Kashmir berada dalam krisis, tapi bola sepak memberi nyawa kepada mereka

Kashmir
Kashmir berada dalam krisis, tapi bola sepak memberi nyawa kepada mereka

Selama 90 minit beraksi di atas padang bola sepak, penduduk di wilayah Kashmir yang bergolak, hidup dengan normal, meski masih diselubungi perintah berkurung serta protes di luar padang. Kebiasaannya, sebelum perlawanan di tempat lawan, Mohammed Hammad akan menelefon ibunya di Srinagar yang ditadbir oleh India, dan memintanya mendoakan kejayaan pasukannya, Real Kashmir.

Kelab ni ditubuhkan beberapa tahun lepas, jadi sangat popular di Kashmir dan mempunyai ramai peminat.

Real Kashmir. Via IndianKashmir

Pemain tak dapat hubungi keluarga, berlaku sekatan…

Namun, ketika berdepan Goa FC di Stadium Kalyani, Kolkata, Mohammed tak dapat menghubungi ibunya, kerana talian komunikasi diputuskan. Ibunya kini terikat dengan perintah berkurung di dalam rumah, dan dia tidak tahu sama ada keluarganya mempunyai makanan atau ubat yang cukup.

Di dalam bilik persalinan pasukan, para pemain Real Kashmir tetap mampu tersenyum, meskipun pasukan tu kemudiannya tewas kepada Mohun Bagan, 1-3 dalam separuh akhir Piala Durand, kejohanan bola sepak tertua di India. Kelab profesional pertama di Kashmir itu telah berjaya menewaskan beberapa buah kelab berpengalaman, sehingga layak ke I-League, antara kejohanan utama di negara India.

Selepas New Delhi menarik balik status autonomi Kashmir, sekatan komunikasi telah dibuat, menyebabkan para anggota kelab Real Kashmir tidak dapat langsung menghubungi keluarga mereka. Malah, keluarga mereka juga tidak dapat menonton perlawanan kerana perintah berkurung tu, memandangkan kebanyakannya tidak mempunyai televisyen sendiri.

Kashmir. Via CNN

Sebelum perintah berkurung dikenakan pada 5 Ogos lalu, Chattoo melihat pertambahan puluhan ribu tentera India yang memenuhi wilayah itu, tatkala para pelancong diarahkan keluar dari sana. Mengesyaki sesuatu akan berlaku, dia mengarahkan pasukannya mencari hotel berhampiran lapangan terbang. Jika tidak kerana tindakan pantas ini, Real Kashmir pasti tidak dapat beraksi di India.

Pernah ada orang beli 100 biji bola sepak dan beri secara percuma kat Kashmir…

Kebangkitan Real Kashmir adalah seperti satu kisah dongeng – sesuatu yang janggal di wilayah bergolak tu, yang jarang menerima berita yang menggembirakan. Sejak tiga dekad lalu, Kashmir dipenuhi dengan siri protes jalanan anak muda dengan laungan ‘azadi’ atau kemerdekaan dari India, disulami dengan penambahan tentera India yang hampir sejuta orang ramainya.

Via DailyStar

Lima tahun lepas, Sandeep Chattoo, seorang penduduk Kashmir beragama Hindu bersama rakannya, Shamim Mehraj yang beragama Islam, membeli 100 biji bola dan mengedarkannya di kampung-kampung di Kashmir. Mereka mahu anak-anak muda di sana menendang dan menangkap bola, dan bukannya membaling batu dalam demonstrasi jalanan.

Haluan baru, bersama inspirasi untuk kehidupan yang lebih baik, itulah yang cuba Chattoo dan Shamim suburkan dalam jiwa mereka, sebelum menubuhkan kelab Real Kashmir.

Malah pada 2014 ketika kelab itu mula diasaskan, Kashmir dilanda tragedi banjir yang teruk, menyebabkan ramai yang terkesan. Bencana alam dan perang membuatkan ramai yang bersedih, tetapi bola sepak berjaya mengubahnya. Dengan sorakan ahli keluarga dan wajah ‘real’ (sebenar) anak muda Kashmir, mereka melupakan sejenak kisah keganasan serta perang antara India dan Pakistan.

Latihan bola sepak di Kashmir. VIa Mint

Di India, kriket menjadi kegilaan, tetapi bola sepak adalah budaya tegar dalam kalangan orang Kashmir.

David Robertson, jurulatih yang menolak tawaran lumayan untuk berada di Kashmir

Untuk sampai ke pusat latihan diorang yang sebenarnya adalah pusat rujukan pelancong, para pemain kelab itu terpaksa berdepan dengan perintah berkurung dan serangan bom tangan berhampiran pusat itu. Dan semangat ini semakin membara bila pengurusan kelab membawa jurulatih dan pemain dari Scotland, David Robertson, ke kelab itu.

Robertson sanggup menolak tawaran dari China dan Uganda, untuk melatih kelab dengan latar belakang zon perang serta kesejukan melampau di sana. Dia menganggap kesemua anggota kelab itu sebagai keluarganya, dan mahu membina sesuatu yang istimewa di sana.

David Robertson. Via Telegraph India

Real Kashmir bukan sekadar kelab bola sepak. Ia adalah harapan dan impian penduduk di sana. Di Stadium Srinagar, 20,000 orang akan melimpahi arena yang hanya mampu menampung 15,000 kapasiti penonton itu. Ribuan lagi sanggup berdiri di luar, dan meraikan setiap perlawanan seperti penyokong bola sepak negara lain.

Sorakan serta laungan sokongan mereka akan kedengaran bergema di Gunung Zabarwan yang dilitupi salji, simbol bagaimana mereka melupakan kesakitan serta penderitaan perang untuk 90 minit. Di bawah takat beku, para penyokong sanggup hadir walau tanpa pakaian yang tebal untuk ke stadium.

Dapat perhatian Adidas untuk berikan tajaan, beberapa nama terkenal buat dokumentari…

Kebangkitan Real Kashmir turut mendapat perhatian Adidas India, sehingga buat kali pertama menaja kelab bola sepak di India. Adidas turut membuat pameran fotografi hasil karya jurugambar professional, Prashant Godbole, yang berkelana ke Kashmir untuk mendokumentasikan kempen Real Kashmir.

Wajah-wajah para penyokong Real Kashmir yang pelbagai – tua dan muda yang menggilai sukan bola sepak, memberikan sisi lain kepada wilayah yang sering dilihat sebagai sangat berbahaya itu.

Via India.com

BBC Scotland, Aljazeera, Netflix malah penerbit di Bollywood turut membuat liputan, dokumentari serta lakon layar tentang mereka. Hal ini sekadar membakar lagi semangat Chattoo untuk merubah kehidupan para penduduk Kashmir, kerana bola sepak membuat mereka gembira – dan mereka sangat memerlukan kegembiraan itu.

Meskipun tanpa fasiliti serta latihan yang cukup, para pemain skuad Real Kashmir membuktikan bahawa jiwa besar serta iltizam tinggi turut memainkan peranan dalam mencipta kejayaan. Sebelum mendapat penajaan Adidas, kebanyakan pemain malah tidak mampu membeli kasut bola baru untuk beraksi.

Jika sebelum ini para ibu bapa menekankan anak mereka untuk cemerlang akademik untuk menjadi doktor atau jurutera, kini sudah ada yang mula percaya – bahawa bola sepak juga boleh menjadi satu kerjaya.

Dalam kesukaran dan kebimbangan, bola sepak jadi alat penyatuan…

Populariti sukan bola sepak pernah merudum sekitar 1990an, bila tiada kejohanan dimainkan di sana, akibat pergolakan yang berlaku. Bermula dengan 1,000 biji bola, kini ia menyatupadukan penduduk Kashmir. Setiap kali mereka beraksi di atas padang, laungan boleh didengari dalam pelbagai bahasa: Inggeris, Urdu-Hindu, mahupun Kashmir-Koshur.

Namun, yang paling kuat kedengaran adalah bahasa bola sepak, yang boleh difahami oleh seluruh lapisan masyarakat. Dengan jersi kuning-biru, para pemain Real Kashmir memberikan yang terbaik buat wilayah yang mereka wakili. Maruah – itulah yang menjadi keutamaan mereka setiap kali bermain di atas stadium mana sekali pun, malah bila berdepan pasukan hebat mana sekali pun.

Via The News Minute

Real Kashmir FC yang diasaskan pada 2014 kini menjadi simbol kebanggaan penduduk di wilayah yang dibanjiri dengan krisis peperangan itu. Mula ditubuhkan secara rasmi pada Mac 2016, ia memberi nafas baru kepada penduduk wilayah itu yang pernah mempunyai bintang seperti Abdul Majeed Kakroo, yang menjadi kapten India dalam kejohanan Piala Nehru beberapa dekad lepas. Majeed beraksi dalam edisi keenam Piala Nehru pada 1987, ketika India berdepan nama besar seperti Bulgaria, Denmark dan China. Mereka tewas 0-2 kepada Bulgaria tetapi seri menentang China dan Denmark. Ini merupakan antara pencapaian terbaik India dalam kejohanan itu.

Via Rediff

Jika Kashmir mampu menjadikan sukan sebagai simbol perpaduan, serta para pemainnya bermati-matian beraksi demi lencana di dada, meski diancam dengan bom tangan dan bencana alam, sepatutnya para pemain Malaysia boleh memberi yang lebih baik daripada mereka. Semoga kisah Real Kashmir menjadi inspirasi dan motivasi buat kita semua, yang mungkin terkadang leka kerana terlalu senang dan selesa, dengan 1001 kepalsuan dunia.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print