Sakit hati Malaysia jadi tong sampah negara maju? Ini tips untuk kitar semula

Manusia dan plastik memang sukar untuk dipisahkan, bagai isi dengan kuku, lagi-lagi dalam era moden ni. Plastik ambil masa lama untuk mereput dan tempohnya bergantung kepada di mana bahan itu berada. Hari ini, plastik boleh dilihat di mana-mana: dalam dompet kita, di atas meja makan dan dapur. Sejak 70 tahun lalu, 8.3 bilion tan plastik dah dihasilkan. Plastik ni memang dah jadi isu global dah.

Di negara kita, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin tegas menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia komited memastikan kita tak jadi tong sampah plastik kepada negara maju. Malaysia sebelum ini jadi tempat untuk mengeksport bahan buangan plastik daripada New Zealand, Australia dan United Kingdom selepas China tak lagi import bahan plastik untuk kitar semula. Ia juga sebabkan lebih banyak kilang kitar semula haram dibuka.

Yeo Bee Yin. Via TST

Sementara tu, ramai yang semangat berkempen supaya kitar semula dibudayakan dalam komuniti, tanpa memahami kaedah yang betul untuk melakukannya. Pastinya ramai yang tertanya-tanya setiap kali menghampiri tong kitar semula ketika memegang sampah – sampah ni boleh dikitar semula ke tak, ek? Hahh…ini kami bagi beberapa tips.

1. Ada cawan kopi yang tak boleh dikitar semula, termasuklah cawan bubble tea korang

Daripada ‘Teh Tarik Piyor’, ‘kopi mahal’ sehinggalah ‘bubble tea’, berbilion cawan plastik dibuang setiap hari di seluruh dunia. Kebanyakan cawan ini tak boleh dikitar semula, meskipun ada yang kita nampak macam dibuat dari kertas. Akhirnya, ia tak dikitar semula, tetapi dilonggokkan ke kawasan pembuangan sampah. Cawan kopi kebiasaannya tak laku untuk dijual; jadi penyelesaiannya, gunakanlah cawan atau gelas yang boleh diguna semula.

Via Pinterest

2. Bekas ubat gigi pun tak boleh main kitar semula je, sebab kena ada proses khas

Tanpa kita nafikan kepentingan jaga kebersihan gigi, kita juga mesti jaga kebersihan alam sekitar. Bekas ubat gigi biasanya antara bahan yang sering menambah jumlah sampah, apalagi ia dibuat daripada plastik dan aluminium. Bekas ubat gigi dan berus gigi mengandungi pelbagai bahan plastik yang dicampur, menjadikan proses untuk mengitarnya sukar. Terdapat beberapa buah syarikat pengeluar ubat gigi yang kini menggalakkan pemprosesan yang lebih baik untuk bekas ubat gigi serta berus gigi terpakai.

Gosok gigi tanpa gunakan tangan. Via Giphy

Pada 2018, Colgate jalinkan kerjasama dengan Terra Cycle di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Terdapat juga usaha untuk popularkan penggunaan bekas daripada besi, kaca mahupun tin untuk menyimpan ubat gigi, di samping berus gigi daripada buluh yang agak popular di sesetengah tempat.

3. Jangan mudah tertipu dengan bekas makanan, ia pun tak digalakkan untuk dikitar semula

Terdapat banyak buah-buahan dan sayuran yang dibungkus dengan bekas plastik di pasaran. Kebanyakan bahan plastik yang digunakan mempunyai kualiti yang rendah, selain membahayakan kesihatan. Secara amnya, botol plastik yang dilabel dengan nombor kitar semula 1 dan 2, termasuk botol air dan susu – diterima di seluruh Amerika Syarikat. Pakar alam sekitar tidak menggalakkan bekas plastik terpakai yang digunakan untuk membungkus buah-buahan dan sayuran, dimasukkan ke dalam tong sampah kitar semula.

4. Pastikan bahan kitar semula korang bersih

Jangan ingat ada pekerja yang terlebih rajin di kilang kitar semula nak bersihkan bahan-bahan yang kita dah buang. Jadi, bila bahan yang dibuang tidak dibersihkan dulu, akan timbul masalah lain pula. Bekas makanan atau botol shampoo yang bocor atau tumpah akan menyebabkan bahan kitar semula yang lain tercemar, seterusnya menjadikan semuanya sebagai sampah yang kotor. Bukan saja menyebabkan pembiakan serangga seperti lipas, malah menyebabkan pencemaran lain pula. Jadi, tuanglah dulu sampai habis, sisa makanan atau cecair daripada bahan kitar semula yang kita nak buang.

Eh binatang pun kitar semula? Via Giphy

5. Beg plastik adalah mimpi ngeri untuk kilang kitar semula

Walaupun beg plastik diharamkan penggunaannya di beberapa kawasan, kesedaran terhadap bahayanya masih lagi tipis. Malah, ramai pula yang membuang beg plastik ke dalam tong kitar semula. Ia menjadi mimpi ngeri kepada para pengusaha serta pekerja di kilang pemprosesan bahan kitar semula. Bukan saja ie cepat rosak dan boleh sebabkan mesin kitar semula yang mahal tersumbat, ia juga menyebabkan kelewatan serta membahayakan para petugas di sana.

6. Sebenarnya ikon anak panah pada tong kitar semula tiada maksud apa-apa

Ramai yang menyangka bahawa ikon tiga segi pada botol minuman atau bekas makanan bermaksud ia boleh dikitar semula, atau ia dibuat daripada bahan kitar semula. Sebenarnya, banyak produk yang sengaja meletakkan ‘chasing arrows’ tersebut hanya sebagai rekabentuk hiasan saja. Simbol ini mula popular pada 1970 apabila digunakan sempena Hari Bumi. Nombor 1 hingga 7 di dalam anak panah ini digunakan oleh industry plastik sekitar lewat 1980an. Namun, sebenarnya bukan semua nombor bermaksud ia boleh dikitar semula.

Via Daily Express

7. Plastik tidak boleh dikitar semula selama-lamanya, sebab tu kena kurangkan penggunaan

Ramai yang salah-sangka bahawa bahan plastik boleh dikitar semula menjadi objek yang sama. Kebanyakan syarikat minuman hanya gunakan jumlah plastik terpakai yang kecil pada botol baru mereka. Kebiasaannya, plastik terpakai dikitar semula untuk dijadikan bahan membuat karpet atau jaket.

Via Giphy

Plastik semakin menurun kualitinya apabila dikitar semula, dan pakar menjangkakan ia hanya boleh dikitar semula sebanyak dua kali. Akhirnya, ia menjadi longgokan sampah yang menimbun.

Kita ada dua pilihan, kurangkan guna plastik atau cari alternatif!

Jadi, penyelesaiannya nampaknya hanya satu: kurangkan penggunaan plastik dalam kehidupan kita. Guna semula bahan terpakai atau cari alternatif lain untuk plastik dapat melestarikan alam. Sebab tu timbul perdebatan berkenaan kewajaran pasar raya mengenakan caj 20 sen kepada beg plastik untuk pelanggan mereka. Sebaliknya, ramai yang menyarankan agar caj 20 sen itu dikenakan untuk penjualan beg kertas yang mesra alam.

Barulah betul ikhlas, bukan mengembungkan perut sang kapitalis saja. Kalau tidak, yang kering poket, rakyat marhaen jugalah. Apalagi? Kitar semula, fikir dulu sebelum buang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *