Kecam Malaysia halang atlet? Rupa-rupanya ISRAEL pernah buat benda yang sama

Baru-baru ni kecoh satu Malaysia apabila kerajaan ambil keputusan untuk halang atlet paralimpik Israel daripada masuk ke Malaysia. Tindakan tu sebabkan status Malaysia sebagai tuan rumah acara Renang Para Dunia dibatalkan. Dan tentera bawang Malaysia pun dengan penuh yakin pergi serang fanpage IPC.

Lepas tu ada juga gambar viral – orang Palestin ucapkan terima kasih kepada Malaysia sebab bantah normalisasi terhadap penindasan penduduk Palestin.

Sama-sama kasih. Via MSN

Ada yang kata dalam sukan, boikot-boikot ni tak payahlah

Ada yang akan kata dalam semangat kesukanan sewajarnya takda boikot atau larangan. Malah sukan dikatakan sebagai ejen penyatuan masyarakat, bangsa, negara dan dunia. Semangat kesukanan yang meraikan “fair play” sepatutnya diberi ruang dan toleransi.

Namun boikot serta larangan bukanlah perkara yang asing di dalam dunia sukan hatta sukan peringkat tertinggi sekalipun seperti Sukan Olimpik. IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) contohnya pernah larang Russia (namun membenarkan penyertaan atlet Russia secara persendirian) daripada menyertai Olimpik Musim Sejuk 2018 di PyeongChang, Korea Selatan.

Makna kemenangan Sukan Olimpik. Via Gif4u

Namun larangan ke atas Russia boleh diterima oleh masyarakat antarabangsa kerana Russia dikatakan terbukti melakukan pemanipulasian sistematik pada sistem anti-doping. Ini adalah alasan berkenaan salah laku kesukanan dan bukannya bersifat politik semata-mata.

Tapi ada juga yang boikot kerana sebab politik…

Afrika Selatan pernah dilarang oleh IOC daripada menyertai Olimpik bermula tahun 1964 hingga 1988. Ini kerana atas desakan dan pemboikotan oleh masyarakat antarabangsa ke atas sikap rejim Apartheid di Afrika Selatan yang turut melakukan pengasingan di dalam sukan.

Olimpik Moscow 1980 di Soviet Union diboikot oleh kebanyakan negara dunia dengan diketuai oleh Amerika Syarikat. Sebabnya Soviet lakukan serangan dan pencerobohan ke atas Afghanistan. Malaysia pun join sekaki – daripada peristiwa inilah timbul kisah yang masyhur iaitu Harimau Malaya tak dapat beraksi pada Sukan OlimpikĀ  walaupun dah layak.

Pasukan sekarang ni, entahlah bila nak layak ke Olimpik. Via SAYS

Namun negara-negara sekutu Soviet telah membalas kembali pada Olimpik 1984 di Los Angeles, Amerika Syarikat. Mereka memboikot Olimpik tersebut.

Ketegasan Malaysia terhadap Israel yang buat rakyat bangga

Baru-baru ni Malaysia terpalit dengan isu larangan atlet Israel daripada menyertai Kejohanan Renang Para Dunia. Akibatnya IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa) membatalkan hak penganjuran Malaysia ke atas kejohanan tersebut.

Kepimpinan negara menolak segala dakwaan Anti-Semitik atau Anti-Yahudi terhadap larangan atlet Israel tu. Namun menegaskan bahawa Malaysia menentang keras Israel yang didakwa sebagai penjenayah perang yang menindas rakyat Palestin.

Penerimaan terhadap pendirian Kerajaan Malaysia tersembut bercampur baur. Namun begitu diberitakan bahawa sekumpulan rakyat Palestin di Gaza menyambut solidariti Malaysia dengan mengibarkan Jalur Gemilang di tanah air mereka.

Tapi ada juga pihak-pihak yang persoalkan bahawa jika alasan ‘jenayah perang’ yang diungkitkan, apakah tindakan pelarangan yang sama akan diambil terhadap atlet Arab Saudi kerana sikap negara mereka yang menyerang dan membedil negara jiran mereka iaitu Yaman sehingga mengakibatkan ramai orang awam terkorban.

Pemboikotan terhadap atlet Israel bukanlah perkara baru. Semasa Persatuan Bola Sepak Israel menganggotai (AFC) Konfederasi Bola Sepak Asia dari tahun 1954 hingga 1974, mereka sering diboikot oleh negara-negara Arab dan majoriti Muslim. Akhirnya Persatuan Bola Sepak Israel disingkirkan keanggotaannya daripada AFC dan kini mereka menganggotai Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah.

Alaaa, Israel pun pernah main boikot-boikot ni

Namun begitu Israel sendiri secara moralnya di dalam dunia kesukanan tidaklah begitu suci. Pihak berkuasa Israel sendiri pernah menghalang Issam Qishta iaitu ketua Pasukan Olimpik Palestin daripada meninggalkan Gaza untuk menyertai pasukannya pada Olimpik Rio de Janeiro, Brazil pada 2016.

Malah atlet Palestin waktu tu terpaksa membeli kemudahan sukan mereka di Brazil. Ini kerana Israel menahan barangan sukan atlet Palestin yang kebanyakannya disumbangkan oleh masyarakat dunia daripada dibawa keluar melalui pelabuhan Israel. Ini kerana sempadan negara Palestin terkepung yang oleh Israel dan urusan keluar masuk mesti melalui Israel.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *