongan.

Selain menyubur demokrasi, ia dilihat sebagai usaha untuk memperkukuhkan lagi blok pembangkang yang pastinya menguatkan peranan mereka di dalam menjalankan tugas untuk rakyat.

Mungkin PAS dan UMNO boleh belajar daripada Walikota Surabaya, Tri Rismaharini yang pernah dapat Anugerah Datuk Bandar nombor 3 terbaik dunia daripada The City Mayors Foundation. Walaupun dia ni kuat marah, tapi kerja dia tetap jalan. Bukan hanya pandai bising bila berceramah, tapi bab rasuah dan kelestarian alam sekitar, diam seribu bahasa.

Boleh tengok sendiri transformasi yang Ibu Risma buat pada bandar tu. Ibu Risma ni sayangkan alam sekitar, malah pernah memaki hamun sebuah syarikat yang mengedarkan aiskrim percuma, kerana tidak menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan Surabaya, sampai rosak semua pokok bunga kat taman.

Tri Rismaharini. Via Surabaya

Ni namanya marah dan tegur bertempat dan mendidik, bukan marah caci maki carut provokasi tapi takda hujah pun.

Tapi, ada dalam kalangan pemimpin utama terpalit rasuah, mereka perlu pemimpin muda…

Muafakat Nasional ini nampak tempang kerana dipelopori oleh para pimpinan senior yang masih ada ‘historical baggage’, selain tidak menyatakan dengan jelas deklarasi untuk menentang rasuah serta salah guna kuasa. Himpunan mempertahankan Melayu dan Islam tidak bermakna jika amalan rasuah terus berleluasa.

Via MalaysiaDateline

UMNO juga kelihatan terus berpecah jika melihat kerjasama dengan PAS, memandangkan terdapat beberapa nama besar pimpinan parti itu yang tak turun sama ke PWTC. Jadi, muafakat ini sebenarnya perlu melibatkan lebih ramai pimpinan muda dan baru yang bersih, bagi membentuk idea dan pergerakan yang segar dan jitu.

Politik khidmat, dan bukannya politik manfaat diri sendiri perlu direalisasikan.

Via Utusan

Ada yang melihat tindakan pimpinan PAS dalam membuat gabungan bersama UMNO sebagai menghancurkan legasi serta perjuangan tokoh terdahulu PAS, khususnya Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Nik Aziz Nik Mat, yang terkenal setia dengan perjuangan menentang UMNO-BN sehingga akhir hayat mereka.

Tragedi Memali, pernah jadi perdebatan besar di antara UMNO dan PAS…

Memandangkan perhimpunan itu dianjurkan di PWTC yang terkenal sebagai kubu UMNO, perlu juga disebut tentang Tragedi Memali yang menjadi modal kempen ceramah PAS sejak sekian lama. Ini kerana, lukisan-lukisan mural yang menghina, menyindir serta mengutuk PAS masih tersergam indah di dinding-dinding PWTC itu. Yang cakna pasti akan terasa hati.

Peristiwa berdarah 19 November 1985 itu telah mengorbankan 18 orang, termasuk 14 ahli dan penyokong PAS. Turut terkorban, anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi tersebut. Memali ialah sebuah kampung terletak di kawasan pedalaman Baling, Kedah, yang pernah menyaksikan insiden berdarah membabitkan pasukan polis dengan penyokong PAS yang juga pengikut tokoh parti itu, Ustaz Ibrahim Mahmud, yang dikenali sebagai ‘Ibrahim Libya’.

Via Berita Harian

Polis dakwa insiden tercetus selepas usaha mereka untuk menahan Ustaz Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berdepan tentangan daripada penduduk kampung tersebut. Sebelum himpunan di PWTC, PAS mendakwa bahawa operasi yang dinamakan “Operasi Angkara” itu dilancarkan kerana bermotifkan politik bagi membendung pengaruh Ustaz Ibrahim yang luas dalam pengikut PAS.

Walaupun sebahagian daripada lukisan mural yang negatif berkenaan PAS telah diubahsuai, namun masih terdapat imej berkaitan Memali dan Al-Maunah yang cuba mengaitkan PAS sebagai parti pengganas. Imej asal Ustaz Nik Aziz dan Ustaz Hadi Awang telah diganti dengan lakaran dahan pokok.

Namun, imej individu menjerut lehernya di dahan pokok semakin dibesarkan berhampiran gambar berkaitan Memali dan Al-Maunah (Tragedi Sauk). Tragedi Sauk merupakan kes rompakan bersenjata di Kem 304 Askar Wataniah di Gerik, Perak pada 2 Julai 2000.

Via FMT

Sebelum diubahsuai, lukisan itu memaparkan gambar seorang lelaki berjubah dan berserban persis wajah Ustaz Hadi Awang sambil memegang kain rentang bertulis, “Peristiwa Sauk sandiwara Umno”. Pemimpin PAS ketika itu menuduh pihak UMNO-BN ‘bermain sandiwara’ kerana mengaitkan para pengikut Al-Maunah sebagai ahli PAS.

Lakaran dua jarum suntikan besar dengan bendera PAS di atasnya turut diubahsuai dan dipadam. Sebelum ini, ia memaparkan imej simbolik PAS yang didakwa menjadi penghasut di Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan universiti awam (asalnya ada logo UTM dan UIAM). Lukisan seorang individu yang memegang parang panjang masih dikekalkan, namun ada yang kurang jelas sama ada ia merujuk Ustaz Ibrahim Libya atau Mohamed Amin, yang memimpin Al-Maunah.

Via Ameno

Lakaran baru telah ditambah pada mural tersebut, memasukkan peristiwa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012, dengan gambaran imej berserta imej kereta peronda polis terbalik, dengan ramai demonstran memegang bendera PKR.

Moga ikatan kedua-dua parti ni demi ‘ummah’, bukan untuk selamatkan mana-mana pihak…

Usai himpunan di PWTC, timbul banyak persoalan dalam benak kita semua: adakah benar-benar diadakan ikhlas untuk ummah? Atau untuk parti dan menyelamatkan ketua parti sendiri semata-mata?

Sejarah sendiri mencatatkan bagaimana PAS telah ditendang keluar daripada BN pada 1977 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Hussein Onn. Mungkinkah pengkhianatan seperti ini akan berlaku lagi, baka kata pepatah, habis madu sepah dibuang? Masa dan takdir akan menentukan…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top