Malaysia ni merupakan sebuah negara yang penduduknya menganut pelbagai agama dan budaya. Sebab tu, setiap rakyat dalam negara ni sepatutnya dah lama faham; perkara berkaitan agama adalah amat sensitif dan perlu dihormati. Kami pun pelik kenapa ramai yang suka simbah minyak kat api yang tengah marah, entah apa yang difikirkan oleh diorang sampai tak beragak apabila bermain sentimen perkauman. Sejak bertahun-tahun lamanya, rakyat dalam negara ni dah diasuh supaya hormati agama, budaya dan amalan keagamaan bangsa lain. Benda ni basic kot kalau nak duduk Malaysia…
Setiap ahli politik dan masyarakat dalam negara ni sepatutnya faham sensitiviti masyarakat beragama
Isu-isu berkaitan pertelingkahan politik ni sepatutnya ditumpukan kepada persoalan yang boleh menggugat kestabilan politik, ekonomi, masyarakat dan negara. Perbincangan yang lahir daripada pertelingkahan tu pulak harus bersifat ilmiah dan menurut disiplin ilmu. Tak perlulah sampai level mempersendakan atau mempertikaikan amalan agama masyarakat lain untuk tujuan meraih sokongan politik.
Isu agama tak sepatutnya dijadikan modal politik dan perlu jugak diketahui ramai, parti politik jugak bukan wahyu daripada Ilahi yang tak boleh berubah dan bertukar dasar. Jika isu-isu berkaitan agama digunakan untuk mempersendakan individu atau kaum tertentu maka konsep berpolitik macam ni tak sihat dan boleh menggugat keharmonian kaum.
Negara yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama seperti Malaysia sepatutnya jadikan rakyatnya terutama pemimpin-pemimpin parti politik lebih prihatin terhadap keharmonian kaum, kelancangan dan kebiadaban apabila mempersoalkan amalan dan budaya agama lain akan membawa bahaya kepada kestabilan dan keamanan negara. Tapi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, sikap menghormati budaya dan agama lain semakin hari kian terhakis akibat daripada perselisihan politik di antara parti-parti politik sehingga ke tahap memperkecil-kecilkan amalan agama masyarakat tertentu.
Setiap ahli politik dan masyarakat dalam negara ni sepatutnya faham sensitiviti masyarakat beragama. Kritikan dan mempersendakan amalan masyarakat beragama lain bukan setakat boleh guris hati masyarakat tu, malah boleh menyebabkan bertambahnya perasaan negatif dan prejudis di antara satu sama lain. Kita hidup kat Malaysia ni nak harmoni dan aman damaikan? So, setiap orang kena cuba mainkan peranan dari sekarang.
Perjuangan politik sering mengaitkan isu-isu agama tanpa berlandaskan kepada konteks ajaran agama sebenar
Masyarakat negara ni sejak merdeka diasuh untuk hormati antara satu sama lain berlandaskan Perlembagaan negara dan prinsip penubuhan Malaysia. Sepatutnya pemimpin politik yang berbeza agama dan budaya mendidik masyarakat mengenai adab dan etika dalam kehidupan masyarakat majmuk, bukan mempersendakan amalan agama lain lantaran kebencian terhadap pemimpin parti lain yang dianggap sebagai musuh dalam politik.
Perselisihan politik sepatutnya ditumpukan kepada aspek untuk menegakkan keadilan dan kepentingan bersama seluruh masyarakat dalam negara ini tanpa mengira kaum dan agama. Perbuatan mencerca individu dengan mempersendakan amalan agama dan tradisi masyarakatnya adalah satu tindakan yang boleh mendorong kepada permusuhan kaum.
Perjuangan politik sering mengaitkan isu-isu agama tanpa berlandaskan kepada konteks ajaran agama sebenarnya adalah salah satu faktor yang boleh menyebabkan masyarakat lain memandang sinis kepada perjuangan tu. Masyarakat Islam sepatutnya meneliti secara komprehensif setiap aspek berkaitan pergolakan politik, suasana dan realiti yang wujud masa kini bagi menegakkan keadilan dan kestabilan politik, ekonomi dan sosial supaya perjuangan yang laungkan itu mendapat sambutan daripada rakyat.
Kekuatan parti politik adalah berdasarkan ketajaman pemikiran pemimpin parti dan sokongan rakyat, bukan istilah agama
Kekuatan parti politik adalah berdasarkan ketajaman pemikiran pemimpin parti dan sokongan rakyat bukan hanya berlandaskan kepada istilah-istilah agama yang tak difahami oleh kebanyakan masyarakat Islam dan bukan Islam. Dalam konteks masyarakat berada dalam dunia yang dilanda oleh pelbagai ideologi maka penjelasan secara terperinci dalam aspek ajaran agama adalah amat penting bagi menyedarkan masyarakat Islam bukan setakat alat politik.
Umat Islam perlu muhasabah, kaji secara komprehensif setiap aspek yang ingin dijadikan sebagai dasar negara supaya setiap usul yang dikemukakan itu dapat sambutan daripada umat Islam secara keseluruhannya dan meyakinkan masyarakat bukan Islam.
Artikel ini banyak merujuk idea Prof Madya Dr. Saodah Abd Rahman, melalui artikelnya di Utusan