Putera Arab nak beli Manchester United? Ini sebab ramai yang menentang

Sejak Oktober 2018, kecoh dunia sosial media apabila Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS) dikatakan mahu membeli kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United (United) dengan bidaan £4bilion. MBS dikatakan sanggup menambah £800juta kepada United yang mempunyai nilai semasa sebanyak £3.2billion (berdasarkan Forbes).

MBS. Via Bloomberg

Putera raja yang berusia 34 tahun ini yang mempunyai kekayaan bernilai £850bilion, pastinya tidak mempunyai masalah untuk membelanjakan wang sebanyak itu, untuk kelab besar tersebut. Sekiranya perjanjian ini menjadi kenyataan, pastinya kita akan dapat melihat satu lagi bilionair Arab memiliki kelab besar, selepas Manchester City (UAE) dan Paris Saint-Germain (Qatar).

Pemilik Manchester United untung gila-gila

Keluarga Glazer dari Amerika Syarikat telah membeli United pada 2005 dan dikatakan akan menerima sebanyak £2.2bilion jika perjanjian tersebut dimeterai. Para peminat United meluahkan rasa kekecewaan mereka sebelum ini terhadap keluarga Glazer, dengan hutang pembelian kelab tersebut masih lagi berbaki sebanyak £790juta. Namun, penting untuk dinyatakan di sini bahawa keluarga Glazer telah menjadikan United sebagai salah-satu lubuk wang terbesar bola sepak dunia, dengan jumlah keuntungan sebanyak 630juta British pounds. Keluarga Glazer juga adalah pemilik Tampa Bay Buccaneers, yang bertanding dalam Liga Kebangsaan Bola Sepak Amerika (NFL).

Seminggu dua ini, tular lagi berita angin, bahawa MBS benar-benar mahu membeli United. Namun, Kementerian Media Arab Saudi yang diketuai oleh Turki Abdullah Al-Shabanah menafikan laporan berkenaan rundingan antara MBS dan United. Menerusi laman Twitter, Turki menyatakan bahawa;

“Laporan yang mendakwa bahawa DYMM Putera Mahkota Mohammed Bin Salman berniat untuk membeli @ManUtd adalah tidak benar sama sekali.” Turki juga menyatakan bahawa United mengadakan satu mesyuarat dengan pihak Dana Pelaburan Awam Saudi (yang mempunyai asset berjumlah $230 bilion) untuk membincangkan peluang penajaan. Tiada perjanjian telah dimetereai.” United tidak memberikan sebarang komen terhadap kenyataan tersebut.”

Via Giphy

MBS menjadi tumpuan global pada tahun lepas, setelah berita kematian wartawan terkenal Jamal Khashoggi, tular. Jamal dibunuh di dalam kedutaan Saudi di Istanbul pada 2hb Oktober 2018. Kekecohan ni dikatakan menyebabkan perjanjian antara United dan MBS gagal dimeterai, meskipun pada tahun 2017, kelab tersebut telah menjalin hubungan strategik bersama Pihak Berkuasa Tinggi Sukan Arab Saudi.

Pada tahun 2017, United bersama-sama bersetuju untuk menggerakkan Wawasan 3030 Arab Saudi yang diilhamkan oleh MBS untuk mengelakkan Saudi hanya bergantung kepada sumber minyak.

Kes kematian wartawan Jamal Khashoggi yang menggegarkan dunia

Jamal yang sering mengkritik MBS di dalam akhbar Washington Post, hilang pada Oktober tahun lepas. Selepas menafikan selama beberapa minggu bahawa beliau dibunuh di kedutaan Saudi, akhirnya Kerajaan Saudi menghukum 11 orang yang dituduh terlibat dengan pembunuhan tersebut, termasuk beberapa orang pegawai yang sangat rapat dengan MBS.

Pihak Saudi menafikan bahawa MBS mengetahui plot pembunuhan tersebut. Meskipun ramai ahli Senator dan anggota Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (termasuk Demokrat dan Repubikan) menyuarakan secara jelas bahawa MBS yang melakukan pembunuhan tersebut, pihak Donald Trump masih memilih untuk tidak mengkritik MBS.

Kerajaan Saudi juga telah mengharamkan beIn SPORTS yang dimiliki oleh Qatar tetapi beribu pejabat di Saudi, daripada bersiaran di negara tersebut. Stesen tersebut merupakan penyiar rasmi Liga Inggeris di sana.

MBS baru-baru ini dalam kunjungannya ke Asia, menangguhkan lawatan ke Malaysia dan Indonesia ke satu tarikh lain yang belum ditentukan. Menteri Luar Malaysia, Dato’ Saifuddin Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah menghubungi Menteri Hal-ehwal Luar Negara Saudi, Adel al-Jubeir dan memberitahu berkenaan penangguhan tersebut, tanpa sebab yang dimaklumkan.

Bukan setakat kes pembunuhan wartawan, masalah perang di Yaman pun jadi isu

Selain isu pembunuhan Jamal Khashoggi, isu konflik peperangan di Yaman juga dikaitkan dengan MBS. Yaman telah mengalami krisis kemanusiaan sejak 2015, di mana 10,000 orang telah terkorban, apabila Arab Saudi mengetuai gabungan beberapa buah negara, melancarkan serangan udara ke atas Yaman pada 25 Mac 2015. Yaman dan Syria (Syam) adalah dua tempat yang didoakan keberkatan oleh Nabi Muhammad S.A.W. namun akibat kerakusan dan ketamakan kuasa rakyat kedua-dua Negara terpaksa membayar harga yang tinggi untuk menikmati harga keamanan.

Helle Thorning-Schmidth, Ketua Pegawai Eksekutif Save the Children International menceritakan bagaimana ketika beliau melawat sebuah hospital di utara Yaman, beliau mendapati bayi di sana terlalu lemah walau untuk menangis sekalipun. Ramai yang mengalami kecederaan parah kerana kem pelarian mereka telah diserang dihujani peluru berpandu. Ada yang terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri. Rumah telah hancur, khemah-khemah mereka juga telah musnah.

Via 4gif

Pada Jun 2018, YB Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan Malaysia mengumumkan untuk menarik balik penempatan tentera Malaysia di Arab Saudi, sebagai langkah bagi mengelakkan pembabitan Malaysia dalam pe­perangan antara Arab Saudi dan Yaman sebelum ini.

Beliau berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan dasar berkecuali dan tidak memihak kepada mana-mana ideologi politik kuasa-kuasa besar dunia. Mohamad berkata, kehadiran anggota tentera kita di Arab Saudi secara tidak langsung menyebabkan Malaysia terperangkap dengan konflik di Asia Barat.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Ahmad Fadhli Shaari pada Ogos 2018 menyatakan bahawa tindakan Kementerian Pertahanan itu sebagai tindakan tergesa-gesa, di mana tindakan menempatkan tentera Malaysia di Arab Saudi sebenarnya sudah cukup baik dan tidak perlu kepada tindakan menarik balik seperti yang dilakukan oleh kerajaan.

Banyak Badan Masyarakat madani di Malaysia seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Global Peace Mission (GPM) Malaysia menggerakkan kempen bagi membantu para pelarian serta rakyat Yaman yang dilanda konflik akibat perang.

Berbalik kepada Manchester United, nampaknya belum sedia untuk dijual

Keluarga Glazer yang kini diketuai oleh Joel dan Avram Glazer menyatakan bahawa mereka belum bersedia untuk menjual United. Namun, dengan harga pegangan saham kelab tersebut yang melonjak tinggi sejak beberapa bulan lalu, mungkin menyebabkan mereka berubah fikiran. Sementara itu, kontroversi perang Yaman, hubungan akrab dengan pentadbiran Trump serta konflik-geopolitik Timur Tengah akan terus melingkari MBS. Kita nantikan apa plot seterusnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *