KL Summit nak gantikan OIC? Tun Mahathir kata Malaysia terlalu kecil untuk itu…

Kl Summit 2019
KL Summit nak gantikan OIC? Tun Mahathir kata Malaysia terlalu kecil untuk itu…

Tindakan Dr. Mahathir baru-baru ni buatkan satu dunia Islam tengok Malaysia ni sebagai sebuah negara yang berani. Kalau korang ingat lagi, KL Summit yang dah dijalankan pada 18 Disember hingga 21 Disember lalu sepatutnya melibatkan beberapa negara Islam yang utama seperti Indonesia, Turki, Qatar dan Pakistan.

Namun beberapa hari sebelum KL Summit berlangsung, banyak pulak negara Islam tak jadi datang. Arab Saudi dan Pakistan dah awal-awal kata tak nak datang manakala wakil Indonesia pula dikatakan tak dapat hadir kerana masalah kesihatan. Takpe, kata Dr. Mahathir, takde paksaan

Kl Summit Mahathir
Via The Sun Daily

Arab Saudi salah faham, KL Summit bukanlah OIC baharu…

Sebenarnya Kuala Lumpur Summit ni bukanlah benda baharu. Ikut laman web rasminya, ia dahpun dilancarkan pada November 2014. Berfungsi sebagai platform antarabangsa yang jadi pusat pertemuan antara pemimpin Islam, intelektual dan sarjana seluruh dunia; ia satu peluang besar untuk rapatkan silaturahim antara negara-negara Islam.

Sebab tu lah kami pun pelik bila Arab Saudi kata KL Summit ni macam nak ganti fungsi blok OIC (Organisation of Islamic Cooperation), sedangkan fungsi sebenar yang digariskan tu takde pun cakap nak ganti OIC. Perkara ni terpaksa diperjelaskan kepada Raja Salman, pemerintah Arab Saudi sehari sebelum KL Summit. Dr. Mahathir kata:

“Dia (Raja Salman) rasa perkara seperti isu berkaitan Muslim tak harus dibincangkan oleh dua atau tiga negara, dan perlu wujudkan sebuah mesyuarat OIC, dan saya bersetuju dengannya…”- Dr. Mahathir, seperti yang dilaporkan oleh The Star pada 17 Disember 2019

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan pun tak jadi nak hadir ke KL Summit kerana dakwa mereka, Arab Saudi tak bagi. Untuk memahami perkara ni, kami nak ambil pandangan Umair Jamal dari The Diplomats yang menyatakan bahawa Arab Saudi takut potensi kerjasama Malaysia-Iran-Turki ni boleh memalapkan ‘kuasa politik’ Arab Saudi dalam pentas dunia Islam.

Tambah lagi, Arab Saudi dilihat dah berlembut pasal isu perebutan Kashmir dan menyokong India walhal Pakistan, Malaysia, Turki dan Iran tak setuju dengan India ni. Oleh demikian, penarikan diri Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dalam KL Summit menuruti jejak Arab Saudi macam nak ‘ampu’ Arab Saudi supaya dapat menyebelahi mereka dalam isu Kashmir dalam perjumpaan OIC kelak.

Ada rasa OIC ni gagal, KL Summit boleh ganti…

Kebimbangan Arab Saudi ni ada asasnya jugak, sebab walaupun Dr. Mahathir kata Malaysia tak berniat pun nak ganti OIC mahupun nak bina satu blok dunia Islam baharu, takde orang dapat sangkal ketokohan Dr. Mahathir ni kat mata dunia Islam. Menurut The Star, terdapat tiga tokoh dunia Islam yang disegani pada masa ni; Dr. Mahathir sendiri, Joko Widodo dan Recep Tayyip Erdogan.

Kl Summit Jokowi Mahathir
Mahathir bersama Jokowi. -Via Finroll.com

Kami perhatikan Dr. Mahathir dan Erdogan agak konsisten dalam kelantangan mereka menyuarakan isu-isu umat Islam, manakala Joko Widodo pula taklah jauh mana dalam usahanya membangkitkan lebih banyak isu di mata dunia. Baru-baru ni pun kami dah tulis kejayaan Jokowi hingga dinobatkan sebagai Tokoh Asia 2019.

Dalam hal KL Summit ni pulak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku mantan Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia menyifatkan KL Summit ni sebagai suatu langkah yang baik untuk menambahbaik OIC yang dikatakan gagal menangani banyak masalah antarabangsa khususnya di Asia Barat. Katanya lagi;

“Memindahkan persidangan ke Asia Tenggara jauh daripada tempat yang ada masalah, itu satu langkah yang sangat baik kerana rantau ini lebih aman, lebih tenang daripada Asia Barat,”- Abdul Hadi Awang, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani pada 19 Disember 2019

Doc76dp8m2xz6usokpb37z
Mahathir bersama Erdogan. -Via The Star Online

Kritikan ke atas OIC ni turut disuarakan oleh Erdogan. Walaupun dia tak sebut secara langsung mengenai OIC, tapi orang boleh agak siapa yang dikritiknya ni. Baginya, kemajuan umat Islam dalam menangani pelbagai isu ni adalah disebabkan kurangnya penguatkuasaan ataupun langkah-langkah yang konkrit untuk diimplementasikan.

“Kita masih tak dapat buat apa-apa tentang isu Palestin, kita masih tak dapat hentikan eksploitasi sumber kita, kita masih tak dapat kata ‘berhenti’ kepada perpecahan dunia Islam kerana sektarianisme, itu sebabnya (kita tak maju)”…- Erdogan, seperti yang dilaporkan oleh Free Malaysia Today pada 19 Disember 2019

Via Giphy

Kami pernah dengar jugak orang kata OIC ni serupa namanya: “Oh, I see”. Maksudnya, OIC ni disertai oleh banyak negara yang berkepentingan dalam dunia Islam namun masih tak banyak perkara yang mampu diselesaikan.

KL Summit tetap gagal nak selamatkan umat Islam, betul ke?

Benda ni pun jadi persoalan ramai orang juga, sebab KL Summit ni sepatutnya menghimpunkan wakil negara-negara dunia Islam. Tapi kerana beberapa negara utama ni dilihat berat hati nak datang; adakah KL Summit ni suatu usaha yang gagal?

Shahbuddin Husin, dalam blog peribadinya memuatkan sebuah tulisan yang mempertikai motif sebenar Dr. Mahathir dalam KL Summit ni. Dia mempersoalkan kedudukan Malaysia lepas ni, dimana beberapa negara utama seperti Indonesia, Pakistan, Arab Saudi pun tak datang lepas dijemput oleh Malaysia.

Indonesia pula gagal hantar wakil menggantikan wakil Presiden Jokowi ketika tu iaitu Naib Presiden Ma’aruf Amin. Erdogan pula dikatakan lebih berminat untuk berjumpa dengan Anwar Ibrahim dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail berbanding nak ikuti KL Summit tu.

Via Giphy

Sebuah tulisan dari Finance Twitter turut mempertikai kerelevanan KL Summit dan kesannya ke atas Malaysia, dengan mendakwa Erdogan membongkar kisah sebenar Pakistan telah ditekan oleh Arab Saudi untuk tak bersatu bersama Malaysia dan Turki. Malah, wakil negara-negara yang dianggap ‘utama’ seperti Iran dan Qatar pula lebih bersifat inginkan kerjasama dengan sesiapa je dari negara dunia Islam lepas masing-masing dijauhkan oleh sekutu-sekutu lain.

Kl Summit Penyertaan Negara
Via Bernama

Namun begitu, dari sudut Malaysia pula… KL Summit ni tetap jadi platform antarabangsa, dan Dr. Mahathir tak pernah pun kata bahawa ia akan lebih besar dari OIC, jauh sekali nak diangkat sebagai OIC 2.0 pulak. Analisis Omer Faruk Yil Diz ni lebih positif melihat perkembangan KL Summit kerana ia lebih bersifat suatu perjumpaan membina kerjasama sesama dunia Islam.

Usaha menjenamakan KL Summit ni sebagai suatu platform yang mempertemukan negara-negara dunia Islam untuk mencari solusi dan titik tengah untuk maju bersama, bukannya nak menggantikan satu kuasa politik Islam di tangan Malaysia semata-mata. Sepertimana yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir kepada Raja Salman, “Malaysia terlalu kecil untuk itu”.

Ketamadunan dunia Islam perlu disegerakan kemajuannya agar tak ketinggalan dengan blok dunia lain, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Ukur baju di badan sendiri, kena fokus majukan ummah…

Bagi kami pula, KL Summit ni harus dipuji kerana sekurang-kurangnya, kita buat sesuatu berbanding hanya nak harapkan satu atau dua negara je yang tentukan apa yang kita harus buat dan tak buat. OIC sememangnya dah lama dikritik oleh para penganalisis, pemerhati geopolitik rantau Asia Barat dan para pemimpin dunia sendiri kerana dilihat tak cukup ampuh untuk menyelesaikan isu ummah.

Tindakan Dr. Mahathir yang “ukur baju di badan sendiri” ni buktikan bahawa beliau realistik dengan kebolehan dan kekurangan yang dapat tercapai daripada KL Summit. Tak mudah sebenarnya untuk kami puji ahli politik ni, tapi dalam hal KL Summit (yang akan ditukarkan namanya menjadi Perdana Dialog pada 2020), Dr. Mahathir dah tunjuk bahawa negara kecil macam kita pun boleh wujudkan kerjasama intelektual dan sosioekonomi yang pentingkan kebersamaan nak majukan ummah.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top