Umat Islam Uyghur ditindas? Kami ceritakan sejarah ringkas mereka

Umat Islam Uyghur ditindas? Kami ceritakan sejarah ringkas mereka

Isu penindasan terhadap masyarakat Islam Uyghur semakin panas, berikutan beberapa siri kezaliman yang melanda Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (Xinjiang Uyghur Autonomous Region – XUAR) yang dah berlarutan dari dulu sehinggalah ke hari ini. Antara lain, isu Uyghur menjadi tular selepas banyak media melaporkan bahawa sekurang-kurangnya satu juta umat Islam Uyghur di republik tersebut ditahan dalam kem tanpa perikemanusiaan.

Siapa sebenarnya bangsa Uyghur ni?

Ada yang menyangka mereka ni adalah orang Cina. Hakikatnya, tak. Mereka mempunyai etnik mereka sendiri, yang sangat akrab dengan bangsa Turki. ‘Uyghur’ adalah istilah Turki Kuno yang bermaksud ‘kerjasama’. Sejarah mencatatkan bahawa sejak 17 ribu tahun dahulu, sudahpun wujud Empayar Uyghur di Daerah Mu. Kaum Uyghur telah mula mendiami di bahagian paling timur Turkistan dari abad ke-8 selepas Masihi. Sejak 1450, majoriti masyarakat Uyghur telahpun memeluk Islam, di mana sebelum itu, Sultan Sutuq Bughra Khan telah mengisytiharkan bahawa Islam adalah agama rasmi bagi wilayah pemerintahannya.

Asalnya, XUAR dikenali sebagai ‘Turkistan Timur’, merujuk kepada ‘tanah milik bangsa Turki’. Kerana itu bendera asal Turkistan Timur tidak jauh bezanya dengan Turki kini, bezanya pada warna sahaja – bendera Turkistan Timur berwarna biru, dan bendera Turki berwarna merah. Malahan, sehingga kini, orang Uyghur masih menuturkan bahasa Turki Kuno, membuktikan akar susur-galur sebenar mereka. Mereka menggunakan tulisan Arab, sebagai membuktikan penerimaan terhadap agama Islam secara tulen. Turkistan adalah wilayah besar yang terdiri daripada Turan, Turkmenistan, Uzbekistan, Kazakhtan, Kazarstan, Kyrgistan dan Uyghurstan.

Via Patriots

Kemudian, sekitar tahun 1876, Dinasti Qing mula menjajah Turkistan Timur selepas Empayar Uyghur semakin lemah, dan selepas perang selama 8 tahun, ia diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada wilayah taklukan Manchu pada 1884, dan ditukar namanya kepada ‘Xinjiang’. Pada 1911, Parti Komunis/Nasionalis China berjaya menjatuhkan Empayar Manchu (Dinasti Qing) bermula di Wuchang, menyebabkan ‘Xinjiang’ jatuh pula kepada Kerajaan China.

Uyghur pernah bangkit semula untuk merampas kawasan mereka

Pada tahun 1933 dan 1944, berlaku kebangkitan Uyghur sehingga membolehkan mereka merampas kawasan Ghulia. Namun, mereka tumbang kembali selepas dijajah semula oleh pemerintah China sejak 1949. Terdahulu, perebutan kuasa di antara Komunis Rusia dan Komunis China mengakibatkan negara Turkistan berpecah kepada dua, iaitu Turkistan Barat (juga dikenali sebagai ‘Soviet Asia Tengah’) di bawah Rusia dan Turkistan Timur di bawah takluk negara China.

Pada tahun 1955, Parti Komunis China menukar nama Turkistan Timur secara rasmi kepada Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur (Xinjiang Uyghur Autonomous Region – XUAR). Penukaran nama wilayah ni juga membawa kepada penukaran identiti secara paksa ke atas umat Uyghur, apabila nama mereka juga perlu ditukar kepada nama yang kedengaran seperti kecinaan, dan bayi yang baru lahir tidak dibenarkan menggunakan nama yang tebal ciri-ciri keIslamannya.

Via Gif4u

Dari segala macam tekanan politik sehinggalah larangan yang tidak munasabah, hal ini membawa kepada pertambahan mendadak orang Uyghur yang memilih untuk terpaksa meninggalkan tanah asal mereka untuk bertebaran mencari perlindungan di seluruh dunia, termasuklah Malaysia.

Larangan-larangan ni membabitkan larangan berpuasa, bersolat, memakai hijab, membela janggut dan berbagai lagi, sejak berdekad yang lalu. Malahan, mereka yang berusia 18 tahun ke bawah juga dilarang daripada datang ke masjid. Hal ini tidak campur lagi kes-kes penangkapan, penculikan, pemerkosaan serta penyeksaan tanpa sebab yang dilakukan ke atas orang Uyghur yang tidak berdosa.

Tatkala kita sudah jelas dengan penderitaan yang dialami oleh saudara kita di Gaza, Palestin yang tanah mereka dikepung dan dirampas oleh rejim Zionis Israel, bayangkanlah komuniti Uyghur yang bukan sahaja tidak lagi memiliki tanah asal mereka, malahan ditukar nama wilayah serta identiti mereka secara paksa. Bukan itu sahaja, kemasukan secara sistematik dan beramai-ramai kaum Han ke dalam wilayah Xinjiang juga dapat dikesan dengan jelas, sehingga mengurangkan majoriti penduduk asal (orang Uyghur). Kini, terdapat pelbagai etnik di Xinjiang seperti orang Uyghur, Han, Kyrgyz, Mongol, Kazakhs, Tibet, dan Rusia.

Via Gif4u

Ramai tokoh popular Uyghur telah ditahan tanpa perikemanusiaan. Tashpolat Teyip (Presiden Universiti Xinjiang); Halmurat Ghopur (bekas Presiden Hospital Universiti Perubatan Xinjiang); Ablajan Awut Ayup (bintang pop); Perhat Tursun (penulis lakon layar dan puisi); the dutar player Abdurehim Heyit; Abdulqadir Jalaleddin (penterjemah akademik); Muhammad Salih Hajim (penterjemah akademik – meninggal dunia dalam tahanan pada awal 2018); Rahile Dawut (pakar cerita hikayat Uyghur).

Penderitaan yang jelas kelihatan. Via AsianNews

Paling popular pastinya kes penahanan pemain bola sepak skuad remaja China berbangsa Uyghur, Erfan Hezim atau nama Chinanya, ‘Ye Erfan’, hanya kerana menjelajah ke negara luar. Beliau ditahan dalam sebuah kem yang digambarkan oleh pemerintah China sebagai ‘pusat pendidikan’. Adil Mijit, pelawak terkenal Uyghur pula dikatakan dipenjara tiga tahun kerana pergi ke Kota Mekah tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Sejak bertahun lamanya, pelbagai protes telah dijalankan di seluruh dunia, termasuklah negara bukan Islam seperti Jepun, bagi menzahirkan solidariti mereka terhadap masyarakat Islam Uyghur yang ditindas dan dizalimi. Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum PBB sendiri telah menggesa China menghentikan usaha melakukan pembersihan etnik ini secara serta-merta.

Malaysia sentiasa berusaha untuk bantu mereka

Di Malaysia, ada juga pihak Badan Masyarakat Madani (Civil Society Organisation – CSO) seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan pelbagai pertubuhan lain, yang konsisten membela nasib komuniti tetrindas ini. Pada Mac 2012, pasukan Peguam ABIM telah berjaya membantu 3 orang pelarian Uyghur menyelesaikan prosedur perundangan mereka di Malaysia.

Pada 31hb Ogos 2018, seorang ahli Parlimen PKR dengan tegas menggesa Kerajaan Malaysia, negara anggota ASEAN dan pertubuhan antarabangsa lain untuk menekan kerajaan China supaya tindakan penindasan seperti yang berlaku di Xinjiang dihentikan.

Via ABIM

Kisah penderitaan Uyghur juga diceritakan dalam novel “Weil China” karya Emine Syenlikoglu atau Aminah Uzqan Syenlikoghu, penulis terkemuka Turki dilahirkan pada tahun 1953 di bandar Istanbul. Pengkisahan penderitaan yang dihadapi oleh etnik Uyghur yang dinovelkan membuatkan kita semua masuk ke dalam watak yang melalui 1001 dugaan dan cabaran kekejaman. Pengalaman sebenar Qan, seorang rakyat Turki yang tinggal di China bersama keluarganya.

Kita perlu sentiasa konsisten membantu sesama umat Islam

Kita semua perlu komited dalam membela hak minoriti Muslim yang tertindas di seluruh dunia. Kita semua – tanpa mengira apa juga latar belakang dan fahaman agama; mesti sentiasa peka dan prihatin dengan situasi semasa yang berlaku di Xinjiang serta terus mengetengahkannya ke khalayak masyarakat, agar nasib komuniti Islam Uyghur di Xinjiang mendapat pembelaan serta perhatian yang sewajarnya daripada pihak-pihak yang berkenaan.

Sungguh, ini merupakan satu lagi tragedi yang kita tidak boleh pandang remeh. Cerita Uyghur bukan cerita penderitaan Muslim semata-mata. Ini cerita pencabulan hak asasi manusia merentas kaum, merentas agama. Ini cerita derita umat manusia.

ARTIKEL ini disumbangkan oleh Zairudin Hashim (Che Din) yang merupakan peminat jersi dan liga bola sepak Malaysia. Boleh dihubungi melalui Blog peribadi beliau.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print