S.M Mohamed Idris, pemergian pejuang masyarakat yang unggul

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Pengerusi Sahabat Alam Malaysia, S.M Mohamed Idris meninggal dunia pada jam 5 petang, Jumaat, di Hospital Gleneagles, Pulau Pinang. Dia menghembuskan nafas pada jam 5 petang pada usia 93 tahun, akibat sakit tua. Allahyarham SM Mohamed Idris dikebumikan pada jam 10 pagi, Sabtu, di Tanah Perkuburan Jalan Perak. Allahyarham meninggalkan empat anak.

Dilahirkan di India sebelum berhijrah ke Malaysia

Dia dilahirkan di India pada 6 Disember 1926, sebelum berhijrah ke Pulau Pinang bersama bapanya pada 1938. Dia mengasaskan CAP pada 1960 bersama Datuk Anwar Fazal, selaku Setiausaha CAP ketika itu.

Selain giat membuat projek penanaman pokok secara besar-besaran ketika menjadi ahli majlis, dia juga merupakan Pengerusi Perpustakaan Pulau Pinang, yang memperkenalkan program menarik seperti membuka perpustakaan pada hari Ahad kepada orang awam, untuk menyemai budaya membaca.

Via NMP

Dia pernah memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Perbandaran George Town (kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang) selama beberapa tahun sejak 1954. Allahyarham yang mesra disapa sebagai ‘Uncle Idris’, terkenal dengan penampilan berjambang, baju putih, berkain sarung, bersongkok hitam dan membawa bakul rotan.

Allahyarham pernah menerima Anugerah Tun Abdul Razak pada 22 Jun 2014 di atas sumbangannya terhadap komuniti dan alam sekitar. Malah, ketika Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 10 November 2018 lalu, Allahyarham telah mewakili CAP selaku penerima sulung Anugerah Merit Ibnu Khaldun 2018.

Anugerah itu diperkenalkan sebagai penghargaan ke atas sumbangan badan masyarakat madani (CSO) terbabit menjalankan kempen kesedaran kepenggunaan dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuk kualiti makanan, barangan, produk kewangan serta hak.

Menghabiskan hidupnya untuk berjuang

Berdekad lamanya dia menggerakkan perjuangan luhurnya. Perjuangan ini merentasi dekad demi dekad dengan penuh kesungguhan dan tanggungjawab, sehingga kita menjadi lebih peka dan cakna. Pemergiannya adalah berita sedih dan kehilangan besar kepada kita semua, khususnya untuk badan masyarakat madani (CSO) yang memperjuangkan isu-isu kepenggunaan, alam sekitar dan perjuangan negara selatan (south countries).

Allahyarham telah menjuarai serta mempelopori isu kepenggunaan dan alam sekitar untuk tempoh yang sangat panjang, dengan penuh gigih. Kita seharusnya menghormati dedikasinya, yang merentas faham politik kepartian.

Via The Star

Dari penentangan terhadap pindaan Akta Pertubuhan pada awal 1980-an bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden ABIM) dan Dr. Chandra Muzaffar (Aliran), sehinggalah perbalahan dengan YB Lim Guan Eng (ketika menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang) hanya kerana isu penebangan pokok, S.M Idris terkenal sebagai tokoh yang vokal sehingga ke hujung usianya.

Banyak jasa Almarhum dalam membela hak pengguna. Pengakhiran yang mulia pada penghulu segala hari, dalam bulan yang istimewa.

Ayuh kita sedekahkan al-Fatihah untuk Allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Selamat pulang ke kampung asal, Uncle Idris. Kami akan menyusulimu. Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *