Baru-baru ni, sidang parlimen menyaksikan satu-satunya usul yang dibawakan kepada kerajaan ditolak selepas perjanjian persefahaman termeterai antara pihak kerajaan dan pembangkang. Dalam keadaan biasa, usul yang tertolak tu mungkin takdelah nak dijadikan sebagai salah satu petanda bahawa sesebuah pilihan raya tu semakin dekat. Namun berbeza pulak pada kali ni, yang mana ni secara tak langsung dikatakan punca perlanggaran perjanjian persefahaman (MOU).
Satu lagi, usul yang dibawakan tu pulak memang dapat disebutkan ‘duri dalam daging’ kerana terlalu banyak isu yang tak selesai. Usul yang kami maksudkan adalah berkenaan dengan Sosma. Sosma ni asasnya merupakan suatu akta dimana seseorang tu boleh ditahan tanpa ada kepastian bila mereka dapat dilepaskan kerana ancaman risiko keselamatan negara.
Ada kata ni semua salah blok pembangkang sebab tolak usul yang dibentangkan kerajaan. Ada jugak kata ni sebenarnya salah blok kerajaan yang sendiri tak cukup kehadiran sehingga dapat menyokong usul yang dibawakan sendiri oleh pihaknya. Betul ke perjanjian persefahaman tu dah ‘terbatal’ sekarang?
Umno kata MOU antara kerajaan dan PH dah batal, dakwa tanda kerajaan tak stabil
Susulan kegagalan usul penguatkuasaan subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) mendapat undi secukupnya melalui undian belah bahagi beberapa hari lalu, beberapa pemimpin Umno dakwa ni jadi bukti kerajaan dah tak stabil.
“Kegagalan menteri dalam negeri (untuk) meluluskan subseksyen Sosma ini menunjukkan dengan jelas ia (kerajaan) sudah tidak stabil dan memberi gambaran buruk kepada kerajaan di parlimen. Ternyata perjanjian di antara kerajaan dan pembangkang sudah tidak boleh diguna pakai dan ia terbatal. Masa terbaik melakukan pilihan raya,”- Razlan Rafii, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Apa yang berlaku pada usul kerajaan, katanya, jarang gagal lepasi undian walaupun sebelum ni dah banyak cubaan serang hendap dilakukan oleh pembangkang. Namun begitu, usul yang dibawa kerajaan tetap dapat sokongan yang mencukupi.
Bagi Annuar Musa yang merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, tindakan pembangkang tak sokong usul pihak kerajaan bermakna MOU antara PH dan kerajaan kini dah terbatal.
Hal ni berdasarkan Perkara 3.3 (b) MOU tersebut, yang mana memerlukan PH untuk mengambil pendirian menyokong atau berkecuali dalam sebarang usul yang dikemukakan kerajaan.
“Namun, hari ini, PH telah melanggar MOU tersebut dengan secara mengejut meminta undi belah bagi, bagi satu usul yang dibawa oleh menteri KDN, […] pihak PH telah mengundi menolak usul tersebut. Pada hemat saya, dengan tindakan itu, maka terbatal sudah MOU berkenaan.
Ini akan memudahkan lagi tanggungjawab Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan mandat Perhimpunan Agung UMNO terutama berkaitan pembubaran Parlimen. Ianya juga membolehkan kita segerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selari dengan keputusan perhimpunan tempoh hari.
Gantung MoU! Jom…Kita buat persiapan dan bersedia untuk PRU-15,”- seperti yang dilaporkan Utusan
Mengulas lanjut, Annuar kata PM Ismail Sabri kini dah bebas untuk membatal atau menggantung pelaksanaan MOU tersebut. Bahkan, tindakan PH ni sebenarnya mudahkan lagi tanggungjawab PM untuk mandat Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 terutama berkaitan pembubaran Parlimen.
Bersatu kata ada baiknya Hamzah letak jawatan lepas ni, ketidakhadiran tiga tokoh UMNO seolah dirancang
Bagi pihak Bersatu pulak, Ketua Pemudanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan tindakan PH sebagai biadab dan mencabuli semangat MOU kerajaan – PH. Manakala Hassan Abdul Karim, ahli parlimen Pasir Gudang pulak berpandangan bahawa kegagalan kerajaan dalam membawa usul tersebut takkan paksa Hamzah atau Ismail Sabri letak jawatan mahupun cetuskan pembubaran Parlimen.
Bagaimanapun, Hassan tak halang sekiranya Hamzah sendiri nak bertanggungjawab secara moralnya untuk letak jawatan. Malah, dia rasa kerajaan dilihat amat panik dengan kegagalan tak disangka-sangka tu. Sepatutnya Dewan Rakyat tak perlu ditangguhkan sehingga ia selesai dibentangkan dan diputuskan usul terbabit.
“Mungkin secara kebetulan, mungkin tidak dirancang, tiga orang penting di pihak kerajaan tidak hadir di Parlimen semasa pengundian, iaitu Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Ahmad Zahid Hamidi; dan Ahli Parlimen Pagoh, Muhyiddin Yassin.
Jika Najib, Zahid dan Muhyiddin hadir di Dewan Rakyat petang tadi dan mengundi menyokong usul tersebut sudah pasti kerajaan tidak mengalami kekalahan, walaupun tipis tetapi amat memalukan selepas menang bergaya dalam PRN Melaka, Sarawak dan Johor,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Untuk pengetahuan korang, subseksyen berkenaan – yang membenarkan seseorang suspek ditahan sehingga 28 hari tanpa perlu dihadapkan di hadapan majistret – tak akan lagi berkuat kuasa selepas ia luput pada 31 Julai 2022. Usul ni dibawa oleh Hamzah dan gagal dapat sokongan mencukupi selepas hanya 84 ahli parlimen yang menyokong manakala 86 tidak bersetuju. Seramai 50 wakil rakyat dilaporkan tidak hadir.
PH jelaskan ni tak batalkan MOU, ini antara sebabnya
Anwar Ibrahim, Pengerusi PH pulak anggap MOU tu masih belum terbatal. Salah satu sebab kenapa dia bertegas ia belum lagi terbatal kerana usul tu bukanlah sebahagian daripada MOU antara kerajaan dan PH. Penolakan usul tu tak mendatangkan kesan sama sekali kepada perjalanan MOU.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke turut berpandangan yang sama. Baginya, kegagalan usul kerajaan berkaitan Sosma mendapatkan sokongan di Dewan Rakyat tak bermakna pembangkang langgar perjanjian. Selepas undian usul tersebut, dia bersama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dan Presiden Amanah Mohammad Sabu dah bertemu dengan PM Ismail Sabri Yaakob untuk jelaskan usul tu bertentangan dengan pendirian PH.
Hal ni menurutnya, PH akan beri sokongan penuh kepada dua usul dan rang undang-undang yang diperincikan dalam MOU antara PH dan kerajaan.
“Saya nak bagitahu di sini, ini tidak bermaksud kita telah melanggari MOU kita antara PH dengan kerajaan kerana usul berkenaan Sosma ini ataupun usul-usul lain ini dia tak ada berkaitan dengan MOU.
MOU di antara PH dengan kerajaan ialah hanya dua perkara sahaja yang kita akan mengambil pendirian berkecuali ataupun tidak menyokong iaitu untuk belanjawan tahunan dan juga usul undi percaya terhadap yang amat berhormat perdana menteri.
Jadi selain daripada dua perkara ini, yang kita perlu rundingkan bersama sekiranya ada apa-apa usul atau RUU ini, maka untuk semua RUU atau usul-usul yang lain perlulah dirundingkan dengan kita terlebih dahulu,”- seperti yang dilaporkan Malaysiakini
Selain tu, Anthony Loke jugak kata kegagalan melanjutkan usul tersebut sebenarnya suatu sejarah yang luar biasa dalam Dewan Rakyat. Akan tetapi, tindakan ahli parlimen pembangkang bertindak sedemikian kerana ia hak diorang sebagai ahli parlimen. Sekiranya dalam tafsiran pihak kerajaan, blok pembangkang tak dapat menolak sama sekali semua usul yang dikemukakan… secara tak langsung, ia menafikan hak dan mandat kepercayaan diorang sebagai wakil rakyat.
Ramai jugak ahli pembangkang yang lain kata salah satu sebab yang membawa kepada kegagalan usul tersebut adalah isu ketidakhadiran pihak kerajaan sendiri semasa pengundian tu dijalankan. Syed Saddiq kata:
“Saya nak sentuh tentang bagaimana keputusan semalam dicapai. Keputusan menyokong (dari kerajaan) – 84 undi. Keputusan menolak (dari pembangkang) – 86 undi. Ada 2 undi majoriti, jadi usul ditolak.
Saya nak sebut juga, ada 32 Ahli Parlimen Kerajaan tak hadir ke Dewan untuk mengundi – juga menyebabkan usul ini berjaya ditolak Pembangkang. Jadi, boleh sahaja kalau kerajaan mahu luluskan usul semalam, tapi mereka memilih untuk tidak hadir ke dalam Dewan Rakyat dan jalankan hak untuk mengundi sebagai Ahli Parlimen.”- seperti yang dilaporkan Malaysia Dateline
Dengan kekaburan dan salahfaham yang berlaku, akhirnya kerajaan umumkan akan membentangkan semula usul subseksyen Sosma. Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin kata:
“Saya sedang lihat bagaimana kami dapat bentangkan semula. Kami kesuntukan masa. (Sesi) Ogos terlalu lewat kerana ia sudah luput. Kerajaan kena lihat bagaimana untuk melakukannya,”- seperti yang dipetik The Star
Hal ini masih lagi dalam perbincangan untuk menentukan langkah seterusnya. Namun kehendak nak bentangkan semula usul ni diharapnya dapat disambut dengan baik oleh ahli parlimen yang ada di Dewan Rakyat. Moga kejadian ni tak berlaku lagi, khususnya dengan masalah ketidakhadiran ahli parlimen yang akhirnya mengugat situasi politik seperti yang cuba ditimbulkan oleh Umno. Harapnya ni membuka semula peluang untuk kita memperbaiki Sosma dan kesannya terhadap ramai individu yang akhirnya takde bukti dapat mengancam negara; tiber pulak dijadikan punca kerajaan harus lancarkan pilihan raya umum. Baru je Johor buat pilihan raya, sebilangan para politikus nampaknya dah ghairah nak cari kemenangan untuk satu negara pulak.