Sikap perkauman bukan satu-satunya faktor pencetus 13 Mei, ini intipati laporan Majlis Gerakan Negara pada 1969

13meif1

Mengimbau peristiwa berdarah pada 13 Mei hari ni mungkin membawa makna yang berlainan sebab kupasan pelbagai pihak mengenainya. Hampir 60 tahun lalu, pengalaman yang menakutkan ni seringkali disebut-sebutkan sebagai suatu pengajaran, dan ada jugak yang masih lagi salah faham bahawa sikap perkaumanlah satu-satunya faktor pencetus korban pada hari bersejarah tu. Faktor isu perkauman terus-menerus diberikan perhatian, sehingga hasrat awal nak bincang mudarat perkauman tu pulak bertukar menjadi satu peringatan yang meneguhkan prejudisme dan kecurigaan antara satu sama lain.

Peristiwa tersebut sebenarnya dahpun dikaji, dibukukan dan sangat banyak ditulis. Oleh tu kali ni pulak, kami nak imbau semula sejarah 13 Mei tu dengan merujuk rekod rasmi Mageran sendiri. Untuk pengetahuan korang, Mageran atau nama panjangya, Majlis Gerakan Negara ni ditubuhkan bagi meredakan ketegangan dan menangani kesan pasca-13 Mei dulu.

13mei
Via Blogspot

Sikap perkauman bukan nilai sezaman masa tu, persoalan taat setia jadi isu sebenar

Dalam banyak kupasan yang dah kami baca dan hadam, rata-rata menyebutkan bahawa sikap perkauman ni memang suatu nilai zaman ketika tu di Tanah Melayu. Tak dinafikan, sentimen perkauman tu wujud pada masa tu. Namun, ia lebih terlihat di beberapa tempat je. Mengikut laporan Mageran, tak semua orang Melayu mahupun Cina tu membenci satu sama lain.

Pokok pangkal utamanya bukan pun sebab perkauman. Sebaliknya, ia tentang keraguan mengenai taat setia orang China kepada Tanah Melayu. Oleh disebabkan kadar imigran yang tinggi dari tanah besar China dan India, ada jugak membangkitkan persoalan sekiranya diorang tak sayang pun dengan Tanah Melayu. Perkara ni tak berapa nampak sangat, sehinggalah pada Perang Dunia Kedua.

komunis
Via Malaysiakini

Semasa Perang Dunia Kedua, Parti Komunis Malaya (MCP) dah terima latihan dari pihak Inggeris dan diletakkan sebagai pasukan penentang Jepun. Gerila-gerila ni kemudian tubuhkan pasukan khas yakni ‘Tentera Bebas Anti-Jepun Rakyat Malaya’ (MPAJA). Kebanyakan ahli pertubuhan ni terdiri daripada orang China. Masa Jepun takluk China, banyak kekejaman dah dilakukan kat orang China di tanah besar. Boleh jadi, para mangsa kekejaman Jepun tu merupakan saudara mara pekerja China di Malaya. Tentulah perkara ni akan menimbulkan marah dan dendam pada Jepun.

Walau bagaimanapun, Parti Komunis Malaya ada rancangan tersendiri. Ikut perancangan diorang, sebenarnya diorang nak rampas kuasa selepas Jepun dikalahkan oleh Inggeris nanti. Bagi diorang, Inggeris dah percaya dengan MCP jadi mudahlah untuk diorang perintah Tanah Melayu kelak. Lepas Jepun berundur, MPAJA keluar dari hutan pada Julai 1945, dan meneruskan dendam diorang pada segelintir ahli masyarakat yang diorang rasa pernah bersubahat dengan Jepun termasuklah orang Melayu.

mpaja
MPAJA.. -Via Sgfilmhunter

Sikap MPAJA ni dikatakan mengubah sikap ramai tentang orang Cina. Dalam banyak laporan kekejaman yang dilakukan oleh MPAJA, boleh jadi kebanyakan ‘hukuman’ tu dikenakan secara tak adil dan tanpa usul periksa. Laporan Mageran sifatkan hal ni sebagai bentuk penganiayaan kepada ramai orang Melayu. Orang Melayu yang tak puas hati pulak bangkit menentang kekejaman MPAJA.

Cita-cita politik Parti Komunis Malaya ni besar. Diorang nak gulingkan pihak berkuasa pun atas arahan Cominform (Komunis di tanah besar China). Darurat 1948 menyedarkan kerajaan ketika tu bahawa konsep satu bangsa Malaya mesti diterapkan. Beberapa langkah yang diambil masa tu adalah menggalakkan orang-orang Cina masuk berkhidmat dalam pasukan polis. Hanya 200 pemuda je tampil ke depan.

pkm chinpeng
Via Facebook

Kerahan Tenaga Rakyat (sekarang ni, dikenali sebagai Latihan Khidmat Negara) dikuatkuasakan pada 1950, ramai orang China dan India sanggup lari dan tinggalkan negara ni. Dari Februari hingga Ogos 1951, 10 000 pemuda China lari pulang ke negaranya untuk elak dipanggil berkhidmat. Ada jugak percubaan lain untuk rekrut ramai pemuda China, termasuklah beri hadiah dalam masa latihannya. Dalam banyak yang lari pulang, beribu-ribu lagi selamat bertugas dalam perkhidmatan awam dan memberi sumbangan besar untuk tamatkan Darurat.

Ideologi Komunis cuba porak-perandakan negara bermula dari Pulau Pinang hingga ke Kuala Lumpur pada 1969

Ketaatsetiaan ni selalu bersumberkan pada ideologi dan prinsip yang dipegang oleh rakyat. Masa tu, Parti Komunis Malaya cuba nak porak-perandakan masyarakat dengan membangkitkan isu ekonomi. Ejen-ejen Mao guna isu nilai mata wang turun untuk sebarkan propaganda anti-penurunan nilai mata wang dengan mengadakan tunjuk perasaan haram dan hasut orang ramai agar tak mudah berpuas hati.

Diorang pilih Pulau Pinang sebagai kawasan utama disebabkan suasana perkauman yang pelbagai di sana. Diorang hasut orang ramai sehingga dah cetuskan pertempuran Cina-Melayu hingga merebak luas pada 24 November 1967. Ramai yang terkorban dan tercedera, manakala beberapa buah rumah dan kenderaan terbakar. Akibatnya, suasana curiga dan gelisah semakin menguasai fikiran para penduduk.

hartal penang nov 1967
Via Cilisos

Pada pertengahan 1968, 13 orang pengkhianat negara (2 Melayu, 11 Cina) dihukum mati kerana disabitkan khianat pada negara dalam masa konflik terlaku. Ejen-ejen Mao mulakan lagi kempen propaganda besar-besaran supaya ramai orang Cina marah atas tindakan hukum 11 orang Cina tu. Hasutan berbaur perkauman disebarkan hingga ke pengetahuan dunia. Demi mengelakkan kejadian buruk berlaku, Sultan Johor dan Sultan Perak diminta agar hukuman mati tu ditukarkan kepada hukuman penjara seumur hidup.

Kemudian pada 24 April 1969, kira-kira dua minggu sebelum PRU… sorang pekerja dari parti UMNO dibunuh. Para pembunuhnya ada kaitan dengan ejen-ejen Mao yang sibuk hasut agar boikot pilihan raya tersebut. Bagi meredakan ketegangan, para pemimpin Umno arahkan agar jenazah anggota UMNO tu dikebumikan secara senyap bagi menutup peluang ejen Mao untuk timbulkan lagi pergaduhan kaum.

Selain tiga tempat ni, Bukit Mertajam pun ada kekacauan jugak. Pada 11 Julai 1964 dulu, sorang pekerja Melayu dipukul dengan cangkul akibat pertengkaran kecil di pasar oleh sorang penjaja sayur berbangsa Cina berumur 15 tahun. Pekerja Melayu tu tak puas hati lalu nak cuba adukan masalah tu kepada pihak polis dan pemimpin UMNO. Masa tu, salah faham ni bertukar semakin rumit apabila berlaku pulak pertempuran melibatkan puluhan orang Melayu dan orang Cina di pasar.

Kalau diikutkan dalam statistik buruh dalam bahagian Perkhidmatan Kerajaan masa tu, jumlah pegawai Melayu jauh berkurang dari jumlah pegawai bukan Melayu. Nak kata masa tu, kerajaan terlalu utamakan Melayu pun suatu tanggapan yang tak tepat. Bahkan pada ketika tu, yang lebih banyak mencemarkan perpaduan ni adalah hasutan demi hasutan kerana kepentingan peribadi je. Kemunculan kongsi gelap turut menyumbang pada kekacauan ni.

“Sudah pun dapat dipastikan bahawa ada pertalian… di antara gerakan kongsi-kongsi gelap dengan pergaduhan kaum di Kuala Lumpur. Sesetengah samseng kongsi gelap itu diketahui menjadi ahli cawangan-cawangan Parti Buruh Malaya yang dikuasai oleh komunis. Mereka bertindak untuk kepentingan mereka yang tertentu, iaitu supaya keadaan sentiasa tegang dan mereka dapat melakukan pemerasan dengan berleluasa”- Petikan dari Laporan Mageran

Walaupun begitu, tak tepat sekiranya kita nak kata Parti Komunis Malaya yang cetuskan kekacauan pada 13 Mei. Diorang tak sedia lagi nak rancang sampai macam tu sekali. Akan tetapi, siri kekacauan yang berlaku membangkitkan ketegangan kaum. Suasana ketegangan ni bagai minyak yang disimbah api – lain diharap, lain yang jadi. Perarakan ‘kemenangan’ tu ada sebahagiannya disertai dengan kata makian, carutan dan berunsurkan provokatif. Para penyokong parti pembangkang ketika tu bertindak berlebih-lebihan, tanpa ada bantahan dan kawalan pun dari parti pembangkang masa tu iaitu DAP dan Gerakan.

prumei1969
Via HarakahDaily

Bila orang Melayu nak buat perarakan, wujud desas-desus yang menyatakan akan ada orang Cina yang serang diorang nanti. Namun begitu, baru je diorang nak berkumpul di kawasan kediaman Menteri Besar di Kampung Baru, dah ada berita yang menyatakan dah ada kekacauan berlaku di Setapak. Masa ini, bukan orang Melayu je yang kena. Orang Cina dan India pun ada jugak diserang oleh para perusuh.

Untuk meredakan keadaan, pihak polis terpaksa campur tangan. Dah tak kira kaum – siapa yang dianggap berbahaya, itulah yang perlu dikawal. Sesiapa je boleh tercedera dan terkorban dalam suasana sebegitu tegang dan ganas.

Disebabkan inilah, peristiwa 13 Mei ni perlu difahami semula bukan semata-mata sebagai peristiwa buruk kerana perkauman antara Melayu dan Cina je. Ia merupakan suatu peristiwa penting yang mengajar kita bahawa tindakan hasut-menghasut, kecurigaan mendalam dan keutuhan kepercayaan sesama rakyat memberi ruang buat anasir jahat nak rosakkan keamanan negara.

13mei 1
Via Suara Pakatan Daily

Pada zaman tu, isu kaum dimanfaatkan oleh anasir jahat untuk kepentingan ideologi dan cita-cita politik diorang. Nak dibandingkan pada zaman ni, perpaduan rentas kaum terus kukuh. Kita berkongsi identiti, ilmu, persefahaman dan toleransi yang akhirnya menguatkan Malaysia sebagai sebuah negara harmoni yang berbilang kaum.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *