Dr. Mohammed Morsi, baru-baru ni dah meninggal dunia. Media Mesir melaporkan bahawa dia rebah dan meninggal dunia kerana serangan jantung, ketika sedang menghadiri perbicaraan mahkamah. Morsi dipilih menjadi Presiden ke-5 pada Jun 2012 mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP), kurang 18 bulan selepas menyertai kebangkitan rakyat yang menewaskan pemerintahan dictator Hosni Mubarak selama 3 dekad.
Sebelum kita cerita panjang tentang Dr Morsi, kena tahu dulu pasal Ikhwan Muslimin
Ikhwan Muslimin merupakan gerakan yang berusia hampir satu abad, yang mempunyai matlamat membina masyarakat berlandaskan lunas Islam. Ikhwan menganjurkan gaya hidup yang damai di bawah naungan Islam, seperti yang diturunkan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Pengasas Ikhwan, Asy-Syahid Imam Hassan al-Banna yang juga seorang mujahid, telah dibunuh kerana usahanya menyebarkan dakwah Islam. Dia dilahirkan pada 14 Oktober 1906 di Mahmudiyah, Mesir.
Ketika berusia 13 tahun, Hassan al-Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 untuk menentang pemerintahan British. Pada tahun 1923, Hassan menuntut di Dar al ‘Ulum, sekolah latihan guru di Kaherah. Dia mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Isma’iliyya, berhampiran Terusan Suez.
Hassan al-Banna kemudiannya menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah pada Mac 1928. Ketika itu beliau baru berusia 23 tahun. Beliau yang terkenal dengan kepintarannya berhujah dan berpidato, mengadakan ceramah agama di pelbagai tempat: daripada masjid, warung kopi sehinggalah kelab malam.
Pengasasnya, Imam Hassan al-Banna telah dihukum tembak sehingga mati
Pengaruh besar Ikhwan sangat ditakuti oleh Kerajaan Mesir, sehingga Ikhwan diisytiharkan haram kerana dituduh menentang kerajaan, meskipun ribuan aktivis Ikhwan menyertai tentera secara sukarela demi mempertahankan tanah air mereka daripada serangan Zionis Israel. Ketika diharamkan, Ikhwan dikatakan mempunyai 3,000 cawangan di seluruh Mesir. Pada 12 Februari 1949, dengan pelbagai tipu daya pihak pemerintah, Imam Hassan al-Banna telah ditembak sehingga meninggal dunia.
Meskipun menempuhi pelbagai onak, Ikhwan Muslimin terus memberikan inspirasi serta mempengaruhi banyak gerakan Islam di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Sekitar 1928-1932, banyak sekolah agama didirikan serta majalah diterbitkan oleh Ikhwan. Pada 1932-1939, akhbar Ikhwan mula dikeluarkan di samping melakukan kajian di masjid-masjid. 1939-1952 menyaksikan majalah al-Ikhwan al-Muslimin diterbitkan, selain sistem usrah diasaskan.
Era 1952-1954 ditandai oleh pelebaran pengaruh serta program Ikhwan yang semakin berkembang, sehingga banyak gerakan Islam di seluruh dunia ditubuhkan sebagai sayap Ikhwan di negara masing-masing.
Sebenarnya Morsi dipilih sebagai Presiden Mesir tanpa dirancang
Morsi lahir pada 8 Ogos 1951 di daerah Sharqiya, ayahnya adalah peladang dan ibunya adalah suri rumah. Dia pindah ke Kaherah pada lewat 1960-an untuk mempelajari bidang kejuruteraan di Universiti Kaherah. Selepas menamatkan khidmat tenteranya, dia menyambung pengajian dalam bidang Master dan mendapat PhD daripada University of Southern California, Amerika Syarikat sewaktu menetap di sana. Morsi pernah menjadi ketua jabatan kejuruteraan di Universiti Zagazig, dan menjadi ahli parlimen dari tahun 2000-2005.
Pada asalnya, dia bukan pimpinan utama Ikhwan Muslimin, malah calon asal Presiden untuk Ikhwan adalah Khairat al-Shater, seorang jutawan. Bagaimanapun, dia tidak dapat bertanding kerana disekat oleh peraturan teknikal. Morsi kemudiannya menjadi calon partinya pada April 2012, sebelum menjadi Presiden tanpa dirancang.
Ketika kebangkitan awal rakyat Mesir pada 2004 dan 2005, tekanan sudah dapat dilihat. Pilihan raya Parlimen pada November 2010 dianggap sebagai yang paling kotor dalam sejarah, menyebabkan Ikhwan hilang kesemua 88 kerusi. Kempen pilihan raya Presiden berlangsung pada musim bunga 2012 dalam suasana yang kacau-bilau, tidak pasti serta penuh kekecohan. Meskipun mempunyai calon-calon yang kurang popular dengan hanya 2 bulan untuk berkempen, aktivis Ikhwan bertebar ke seluruh Mesir, mempromosikan Morsi sebagai pemimpin kepada projek perubahan negara.
Meskipun dilihat sebagai kebangkitan rakyat, ia disulami dengan segmen latar belakang demonstran yang pelbagai: penyokong gerakan Islam, golongan penyokong sekularisme serta mahasiswa yang mahukan perubahan secara drastik terhadap sistem pemerintahan di negara itu. Siri pidato Morsi dihadiri oleh ramai hadirin, dengan harapan besar untuk membina Mesir yang baru.
Setiap hari, sekurang-kurangnya 20 demonstrasi aman dijalankan. Morsi kemudiannya dipilih secara demokratik sebagai Presiden mesir, namun hanya bertahan selama setahun sebelum digulingkan oleh tentera pada 3 Julai 2013. Golongan penentang menjadi marah kerana ramai pimpinan Ikhwan dipilih menjawat jawatan dalam kerajaan.
Para pengkritik juga membidas kegagalannya memulihkan ekonomi Mesir yang jatuh merudum. Morsi juga dituduh cuba meluaskan kuasanya sebagai presiden.
Mahkamah Mesir pernah jatuhkan hukuman mati terhadap 529 penyokong Morsi
Pada 3 Julai 2013, pihak tentera menggantung perlembagaan dan mengisytiharkan pembentukan kerajaan sementara menjelang pilihan raya presiden. Selepas ditahan di lokasi yang tidak diketahui, tiada khabar berita tentang Morsi untuk berminggu lamanya. Kesihatan Morsi dilaporkan semakin menurun di penjara, di mana dia berdepan keadaan yang lebih teruk berbanding Mubarak, yang ditahan di hospital tentera.
Meskipun memimpin Mesir dalam tempoh yang singkat selepas kebangkitan rakyat di sana sehingga menumbangkan rejim Hosni Mubarak pada 2011, Dr. Morsi tetap mempunyai sumbangan tersendiri serta komited untuk menegakkan perubahan, kebenaran dan keadilan buat tanah airnya.
Gerakan Badan Masyarakat Madani (CSO) seluruh dunia mengecam sekeras-kerasnya hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Mesir ke atas 529 orang penyokong Dr. Morsi yang dipilih secara sah menerusi demokrasi. Pelbagai pihak menggesa agar penyiasatan menyeluruh dibuat ke atas sebab kematiannya, di mana beliau telah menerima layanan yang buruk, di samping dinafikan rawatan perubatan yang sewajarnya, sepanjang mendekam di dalam penjara.
Setelah pelbagai propaganda serta fitnah dimomokkan ke atas Morsi, dia dan pemimpin Ikhwan ditangkap, sedangkan Hosni Mubarak kemudiannya terlepas daripada segala tuduhan salah laku salahguna kuasa. Kini Mesir kembali mundur dari serba serbi diperintah oleh diktator dengan dasar yang menekan rakyat, selain dasar Sissi yang pro kepada rejim Zionis Israel yang nyata memualkan.
Morsi dalam kenangan, semoga rohnya dicucuri rahmat
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, menggambarkan kematian Morsi sebagai syahid, manakala Dr. Rashid Ghannouchi, pemimpin Parti Ennahda di Tunisia yang akrab dengan Ikhwan, berharap agar lebih ramai tahanan politik dapat dibebaskan, dan dialog dapat dianjurkan.
Selama 6 tahun disisihkan, tragedi yang menimpa Dr. Morsi hanyalah simbol kepada penindasan yang jauh lebih besar terhadap musuh politik rejim al-Sisi. Ratusan ribu lagi terkesan dan menerima impak yang buruk seperti terkorban, menjadi pelarian, dipenjara dan sebagainya. Semoga roh Morsi ditempatkan bersama orang-orang yang soleh serta diterima amalannya yang baik di sisi Allah SWT. Innalillahi wainna ilaihi rajiun – Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.