Laporan siasatan tembak jatuh MH17, pegawai kanan tentera Rusia jadi suspek

Laporan siasatan tembak jatuh MH17, pegawai kanan tentera Rusia jadi suspek

Mustahil untuk kita melupakan insiden MH17 ditembak jatuh. Insiden yang berlaku pada tahun 2014 tu membuatkan rakyat Malaysia geram – akibat kemelut yang berlaku di sana menyebabkan pesawat milik MAS tu jadi mangsa. Sudahlah pada tahun yang sama kita kehilangan MH370 sehingga hari ni, MH17 pulak ditembak jatuh. Masa tu, setiap kali kami nak naik pesawat, macam-macam benda yang bermain di kepala. Nampaknya keadilan untuk mangsa-mangsa MH17 mungkin akan berlaku, apabila dalam masa terdekat suspek yang tembak MH17 akan didedahkan…

Pada tahun lepas, ada laporan yang kata MH17 ditembak jatuh peluru berpandu tentera Rusia

Sistem peluru berpandu antipesawat 53 Angkatan Bersenjata Rusia digunakan untuk tembak jatuh penerbangan Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine pada tahun 2014. Pesawat dengan 298 penumpang tu – dua pertiga daripadanya ialah warga Belanda ditembak jatuh peluru berpandu buatan Rusia pada 17 Julai 2014 di ruang udara wilayah yang dikawal puak pemisah pro-Rusia.

Via iNews

“Sistem peluru berpandu yang digunakan adalah daripada tentera Rusia, Briged ke-53. Kita tahu apa yang digunakan, tetapi orang yang bertanggungjawab terhadap BUK ini, kita tidak dapat pastikan,” kata Ketua Pendakwa Belanda, Fred Westerbeke kepada Reuters.

Masa tu, penyiasat merayu kepada orang ramai untuk tampil dan membantu mengenal pasti kru yang mengendalikan peluru berpandu dan menentukan dari mana arahan itu datang. Diorang juga kata Rusia tak membantu diorang memberikan maklumat, walaupun sistem BUK itu daripada pasukan tentera mereka.

Kementerian pertahanan Rusia dalam reaksi balas menafikan pihaknya terlibat dalam insiden yang meragut nyawa kesemua 298 penumpang dan kru tu. Pasukan Penyiasatan yang terdiri daripada Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine tengah berusaha untuk mengumpul bukti untuk membuat pendakwaan.

Lembaga Keselamatan Belanda menyimpulkan dalam laporan pada Oktober 2015 bahawa pesawat Boeing 777 itu telah ditembak oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia.

Nampaknya, keputusan siasatan terhadap kes MH17 ni akan diketahui dalam masa yang terdekat

Nampaknya pasukan penyiasat antarabangsa dijangka mengumumkan pertuduhan ke atas beberapa suspek yang menembak jatuh pesawat MH17 dalam masa yang terdekat. Siasatan diketuai kerajaan Belanda tu akan memaklumkan perkara ni kepada keluarga mangsa terlebih dahulu sebelum mengadakan sidang media untuk mendedahkan perkembangan siasatan jenayah pesawat Boeing 777 milik MAS tu.

Via The Guardian

Keputusan tu dicapai hampir setahun selepas penyiasat mendedahkan penemuan bahawa peluru berpandu BUK yang digunakan bagi menembak pesawat terbabit berasal dari briged tentera Russia berpangkalan di barat daya Kursk.  Timbalan Menteri Luar Ukraine, Olena Zerkal kata, empat individu akan dinamakan sebagai suspek, termasuk seorang pegawai kanan tentera Russia. Dia menambah, pemindahan senjata seperti sistem peluru berpandu anti pesawat BUK adalah mustahil tanpa kebenaran pemerintah tentera tertinggi Russia dan ia turut membabitkan individu, selain suspek yang didakwa.

Tun Mahathir kata kena ada ada bukti kukuh kalau nak tuduh Rusia

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan pendirian untuk ‘perlukan bukti yang kukuh’ ekoran tindakan Jawatankuasa Siasatan Bersama (JIT) MH17 yang mengeluarkan Malaysia dari senarai asal lima negara peserta termasuk Australia, Brazil, Belgium dan Ukraine. Ketika beri respons pada satu soalan yang ditanya pengamal media antarabangsa, Tun M kata, Malaysia hanya akan menerima beberapa perkara sahaja daripada laporan akhir JIT tersebut.

Via The Star

Ia termasuk pengesahan bahawa peluru berpandu yang digunakan dalam kejadian itu adalah buatan Rusia.

“Kami hanya akan terima penemuan siasatan bahawa pesawat itu milik Malaysia, dipandu oleh juruterbang Malaysia, majoriti penumpang di dalam adalah rakyat Australia dan Belanda, pesawat itu telah terhempas akibat ditembak dan penemuan kotak hitam. Dan dalam Malaysia bersetuju bahawa peluru berpandu itu buatan Rusia, itu tidak bermaksud negara berkenaan merupakan dalang di sebalik kejadian. Kita perlukan bukti yang lebih kukuh,” Tun Mahathir dalam sidang media di Kelab Pengamal Media Antarabangsa Jepun, bulan lepas

Semoga dengan laporan siasatan MH17 ni, keadilan untuk mangsa-mangsa yang jadi korban akibat konflik kat Ukraine ni dapat dirungkai. Kami simpati dengan semua keluarga mangsa, dan harapnya dapatlah orang yang tak berhati perut tu dibawa ke muka keadilan dan dapat hukuman yang sepatutnya.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top