10 gol terbaik dalam sejarah bola sepak Malaysia

10 gol terbaik dalam sejarah bola sepak Malaysia

Apabila Faiz Nasir melakukan rembatan bola cantik menuju ke penjuru kanan gawang Afghanistan, ramai yang kembali menyebut soal Anugerah Puskas. Faiz tenang menyempurnakan peluang meski dikawal penjaga gol, Ovays Azizi pada minit ke-44, untuk menyamakan kedudukan 1-1 ketika itu, untuk Harimau Malaya.

Sebenarnya, selain Faiz Subri (dalam artikel ni kami tak akan masukkan gol dia, sebab semua dah tahu gol tu power) dan Faiz Nasir, ramai pemain tempatan pernah melakukan jaringan yang meninggalkan kesan: sama ada kerana sukar untuk diselamatkan, mahupun kerana jaringan tersebut memberikan kemenangan yang signifikan.

Via Tenor

Siapa yang boleh melupakan aksi hebat penyerang tulen seperti Mokhtar Dahari yang sering menggunakan teknik ‘hit & run’ untuk menewaskan pemain-pemain lawan dan bila sampai ke kawasan penalti, terus menyepak bola yang kencang dan menjaringkan gol!

Hari ni kami senaraikan 10 gol tercantik yang pernah dihasilkan oleh pasukan Malaysia…

10. Safiq Rahim lawan Taiwan (29 Jun 2011)

Dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia FIFA 2014 ini, Safiq melepaskan satu sepakan ‘first timer’ yang cantik, hasil lorongan S. Kunanlan. Gol ini mengingatkan kita kepada jaringan hampir sama dilakukan oleh Safiq ketika mewakili skuad Bawah 23 Tahun Malaysia menentang pasukan B-23 Korea Selatan di Stadium Bukit Jalil, pada 2010.

9. Nazmi Faiz Mansor lawan Bahrain (Kelayakan Olimpik 2012)

Pernah digelar sebagai ‘wonder kid’, gol debut pertama Nazmi Faiz untuk Malaysia dijaringkan pada perlawanan menentang Bahrain untuk Kelayakan Olimpik 2012 pada menerusi gol jarak jauh yang cantik pada minit ke-29. Perlawanan berlangsung pada 27 November 2011 di Stadium Bukit Jalil.

8. Azmi Muslim lawan Arsenal (Asian Tour 2012)

Azmi Muslim yang dicungkil bakatnya daripada program pencarian bakat bola ‘MyTeam’ yang dipilih menentang pasukan Bawah-20 Malaysia. Ketika menentang skaud The Gunners pada 25 Julai 2012, Azmi melepaskan satu rembatan padu dari jarak 25 meter ke penjuru gawang Arsenal, menyebabkan penjaga gol, Mannone tergamam.

7. Safiq Rahim ketika menentang Liverpool (Asia Tour 2011)

Sering menjaringkan gol daripada tendangan percuma, sehingga digelar pakar bola mati, Safiq yang masih muda ketika itu, membuktikan kemampuannya buat kesekian kali apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-43 ketika berdepan Liverpool, bersaksikan puluhan ribu penonton di Stadium Bukit Jalil.

6. Safee Sali ketika melawan Singapura (Piala Sultan Selangor 2008)

Meskipun bukan satu kejohanan besar, perseteruan Selangor dan Singapura menjadikan perlawanan ini sering ditunggu-tunggu penyokong kedua-dua pasukan. Gol pada minit ke-61 menerusi sepakan akrobatik, dikenang rapi dalam kenangan penyokong Gergasi Merah.

5. Syahmi Safari lawan Thailand (Separuh Akhir, Piala AFF Suzuki 2018)

Gol cantik dari Syahmi Safari ini dijaringkan sewaktu Separuh Akhir, Piala AFF Suzuki 2018, ketika berdepan Thailand. Jaringan itu dihasilkan menerusi beberapa siri hantaran antara pemain negara tanpa sebarang gangguan daripada pemain Thailand sebelum pemain Selangor itu melepaskan rembatan dari hujung kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom pada minit ke-28.

4. Safee Sali lawan Indonesia (Perlawanan Akhir Pertama, Piala AFF Suzuki 2010)

Tatkala pengulas legenda, Dato’ Hasbullah Awang (Allahyarham) tersalah menyebut ‘Mahali Jusali’ dan ‘Masali’, hantaran lambungnya tenang disempurnakan dengan tandukan padu oleh Safee Sali pada minit ke-72.

3. Hardi Jaafar lawan Singapura (Separuh Akhir, Piala AFF Suzuki 2007)

Wajah berang Aide Iskandar menggambarkan perasaan pemain Singapura yang diserang hebat oleh skuad kebangsaan. Tatkala Hardi Jaafar dengan bersahaja kelihatan mahu melakukan hantaran kepada rakan pada minit ke-12, rupa-rupanya membuat sepakan lencong yang masuk ke dalam pintu gol Singapura, di Stadium Shah Alam.

2. Amri Yahyah lawan Manchester United (Asia Tour 2009)

Bukan satu, tapi dua gol ketika menentang Manchester United: menewaskan Van der Sar dan Ben Foster. Anak buah Alex Ferguson dan para penyokong Red Devils yang membanjiri Stadium Bukit Jalil menjadi terkedu bila Amri dengan bijak melakukan sepakan lambung bagi menewaskan Van der Sar yang sedikit terleka dan terkedapan dari pintu golnya. Sepakan ‘audacious chip’ ini dilakukan pada 18 Julai 2009.

1. James Wong lawan Korea Selatan (Kelayakan Sukan Olimpik 1980)

Siapa yang boleh melupakan larian deras Hassan ‘Cucuk’ Sani, memperdaya beberapa pemain Korea Selatan, selepas menerima bola hantaran Khalid Ali. Hassan yang digelar lipas kudung membuat larian pantas dan terus membuat hantaran kepada James Wong untuk menghasilkan gol kemenangan Malaysia ke Korea Selatan dengan jaringan 2-1.

Walau bagaimanapun, Malaysia tidak beraksi pada Sukan Olimpik 1980 kerana kerajaan Malaysia berkeras untuk membantah tindakan Soviet Union yang menceroboh Afghanistan. Ini adalah kali terakhir kita layak ke Sukan Olimpik, selepas kali pertama pada 1972 di Munich.

Beberapa gol lagi yang kekal di hati dan minda…

Sudah tentu ini bukanlah satu senarai yang lengkap, memandangkan banyak lagi jaringan cantik daripada para pemain bola Malaysia. Gol Supermokh ketika menentang Arsenal dan England B; gol-gol Matlan Marjan sewaktu menentang barisan bintang England; rembatan kencang Azman Adnan ketika menentang Perlis pada 1997 dan Brunei pada 1996; jaringan ‘on the run’ Safee Sali ketika Perlawanan Akhir Piala AFF 2010; sepakan gunting Hairuddin Omar ketika mewakili Negeri Sembilan dalam Final Piala Malaysia 2011; serta banyak lagi, pasti menggamit memori.

Semoga satu hari nanti, lebih ramai pemain negara dapat beraksi dalam liga luar, menimba pengalaman serta memperbaiki teknik kawalan bola dan kemahiran, dan menyumbang sehabis baik buat negara tercinta. Boleh juga kongsikan jaringan yang paling anda ingati, kepada kami. Bersama martabatkan jersi serta liga tempatan kita!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print