Nampaknya Malaysia dah jadi lubuk negara lain buang sampah

Sejak Julai 2018, sekurang-kurangnya 148 buah kilang pemprosesan bahan plastik terbuang ditutup dan beberapa suspek telah didakwa. Malaysia sudah jadi tempat buang sampah plastik dunia. Kenapa dah jadi begini?

“Tanya semula kerajaan kamu, tanya pada syarikat pengurusan bahan terbuang, ke mana sebenarnya plastik yang kamu asing-asingkan dulu berada sekarang?” – YB Yeo Bee Yin. Kredit foto: says.com

China dah mula buat pengharaman import sampah plastik ke negara mereka

Martin Borque, pengarah eksekutif Ecology Center di Berkeley, California kata bahawa bahan plastik merupakan bahan yang sukar untuk dikitar semula tanpa menjejaskan alam sekitar sesebuah negara pengitar semula, tak macam kertas, tin dan aluminium. Disebabkan ini, bahan plastik terbuang akan dihantar ke China untuk dikitar semula. Namun sejak Januari 2018, China pula umum pengharaman import bahan plastik terbuang dalam usaha membersihkan alam sekitar mereka.

Bukit Sampah Plastik. Inikah yang kita nak tinggalkan dengan anak-anak kita? Kredit foto: christopherteh.com

Sampah plastik ini bukan setakat datang dari Amerika Syarikat, malah ada sampah plastik terbuang dari Jepun, United Kingdom, Jerman dan Hong Kong. Bekalan sampah plastik yang banyak ni akhirnya dilihat ‘menguntungkan’ orang tengah untuk membuka kilang haram di negara kita. Pengusaha kilang haram ni akan buang atau bakar mana-mana bahan plastik yang sukar untuk diproses sebab lebih murah berbanding wujudkan proses kitar semula yang lebih mesra alam.

Sebenarnya Malaysia sudah ada kilang pengitar semula, seperti C-Square International Trading di Klang, Kuala Lumpur. Menurut CC Cheah, Timbalan Presiden Persatuan Pengilang Plastik Malaysia, kata bahawa industri kitar semula di Malaysia perlu lebih banyak hasil plastik yang dikitar semula untuk diproses. Sebab itulah banyak kilang di Malaysia mengambil jalan mengimport bahan sampah terbuang ke Malaysia.

Sampah plastik akan dihancurkan menjadi serpihan kecil dan ringan untuk dikitar semula. Malangnya tidak semua sampah plastik boleh dibuat macam tu. Yang terlalu tercemar akan dibuang atau dibakar je! Kredit foto: The Hindu

Banyak negara yang hantar sampah tak ikut peraturan

“Penguatkuasaan terhadap kesalahan ini perlu ditambahbaik ”, lapor Greenpeace dalam The Recycling Myth: Malaysia and the Broken Global Recycling System. Siasatan Greenpeace Malaysia berhalaman 25 muka surat ni boleh dibaca secara percuma di sini.

Isu eksport dan import bahan terbuang ni boleh dilihat dalam dua sudut, iaitu dari sudut antarabangsa dan dari sudut dalam negara. Dalam sebuah perjanjian di bawah bidang kuasa United Nations Environment Program (UNEP) pada 1988, negara-negara pengeksport perlu jamin bahan terbuang tu selamat untuk diproses dan kendaliannya tidak akan bahayakan penduduk tempatan.

Nak tunjuk maju sangat tapi ke mana sampah mereka pergi? Ke negara kita juga. Kredit gambar: Eco-business.com

Malangnya, kebanyakan negara yang hantar bahan buangan ke negara kita gagal berbuat demikian. Dahlah kebanyakan negara tu termasuklah dari dunia negara membangun. Ramai penduduk di kawasan pengilang haram ni seperti di Klang dan Kuala Langat menderita akibat pembuangan dan pembakaran sampah plastik terbuka. Dahlah kesan pembakaran sampah plastik tu boleh buat orang sakit.

Penguatkuasaan dalam negara terhadap pengimportan bahan plastik juga dilihat masih banyak kekurangan. Untuk import bahan terbuang ni, seseorang pengilang perlu ada permit dari Jabatan Sisa Pengurusan Pepejal Negara, dengan surat keizinan daripada Jabatan Alam Sekitar. Sebarang tindakan pengimportan haram boleh didakwa di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, dengan hukuman penjara dan denda RM500,000.

Benda ni dah lama sebenarnya. Sejak November 2017, Malaysia dah jadi tempat nombor satu untuk negara lain buang sampah. Kredit gambar: bbc.com

Masalah sampah ni perlu dibendung segera

Sekarang ni, kita tak hanya perlu tumpukan dalam mengawal kadar penggunaan plastik dalam negara. Kita kena bantah tindakan pengimportan haram sampah plastik daripada pihak yang tak bertanggungjawab. Pelabuhan Klang cuma satu tempat. Jika tak dikawal, mungkin tanah lapang dekat rumah korang pun tiba-tiba jadi tempat pembakaran sampah plastik besar-besaran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *