PAS dulu pernah jadi sebahagian Barisan Nasional, sebelum disingkirkan

Pada 5 Mac 2019, telah berlangsung mesyuarat perundingan antara PAS dan UMNO yang diadakan di di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. Dalam pertemuan tu, pimpinan penting untuk kedua-dua parti hadir.  Pertemuan ini adalah unik, tapi sedikit membingungkan, memandangkan kedua-dua parti ini mempunyai sejarah panjang dalam kerjasama yang dilakukan sepanjang beberapa dekad yang lalu. Agak-agaknya diorang ni tengah nak bergabung atau saja je berjumpa untuk takutkan Pakatan Harapan?

PAS mula menyertai politik kepartian secara aktif menjelang pilihan raya 1955

Pada 1947, berpusat di Gunung Semanggol, telah ditubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) pada 1947 sebelum diikuti oleh Hizbul Muslimin pada 1948, hasil usaha gigih Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Namun, Jun 1948 menyaksikan ia terkubur apabila disenarai hitam oleh Ordinan Darurat.

Sebahagian daripada tokoh Hizbul Muslimin seperti Haji Ahmad Fuad Hassan ambik keputusan untuk sertai UMNO pada 1950. Dia dilantik menjadi Ketua Bahagian Agama dan Pelajaran UMNO, dan aktif menulis serta mengkritik UMNO yang melayan ulama’ umpama sampah, selain isu kontroversi yang gagal ditangani oleh parti nasionalis itu seperti isu Natrah, penganjuran judi loteri, kelab malam dan lain-lain.

Pada 1951, persidangan ulamak yang dipimpin oleh Sheikh Abdullah Fahim, Mufti Pulau Pinang di Seberang Perai pada 1951, telah mengeluarkan fatwa mengharamkan judi loteri anjuran UMNO.

Via Berita PAS

Kemudian, pada 23 Ogos 1951 apabila para ulama’ yang bersidang di Kuala Lumpur bersetuju untuk tubuhkan sebuah persatuan yang dinamakan Persatuan Ulama’ Se-Malaya. Kemudian, pada 24 November 1951, dalam satu persidangan ulamak Malaya di Bagan Tuan Kecil (Butterworth), Seberang Prai, nama persatuan ini kemudiannya diubah menjadi Persatuan Islam Se-Malaya (PAS). PAS mula menyertai politik kepartian secara aktif menjelang pilihan raya 1955, sebelum menyertai pilihan raya umum 1959.

PAS dulu sebahagian daripada Barisan Nasional, ramai yang tak tahu sejarah ni, termasuk ahli PAS sendiri

Mereka menang banyak kerusi di Terengganu dan Kelantan, dengan Mohd Daud Abdul Samad dan Ustaz Ishak Lotfi Omar dilantik menjadi Menteri Besar. Pada Oktober 1961, UMNO menerusi Perikatan telah menggunakan helah untuk menggulingkan Kerajaan PAS di Terengganu, sebelum Kelantan pula diisytihar darurat sekitar 1977. Sepanjang tempoh ini, ramai tokoh PAS seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan ramai lagi dizalimi dengan memberi tekanan di dalam tahanan ISA serta pelbagai bentuk tekanan politik yang lain.

Agak-agak diorang tengah buat apa tu? Via Malaysia Gazette

Sentimen perkauman ditiup oleh UMNO bagi memburukkan PAS, selain mengaitkan mereka dengan konfrontasi oleh Indonesia pada 1963. Pada 10 Mei 1969, Pilihan Raya Umum ke-3 diadakan. UMNO memenangi 51 kerusi daripada 67 kerusi yang dipertandingkan dan dalam pilihanraya ini Perikatan mengalami kemerosotan kerusi. Pelbagai siri perbalahan antara kaum kemudiannya tercetus sehingga mencapai kemuncaknya pada 13 Mei 1969.

Peristiwa 13 Mei kemudiannya membawa kepada penubuhan kerajaan darurat (MAGERAN) bagi mengamankan keadaan.

PAS yang dipimpin oleh Datuk Asri Muda kemudiannya dirisik oleh UMNO menerusi kebijaksanaan Tun Abdul Razak, sehingga membentuk Kerajaan Campuran PAS-Perikatan pada 1 Januari 1973, sebelum ditukar nama kepada Barisan Nasional (BN) pada 1974. PAS buat pertama kalinya menyertai pilihan raya umum pada tahun 1974 tanpa menggunakan simbolnya sendiri, iaitu bulan bintang.

Logo dacing digunakan, memadamkan imej PAS yang tidak lagi dilihat sebagai wadah yang benar-benar tegas menentang kebobrokan UMNO-BN.

PAS dipecat dari Barisan Nasional, selepas bergerak solo, prestasi PAS merudum

PAS secara rasmi dipecat daripda BN pada 17 Disember 1977, kerana enggan menyokong Rang Undang-undang bagi mengisytiharkan darurat di Kelantan. Pada 11 Mac 1978, Pilihanraya Negeri Kelantan diadakan setelah pemerintahan darurat ditamatkan. Barisan Nasional berjaya menamatkan pemerintahan PAS yang berkuasa sejak 1959. Gabungan yang asalnya dikatakan bertujuan membentuk negara yang aman dan harmoni, akhirnya membawa kepada PAS kehilangan tampuk pemerintahan di Kelantan pada 1977, dan disingkirkan daripada BN di bawah Tun Hussein Onn.

Agaknya masa tu, diorang tak buat banner kalau ahli PAS nak bersama BN. Via Teganukita

Kekalahan PAS Kelantan dalam pilihan raya negeri pada 11 Mac 1978 memburukkan lagi keadaan, meskipun parti itu banyak membantu Perikatan mengimbangkan kestabilan mereka. Dekad tersebut menyaksikan populariti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencanak naik, khususnya apabila dipimpin di bawah Anwar Ibrahim, seorang tokoh muda yang berpengaruh ketika itu. Menerusi Majlis Syura ABIM, Anwar dan para sahabatnya bersetuju menghantar tokoh pimpinan serta para ulama’nya untuk menyertai selanjutnya memperkukuhkan PAS yang semakin kehilangan populariti serta sokongan.

Anwar zaman muda-muda. Via Utusan

Pada Oktober 1982 tertonjol kebangkitan Pemuda PAS yang mahukan kepimpinan ulama’ mengetuai parti tersebut. Laungan ‘Marakbar Asri!’ bergema, sebelum Ustaz Haji Yusof Rawa dipilih menjadi Presiden yang baru. Penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pulak menyebabkan sentimen anti kepada pimpinan serta parti selain PAS memuncak. Banyak gerakan Islam baru yang ditubuhkan selepas kemasukan Anwar seperti Islamic Representative Council (IRC), Kumpulan Ustaz Dahlan (KUSDA) dan sebagainya.

Amanat Haji Hadi di Peradong, senjata yang akan sentiasa digunakan oleh musuh PAS

Paling diingati adalah ‘Amanat Haji Hadi’, yang merujuk kepada satu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Ustaz Hadi di Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu. Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 26 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi.

Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985.

Via Tanwir

Ucapan ini sangat kontroversial sehingga menyebabkan ramai umat Islam ketika itu berpecah dan saling mengkafiri, hanya kerana perbezaan parti politik. Antara yang paling tragis pastinya tragedi Memali pada November 1985 yang mengorbankan 14 orang ahli PAS.

UMNO tuduh PAS sesat, PAS tuduh UMNO sesat, tapi nampaknya kedua-dua mungkin bersama

UMNO-BN kemudiannya secara konsisten menggunakan Amanat Hadi itu sebagai bahan berkempen untuk beberapa penggal seterusnya. Tidak cukup dengan mencerca PAS menerusi Amanat Hadi, UMNO malah melabel PAS sebagai sesat. Wacana PAS: Parti Ajaran Sesat telah dianjurkan pada 11 April 2012 oleh UMNO Terengganu sebagai menyambut celaan Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu ketika itu yang menuduh PAS sebagai menyeleweng.

Via Awani

Pada pilihan raya 1978, 1982 dan 1986, prestasi PAS kembali merudum. PAS hanya mula bangkit apabila mengadakan kerjasama bersama Semangat 46 dan Barisan Alternatif (merangkumi Parti Keadilan Rakyat dan DAP). Penyertaan bersama Pakatan Rakyat membolehkan PAS mendapat banyak kerusi pada 2008 dan 2013. PAS merosot bila bersendirian, namun kuat bila mengadakan kerjasama. Hal ini menunjukkan bahawa mereka mampu membuat pencapaian yang lebih baik jika mengadakan pakatan dengan parti lain.

Mungkin atas sebab inilah PAS kembali merapati UMNO, sebab berdasarkan statistik – mereka perlu cari pasangan untuk jadi kuat, atau sekurang-kurangnya ada harapan untuk jadi kerajaan. Macam mana dengan PRU15 nanti? Korang rasa adakah gabungan PAS dan UMNO ni boleh menang melawan Pakatan Harapan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *