Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dah bersara, dia meraih 81 gelaran PSA daripada 102 perlawanan akhir. Dia jugak memegang rekod sebagai pemain nombor satu dunia selama 109 bulan bermula 2006 hingga 2015. Seperti Lee Chong Wei, Nicol ni kira legenda sukan tanah air yang disayangi rakyat Malaysia, sebut je nama Nicol David, boleh dikatakan semua rakyat Malaysia akan tahu. Dia kata, dia siap untuk meneroka benda lain dalam hidup dia. Korang rasa dia akan jadi jurulatih skuasy tak?
“Setelah lebih 20 tahun bermain untuk Malaysia, bersaing dalam peringkat profesional dan memperoleh pencapaian terbaik dalam kerjaya sebagai satu-satunya atlet Malaysia untuk mencapai penghargaan ini dan diiktiraf oleh rakan-rakan, saya dengan bangga mengumumkan sudah bersedia untuk bersara pada penghujung musim Jun ini. Ini adalah detik yang akan dilalui oleh setiap atlet, untuk meneroka apa lagi yang ada dalam diri mereka. Pada saat ini dalam hidup, saya bersedia untuk meneroka lebih daripada yang saya lakukan sekarang,” – Nicol, seperti yang dilaporkan oleh MStar
Sejarah sukan skuasy, perkataan skuasy ni sebenarnya datang dari bunyi raket
Antara benda pertama yang terlintas dalam fikiran kami bila cakap pasal Nicol ni adalah tentang sejarah sukan Skuasy. Sebabnya macam lawak kami tengok orang pukul bola ke dinding, masa kanak-kanak dulu; kami fikir dua orang yang tengah main squash tu sebenarnya nak lawan dinding. Sampai bila bole menang lawan dindingkan? Rupa-rupanya bukan macam tu, maka betul lah ayat – ilmu itu pelita hidup. Kalau takde ilmu, memang tak ke mana.
Skuasy cukup simple untuk difahami, peraturan permainannya mudah difahami oleh pemain. Skuasy dimainkan kat dalam gelanggang tertutup yang merupakan sebuah bilik kosong bersiling tinggi dan ada empat dinding termasuk dinding belakang. Matlamat permainannya ialah untuk mendapatkan mata dengan lakukan servis, dan memukul bola supaya lawan tidak dapat mengambil bola yang dipukul tu.
Pada awal kewujudannya, di England – beberapa sekolah mula cuba sukan ni dengan mendirikan gelanggang sendiri. Pada tahun 1825, permainan ini telah diperkenalkan di Sekolah Harrow. Perkataan skuasy adalah dipercayai diambil dari bunyi bola semasa ia terkena raket. Pada mulanya, skuasy dimainkan secara suka-suka je. Selepas Perang Dunia Pertama, ia telah menjadi sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Persatuan Skuasy di England ditubuhkan pada tahun 1929.
Pada tahun-tahun awal pertandingan skuasy, ianya telah dimenangi oleh pemain-pemain Inggeris, tapi selepas tahun 1950-an permainan ini telah dikuasai oleh Negara Pakistan yang dimulai oleh Hashim Khan. Lepas tu, diikuti pula oleh adiknya Azam Khan dan supupunya Roshan Khan. Permainan skuasy akhirnya telah dibawa masuk ke Malaysia oleh orang-orang Inggeris yang bertugas di negara ni. Tarikh tepat permainan skuasy diperkenalkan di Malaysia tak dapat dipastikan.
Di Malaysia, Persatuan Skuasy Malaysia (PSM) telah ditubuhkan pada tahun 1972
Skuasy kat Malaysia mungkin diperkenalkan sekitar tahun 1920-an. Pada masa tu, ia dimainkan oleh kelab-kelab, khusus untuk orang-orang kulit putih. Permainan skuasy mula diminati oleh rakyat negara ni selepas Perang Dunia Kedua. Selepas tahun 1960-an, skuasy mula jadi satu permainan yang semakin diminati hingga ada sekolah-sekolah dan persatuan-persatuan sukan memasukkan permainan ini di dalam senarai sukan diorang.
Pertandingan dan kejohanan skuasy mula dianjurkan samada di peringkat sekolah, kelab atau jabatan. Pada tahun 1972, sekumpulan peminat dan pemain skuasy di sekitar Kuala Lumpur telah bertemu kat Kelab Tasik Perdana Kuala Lumpur untuk menubuhkan sebuah persatuan khusus untuk sukan ni. Akhirnya, Persatuan Skuasy Malaysia (PSM) telah didaftarkan secara rasmi dan diiktiraf sebagai badan sukan untuk permainan skuasy di seluruh Malaysia.
Datuk Hisyam Albakri jadi presidennya yang pertama. Dengan adanya persatuan ni, banyak persatuan-persatuan skuasy negeri ditubuhkan termasuk Kelab Skuasy Angkatan Tentera Malaysia dan Kelab Skuasy Polis Diraja Malaysia. Beberapa pertandingan mula diadakan seperti kat Kolej Melayu Kuala Kangsar tahun1939 dan Pertandingan Piala Tiger tahun 1966.
Skuasy terbukti telah meletakkan nama Malaysia harum di puncak dunia khususnya melalui kejayaan Nicol Ann David yang memenangi pelbagai kejohanan pada peringkat antarabangsa.
Melalui usaha yang tidak mengenal jemu di dalam menampilkan cabaran negara pada setiap kejohanan diperingkat antarabangsa, segala usaha itu kini membuahkan hasil. Kat sana sini kelibat pemain skuasy negara berjuang melakar kejayaan diri demi negara. Kami percaya, sebut je pasal sukan skuasy, mesti ramai negara lain akan gerun kalau pemain tu datang daripada Malaysia. Kami jugak harap supaya sukan ni dapatlah masuk Sukan Olimpik satu hari nanti.
Patah tumbuh, moga-moga yang hilang akan terganti
Kami pun sebenarnya tak tahu kalau kita boleh jumpa lagi pemain sebagus Nicol David. Kami harap kerja-kerja untuk mencungkil bakat-bakat baru akan diteruskan untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Nicol. Semoga lepas ni akan adalah pemain yang sehebat Nicol, kerana atlet seperti Nicol dan Lee Chong Wei bukan saja mampu mengharumkan nama negara, tapi mampu buat kita semua bersatu.