Bulan Ramadhan, sampah di negara kita setinggi 30 kali KLCC

Bulan Ramadhan, sampah di negara kita setinggi 30 kali KLCC

Di antara sebab kelainan dan keunikan bulan Ramadhan di Malaysia berbanding negara yang lain adalah dengan adanya Bazar Ramadhan yang menjual pelbagai jenis juadah untuk berbuka puasa. Bazar Ramadhan menjadi pilihan dan tumpuan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk menikmati makanan dan minuman yang jarang-jarang ditemui di hari kebiasaan.

Tempat persinggahan bagi mereka suri rumah

Bagi mereka yang bekerja inilah tempat ‘persinggahan’ utama yang menjadi ‘jalan singkat’ terutama bagi golongan suri rumah untuk menyediakan juadah berbuka bagi suami dan anak-anak di rumah.

Antara keunikan lain yang ada pada bulan Ramadhan adalah kemeriahan suasana di Bazar Ramadhan. Cara mempromosi jualan di setiap gerai jualan juga begitu unik dengan gelagat penjual dengan harga promosi yang ditawarkan. Konsep Bazar Ramadhan ini seperti juga pasar malam atau pasar tani tetapi fokus barangan jualan adalah lebih kepada makanan dan minuman.

Nak pilih yang mana tu? Imej dari penulis

Inilah yang mengakibatkan selera makan bertambah apabila ke Bazar Ramadhan. Mana taknya, kita berkunjung ke bazar tatkala kita sedang menahan diri daripada lapar dan dahaga dari terbit fajar sehingga ke petang dan ketika ini juga perut sedang ‘berdondang sayang’ meminta supaya diisi.

Antara bazar yang memerlukan stamina untuk diredah. Imej dari penulis

Penulis pergi ke bazar Ramadan sepanjang 300 meter

Di bulan yang mulia ini, selain umat Islam memperbanyakkan amalan menambah pahala dengan melakukan sedekah amal jariah, memperbanyakkan solat sunat, membaca Al-Quran dan sebagainya, kemeriahan Bazar Ramadhan turut dinantikan sebagai destinasi untuk membeli juadah berbuka puasa. Pada hari ketiga Ramadhan, penulis sempat ke Bazar Ramadhan Kelana Jaya, Selangor yang menjadi tumpuan penduduk bandar sekitar.

Sedapnyaaaa. Imej dari penulis

Persekitaran suasana bazar ini cukup meriah dan di sepanjang jalan yang hampir 300 meter panjangnya. Pelbagai menu pilihan juadah ditawarkan dengan harga yang sungguh berpatutan (Ye ke?). Jom kita terjah!

Seawal jam 4 petang, penulis sudah sampai sesudah parkir kenderaan yang mudah dicari walaupun terpaksa berjalan jauh sedikit untuk ke tapak bazar. Bau-bauan pelbagai jenis makanan telah menusuk ke hidung. Terasa lapar yang amat.

Murtabak gebu gebas. Imej dari penulis

Asap dan bau yang dihidu datangnya daripada ayam percik yang dijual. Bau asap tu kalau sampai rumah tak hilang lagi melekat pada baju. Ayam percik dijual dengan harga RM4 hingga RM6 seketul mengikut saiz. Ada juga jual ikut saiz selain timbang kilo.

Sepanjang perjalanan kiri dan kanan jalan ternampaklah gerai jualan pelbagai jenis makanan seperti nasi kerabu, nasi ayam, nasi tomato, roti john, kuih tepung pelita, bubur jagung tidak dilupakan murtabak ayam, daging dan sardin.

Fuhhh… asap dia macam bakar kemenyan. Imej dari penulis

Kalau orang ramai beratur, maksudnya sedaplah tu

Dan mengikut perkiraan penulis, di mana gerai yang beratur panjang pelanggannya sudah tentu gerai itu menyediakan hidangan berbuka puasa yang sudah pasti sedap, unik dan murah. Menurut pemerhatian penulis sendiri, terdapat beberapa gerai di Bazar Ramadhan Kelana Jaya yang dikatakan begitu ‘popular’ sehingga mengakibatkan kesesakan pejalan kaki di sepanjang laluan kerana terpaksa beratur panjang.

Antara menu yang menjadi tarikan pengunjung di situ adalah burger bersaiz besar, nasi ayam goreng kunyit dan nasi lauk kampung. Antara minuman yang begitu laris adalah air tebu, air katira, air soya dan air coklat ais leleh.

Air ini yang membuatkan penulis meleleh air liur. Imej dari penulis

Terdapat juga orang yang terbatas waktunya untuk menyediakan hidangan untuk keluarga mereka sanggup untuk beratur panjang bagi membeli makanan yang dikatakan ‘viral’ di bazar tersebut. Dalam keadaan suasana sesak di Bazar Ramadhan dengan ratusan pengunjung pelbagai bangsa turut mempamerkan keindahan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni.

Namun, ramai di antara kita sering menghadapi masalah pembaziran apabila berkunjung ke Bazar Ramadhan.

Kesabaran anda amat dihargai. Imej dari penulis

Pembaziran sering berlaku saban tahun pada bulan yang mulia ini. Adakah ada di antara kita menganggap bulan Ramadhan ini sebagai bulan untuk kita berpesta di mana manusia boleh sesuka hati membazirkan makanan secara berlebihan? Tidak terfikirkah kita dengan negara-negara yang masih lagi mengalami masalah kebuluran makanan.

Seperti Firman Allah dalam surah Al-Israa’ ayat 27 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”.

Bayangkan 30 kali bangunan KLCC beb! Kredit: shutterstock.com

Sampah setinggi 30 buah bangunan KLCC

Pembaziran boleh diterjemahkan melalui data kajian oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Malaysia (SWCorp) bagi tahun 2015, di mana menunjukkan bahawa sepanjang  tempoh sebulan Ramadhan (30 hari), sisa makanan yang terbuang adalah sebanyak 270,000 tan atau lebih kurang 9000 tan sehari.

Ada di antara makanan yang terbuang itu adalah yang tidak diusik dan sebenarnya cukup untuk diberi makan kepada 180 juta orang. Bak kata Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye pernah dipetik sebagai berkata, “jika disusun longgokan makanan 270,000 tan itu, ia bersamaan ketinggian 30 buah bangunan KLCC!”.

Imej dari penulis

Selain itu pada Ramadhan 2017 juga, Alam Flora turut melaporkan bahawa terdapat empat kategori makanan yang dibuang atau sering dikutip yang terdiri daripada sayur-sayuran, makanan dalam tin yang tamat tarikh luput, sisa makanan yang dihasilkan pengguna dan peniaga serta pembungkusan (plastik) yang digunakan untuk membungkus makanan atau minuman.

Ini secara jelas menunjukkan betapa membazirnya rakyat Malaysia dalam soal makanan. Di harap pada Ramadhan 2019 ini marilah kita bersama-sama elakkan pembaziran makanan dan makan seadanya. Selamat menjalani ibadah puasa.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print