Kisah Masjid Kampung Laut, masjid diiktiraf tertua di negara kita

Back In Time 3

Walaupun agama Islam adalah merupakan agama rasmi Persekutuan tapi perbezaan agama yang terdapat dalam negara kita adalah merupakan sebuah lambang kepada perpaduan yang kukuh antara semua rakyat yang terdapat dalam negara kita. Umum mengetahui bahawa Masjid merupakan rumah ibadat bagi sesiapa sahaja yang menganut agama Islam tapi korang semua tahu tak Masjid apa yang tertua dekat negara kita?

Memaparkan rekaan seni bina masyarakat kerajaan Champa…

Untuk pengetahuan korang, Masjid Kampung Laut yang terletak di Nilam Puri, Kelantan adalah merupakan masjid yang tertua di negara kita dan menguatkan hujah kedatangan Islam di negara kita datang dari arah timur dan bukannya dari arah barat. Kedudukan kerajaan Champa yang mana pada ketika ini lebih dikenali sebagai kawasan negara Indo China yang mewakili negara Vietnam, Laos, Thailand dan Cambodia.

Kalau korang nak tahu, kerajaan Champa suatu masa dulu berpusat di selatan Vietnam dan Kemboja. Pengaruh Islam di situ yang bermula sejak abad ke-16 memberikan impak besar pada penyebaran agama Islam di kawasan Kelantan dan Pattani.

kredit gambar : zh.wikipedia.org

Masjid Kampung Laut telah memaparkan secara terperinci rekaan seni bina yang berasaskan masyarakat Champa zaman dahulu dan telah diiktiraf sebagai masjid yang diperbuat daripada kayu paling tua di negara kita. Hikayat orang ramai mengatakan bahawa Masjid Kampung Laut telah dibina oleh pendakwah Islam yang telah sampai ke Kelantan dari sebuah kerajaan yang memerintah Jawa pada ketika itu iaitu kerajaan Demak.

Seterusnya, dikatakan juga bahawa generasi dengan ulama terkenal iaitu Wali Songo yang merupakan kumpulan pendakwah Islam dari Jawa ini telah singgah ke Kelantan semasa dalam perjalanan ke Champa. Pada zaman tersebut, wujud hubungan rapat di antara kerajaan Champa dengan kerajaan Demak dari segi ekonomi.

Kehadiran agama Islam di negeri Melaka…

Untuk pengetahuan korang, sejarah kerajaan Champa mengatakan bahawa segalanya bermula selepas Permaisuri Champa yang bernama Darawati berjaya memujuk suaminya Raja Kertawijaya, Raja kerajaan Majapahit di Indonesia pada ketika itu untuk memeluk agama Islam.

Hasil catatan Manuel Godinho de Eridia yang merupakan seorang penulis dan pengkaji sejarah berbangsa Melayu-Portugis yang dilaporkan pada tahun 1613, menunjukkan bahawa Islam hadir ke negeri Melaka dari kawasan pantai timur negara kita termasuklah kawasan Pattani dan juga sebuah wilayah yang dikenali sebagai Pang. Namun, tak dapat dipastikan bahawa Pang ini merujuk kepada negeri Pahang di semenanjung Malaysia ataupun Phan Rang, sebuah wilayah di Champa.

Ciri seni bina China jelas terpapar dalam seni bina masjid-masjid di kawasan kerajaan Malayu dahulu seperti di Majapahit, Demak dan Melaka. Masjid Kampung Laut dipercayai telah dibina lambat sedikit berbanding dua lagi masjid tertua di Asia Tenggara iaitu Masjid Kudus di Jawa dan Masjid Kuno di Indochina. Secara umumnya, ketiga-tiga masjid ini boleh dikatakan adalah masjid yang tertua di Asia Tenggara yang masih lagi berdiri sehingga kini serta dibina semasa era yang sama.

Masjid Kampung Laut dipindahkan ke tempat yang baru…

Masjid Kampung Laut pada asalnya terletak di Kampung Laut, Tumpat. Namun, masjid tersebut terpaksa dipindahkan ke kawasan kampus Pusat Pengajian Universiti Malaya, Nilam Puri berikutan ancaman banjir yang telah menyebabkan kerosakan sangat teruk pada strukturnya. Banjir yang berlaku pada bulan Januari 1967 itu telah menyebabkan bangunan masjid menjadi senget ekoran daripada air yang menutupi keseluruhan bangunan

kredit gambar : zh.wikipedia.org

Persatuan Sejarah Malaysia yang telah diketuai oleh Tun Haji Hamdan bin Sheikh Tahir telah diberikan tanggungjawab untuk memindahkan bangunan masjid tersebut. Sekumpulan tukang rumah warga Kelantan telah dilantik untuk membuka semula masjid tersebut dan membinanya semula di lokasi yang baru.

Untuk pengetahuan korang, usaha membina semula masjid tersebut telah berlangsung selama lebih dua tahun sebelum masjid tersebut diserahkan kembali kepada Menteri Besar Kelantan pada ketika itu iaitu allahyarham Dato’ Haji Mohd Asri bin Haji Muda. Sehingga kini, Masjid Kampung Laut masih digunakan dalam semua acara yang melibatkan umat Islam dan masih kukuh berdiri biarpun telah dibina beberapa ratus tahun dahulu. Boleh tahan lama juga kan?

Bersyukur kerana kita semua dilahirkan di negara Malaysia…

Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya bersyukur kerana dilahirkan di negara yang aman damai serta mempunyai pelbagai budaya dan kaum. Agak-agak korang lah kan, korang rasa berapa lama lagi Masjid ni akan terus berdiri kukuh?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *