Dengan penularan wabak COVID-19, adakah masih perlu pergi solat Jumaat?!

F1

Disebabkan hari ini adalah hari Jumaat, sudah tentu ramai yang tertanya-tanya – bolehkah pergi solat Jumaat dalam musim wabak ni? Untuk Malaysia, setakat ni takde lagi larangan untuk pergi ke masjid. Cuma, nasihat kami – elakkan daripada bersalaman selepas solat, dan ambil air Wuduk bermula dari rumah. Pastikan jugak korang tak menyentuh benda-benda yang kemungkinan telah disentuh oleh orang lain.

Tak boleh salam-salam. Via Giphy

Keadaan COVID-19 ni makin teruk, salah sebuah negara telah kuarantin rakyatnya daripada memasuki masjid sehingga minggu hadapan…

Disebabkan keadaan COVID-19 makin teruk, semua masjid di Singapura ditutup sementara

Semua 70 masjid di Singapura ditutup sementara mulai esok (13 Mac) selama lima hari sehingga 17 Mac. Tujuan benda ni dilakukan supaya kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman boleh dilakukan bagi mengekang penularan virus korona COVID-19. Benda ni bermakna takde solat Jumaat esok dan solat berjemaah sepanjang tempoh tu.

S2
Masjid di Singapura. Via Bernama

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli kata macam tu dalam sidang media di Hab Islam, Singapura semalam. Dia kata dengan penutupan sementara tu, semua kegiatan masjid, kelas agama, prasekolah di masjid pula dihentikan selama dua minggu sehingga 27 Mac.

Benda ni dilakukan setelah dua daripada 82 warga Singapura, yang menghadiri majlis tabligh di Malaysia, disahkan dijangkiti COVID-19. Setelah pulang dari menghadiri majlis tabligh di Kuala Lumpur, yang berlangsung dari 27 Februari hingga 1 Mac, salah seorang daripada 82 jemaah yang merupakan seorang pegawai yang bertugas di masjid – kembali bekerja seperti biasa kerana tak alami sebarang tanda-tanda jangkitan.

Tapi, beberapa hari kemudian dia jatuh sakit dan jumpa doktor untuk dapatkan rawatan pada 9 Mac. Pesakit tu dah mengunjungi empat masjid – Masjid Muttaqin, Masjid Kassim, Masjid Hajjah Fatimah dan Masjid Jamae Chulia.

Dia dihubungi Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) Singapura untuk jalani ujian dan disahkan positif. Seorang lagi jemaah Singapura yang ke majlis tabligh tu turut disahkan dijangkiti COVID-19. Disebabkan benda ni, keempat-empat masjid yang dikunjungi pegawai tu ditutup untuk kerja-kerja pembersihan.

Mufti Pulau Pinang kata kerajaan boleh ambil langkah hentikan sementara solat Jumaat, jika perlu

Pihak kerajaan wajib ambil apa juga langkah untuk cegah penyakit berjangkit daripada tersebar dan mengancam kesihatan rakyat, kata Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor. Benda ni termasuklah tindakan menghentikan buat sementara solat berjemaah di masjid dan solat Jumaat.

S1
Mufti Pulau Pinang. Via YADIM

“Agama Islam amat mementingkan kesihatan manusia di mana memelihara diri daripada perkara-perkara yang mudharat merupakan salah satu matlamat syarak. Walaupun solat Jumaat diwajibkan ke atas orang lelaki Muslim dan solat berjemaah amat digalakkan, tetapi jika dalam situasi yang mengancam nyawa dan keselamatan manusia maka tuntutan ini gugur dan dimaafkan,” – Dr Wan Salim, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Beberapa negara Islam baru-baru ni dah keluarkan garis panduan untuk umat Islam supaya dapat membendung penyebaran wabak Covid-19.

Arab Saudi dah keluarkan larangan sementara untuk umat Islam daripada mengerjakan ibadah Umrah, dan Iran hentikan solat Jumaat buat sementara waktu. Tapi, fatwa mengenai solat Jumaat ketika berlakunya penyebaran wabak berbeza-beza mengikut sesebuah negara.

Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad pulak kata pihak berkuasa agama wajar keluarkan garis panduan untuk umat Islam untuk bagi mengelakkan jangkitan wabak tu.

“Ia merupakan langkah pencegahan yang baik kerana wabak atau penyakit seperti ini sudah berlaku sejak zaman Rasulullah SAW ketika Saidina Umar keluar menuju ke Syam sehingga beliau sampai ke kawasan Sargh kerana penyakit taun,” – Mohamad Shukri Mohamad, seperti yang dilaporkan MalaysiaKini

Dia kata, kebanyakan surau dan masjid di Kelantan telah lakukan inisiatif sendiri – seperti menunaikan solat hajat dan bacaan qunut nazilah bagi menghindari wabak tu. Bagi Menteri Agama yang baru pulak, Dr Zulkifli Mohamad kata – ia bergantung kepada pengumuman Kementerian Kesihatan mengenai tahap darurat penyakit tu.

Bagi mereka yang datang ke Masjid Seri Petaling untuk Ijtimak Tabligh, diorang kena buat ujian kesihatan

Sementara tu, bagi para peserta yang datang ke Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari lepas, diorang diminta untuk segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah. Kalau korang ada kawan-kawan yang pergi ke program ni, cepat-cepat suruh diorang lakukan ujian. Ujian ni perlu dilakukan kerana ada beberapa peserta program tu dah disahkan positif COVID-19. Ia selaras dengan saranan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membendung penularan jangkitan koronavirus (Covid-19).

Dua hari lepas, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kata, seorang rakyat Malaysia berusia 60 tahun disahkan positif Covid-19 selepas hadiri perhimpunan tu yang berlangsung pada 28 Februari hingga 1 Mac lepas. Sebelum ni, Kementerian Kesihatan Brunei dalam kenyataannya sahkan kes pertama positif Covid-19 di negara itu dijangkiti ketika hadir ke satu majlis keagamaan di Malaysia.

Mungkin ada yang kata, jangan risau tuhan akan melindungi acara keagamaan. Benda tu tak betul, tuhan akan lindungi orang yang menggunakan akal dengan baik. Apabila kelompok professional yang arif tentang kesihatan dah berikan amaran kepada kita, wajarlah amaran itu didengari. Oleh sebab itu acara seperti solat hajat perdana untuk tolak bencana tak relevan buat masa ni.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *