Mahasiswa lembik? Ini cerita demo siswa terhadap orang nombor satu negara

f1 (1)

Enam tahun lalu, gerakan muda kita pernah mencatat sejarah yang disebut-sebut dalam media antarabangsa. Ketika tu, suasana politik kita sarat dengan beberapa skandal penyelewangan berprofil tinggi. Skandal-skandal penyelewengan ni membuatkan kita sendiri makin suram mengenangkan demokrasi dan kebebasan yang hampir mati. Salah satu skandal yang tak mungkin dapat kita lupakan adalah skandal 1MDB, dirungkai satu persatu dengan penyiasatan yang dilakukan oleh banyak pihak termasuklah dari pihak Amerika Syarikat sendiri.

Akibat kekecewaan, kesuraman dan kebimbangan generasi muda akan nasibnya sendiri melihatkan keadaan negara; anak-anak muda bangkit turun ke jalanan. Dari situlah, gelombang #TangkapMO1 dirakamkan dalam sejarah rakyat Malaysia – dicetuskan anak muda yang rela dihukum oleh universiti.

aktivistangkapmo1
Via Malaysiakini

Malaysian Official 1 dikatakan Najib Razak, kumpulan mahasiswa gerakkan himpunan

Mengimbau kembali ke tahun 2016; kita tertanya-tanya siapa sebenarnya Malaysian Official 1. Gelaran ‘Malaysian Official 1’ datangnya dari sebuah laporan rasmi dari pihak Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berkenaan 1MDB. Dalam laporan tersebut, terkandung beberapa saman untuk rampas aset yang dipercayai hasil dari penyelewengan berjumlah 3.5 bilion USD dari 1MDB. Antara aset tersebut adalah hotel, hartanah mewah di Manhattan, Beverly Hills dan London, karya seni, jet perbadi dan filem ‘The Wolf of Wall Street’ yang ditayangkan pada 2013.

Malaysian Official 1 ni dikatakan ada kaitan dengan Riza Aziz, anak kepada Najib Razak dan Rosmah Mansor. Ketika tu, Najib jadi PM Malaysia. Disingkatkan kepada MO1, gelar tu diberi kepada orang yang mempunyai posisi autoriti dengan 1MDB dan turut rapat dengan Jho Low. Bukan tu je, MO1 ni ada kaitan dengan siasatan AG masa tu, Tan Sri Mohamed Apandi. Apandi sahkan, transaksi berjumlah RM2.08 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadi MO1. AG Amerika Syarikat masa tu, Loretta E Lynch jelaskanlah… diorang memang sengaja taknak sebut nama sebenar MO1. Bagi diorang, tu cuma bagi nak sampaikan maksud bahawa MO1 ni seseorang penjawat awam Malaysia yang agak berkuasa.

malaysianofficial says
Via Says.com

Dalam fikiran ramai masa tu, MO1 tu tak lain tak bukan adalah Najib Razak sendiri. Skandal 1MDB memang dah lama, namun siasatan yang dikeluarkan rasmi tu seolah-olah salah satu bukti sahih tentang kewujudan penyelewengan wang negara. Kerajaan pada masa tu pulak agak ‘rajin’ nak soal siasat orang lagi-lagi para pengkritik yang terus-menerus bersuara tentang 1MDB. Kelantangan para aktivis, seperti Maria Abdullah Chin, Zunar, Fahmi Reza buatkan diorang jadi sasaran mudah untuk polis. Kalau bukan kerana pengaruh dan kuasa, tentulah MO1 mudah je dikenalpasti dan ditahan kerana boleh dianggap suatu ancaman besar kepada negara.

Namun dalam hiruk-pikuk ni, gerakan mahasiswa tidak dapat dibendung lagi tenaga dan kegusaran diorang mengenai masa depan anak-anak muda di tangan seorang penyeleweng. SUARAM pernah keluarkan senarai nama individu yang disoal siasat atau ditahan berkenaan himpunan aman pada 2016. Dalam senarai tu, sebahagiannya merupakan mahasiswa yang turun dari menara gading… ke jalanan. Beberapa nama penting dalam sejarah gerakan mahasiswa ni adalah Anis Syafiqah, Mohd Luqman Hakim Fazil, Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali, Suhail Wan Azhar, Asheeq Ali, Aqilah Zainuzi dan ramai lagi. Kami tak dapat sebut semua, namun yang kami pasti, gerakan mahasiswa seluruh Malaysia aktif menunjukkan sokongan dan solidariti diorang ketika kempen #TangkapMO1 dilaungkan.

kempenturunmahasiswa2016
Kempen yang disebarkan, dari satu mahasiswa ke mahasiswa lain.. -Via Malaysiakini

#TangkapMO1 suatu kejayaan buat anak muda, bangkitkan generasi lesu

Suatu masa lalu, anak-anak muda khususnya mahasiswa dianugerahkan perkataan ‘maha’ kerana peranan yang dibahukan kepada para siswa universiti. Semangat inilah yang seringkali disebut-sebutkan oleh ramai sasterawan terkenal seperti Usman Awang. Semangat ni jugaklah yang selalu diangkatkan semasa kita menelusuri sejarah mahasiswa. Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia menjadi ruang membesarnya minda dan jiwa seseorang anak muda, sebagaimana dengan universiti lain seluruh negara.

Namun dengan hadirnya AUKU, mahasiswa tak lagi dialu-alukan dalam wacana kritikal. Lebih banyak wacana yang dihadirkan sekadar untuk membitarakan kebaikan-kebaikan kerajaan, berbanding membangkitkan isu-isu penting yang timbul dari kelemahan kerajaan. Sementara wacana ilmu lebih longgar ruangnya, soal-soal politik dan semasa kurang dihidupkan. Generasi muda segera dilabelkan lesu, tak bermaya dan sebagainya; walhal yang pertama menyekat perkembangan tu datangnya dari generasi diorang jugak.

Anis Syafiqah, wajah mahasiswa dalam himpunan Tangkap MO1 pernah ditemubual oleh Malaysiakini. Temubual tersebut disiarkan pada Ogos 2016. Salah satu fenomena yang dihadapi golongan muda masa tu, kemudiannya kembali menghantui kita ketika krisis politik 2 tahun lalu adalah sindrom penat pada politik. Generasi muda dahulunya dah semakin kurang menaruh harapan tinggi kepada kerajaan, lagi-lagi dengan percakaran ahli politik dari sisi kerajaan mahupun pembangkang. Dah penat pada politik.

Akan tetapi, himpunan awam ni berjaya buka semula mata anak muda dan membakar rasa cakna serta tanggungjawab kepada negara. Anis Syafiqah antara siswa tabah dan berani – dia percaya bahawa gerakan mahasiswa, khususnya yang turun dalam himpunan itu patut dianggap sebagai non-partisan atau orang yang tak sebelahi mana-mana parti politik. Gerakan mahasiswa jugak tak boleh dimanipulasikan oleh mana-mana parti politik lain, khususnya dari pihak pembangkang sebagai markah politik diorang. Gerakan pelajar harus mandiri dari gerakan politik.

Berdiri atas prinsip ni adakalanya menuntut kekuatan hati dan kesanggupan untuk terima apa je dugaan mendatang. Anis Syafiqah dan ramai lagi mahasiswa dikecam, dihalang serta dikritik sebab nak jugak ikut campur dalam isu politik. Shahrizat Abdul Jalil pernah nasihatkan, tumpukanlah pada pelajaran – bukan himpunan. Pada Disember 2016, Panel Tatatertib Universiti Malaya (UM) menjatuhkan hukuman bersalah ke atas empat penuntutnya iaitu Anis Syafiqah sendiri, Suhail Wan Azhar, Luqman Nur Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Fazli. Empat orang ni dikenali sebagai kumpulan #Malaya4 – jugak satu tanda pagar yang pernah sohor kini, memudahkan orang ramai tahu perkembangan keempat-empat mahasiswa tersebut.

solidaritimahasiswa
Solidariti mahasiswa satu Malaysia, disebarkan menerusi tanda pagar di media sosial.. -Via Nadi Mahasiswa Malaysia

#Malaya4 dituduh merosakkan nama baik universiti dan memudaratkan ketenteraman awam kerana sertai demonstrasi berkaitan skandal 1MDB pada 27 Ogos 2016. Diorang didenda RM400, manakala Asheeq Ali (UKM), didenda RM200 selain digantung satu semester. Diorang failkan saman pemula pada 16 Januari 2017, dengan tuntutan beberapa seksyen dalam AUKU dan peraturan universiti bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, ia ditolak oleh Hakim S. Nantha Balan kerana mendapati ia takde sebarang merit untuk masuk ke fasa perbicaraan.

Perkembangan ni sebenarnya harus dijadikan bukti bahawa generasi muda sebenarnya tak lesu. Diorang hanya perlu diberikan ruang kebebasan, tentulah berpaksikan pada Perlembagaan tu sendiri. Misalnya, kebebasan bersuara dan berhimpun – apatah lagi jika ia berkenaan dengan kepentingan negara seperti isu MO1. Makna mahasiswa juga tidak harus disempitkan kepada sekadar ‘pelajar’ yang menelaah buku dan bergraduat hanya untuk menjadi pekerja industri. Makna mahasiswa lebih besar dari itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *