Ramai yang tak tahu sebenarnya Raihan pernah dilawat Ratu Elizabeth di Petaling Jaya

Raihan Ratu Elizabeth
Ramai yang tak tahu sebenarnya Raihan pernah dilawat Ratu Elizabeth di Petaling Jaya

Bila cakap pasal dunia muzik kita, tak ramai dah yang nak kenal artis-artis otai kita. Entah-entah, orang muda sekarang pun tak kenal lagi legend-legend nasyid ni sampai kata Alif Satar pula yang popularkan Raihan dalam lagu ‘Sesungguhnya’. Jadi kami nak imbau kembali perjalanan Raihan ni, biar tak luput nama artis-artis yang harumkan negara di persada dunia.

Raihan Kumpulan
Kumpulan Raihan. Via Mstar

Awal perjalanan dari The Zikr ke Raihan…

Pada zaman 70-an dan 80-an, gelombang kebangkitan Islam menyerap kat hati rakyat. Ramai yang terlibat dengan gerakan Islam, dan antara yang paling up masa tu adalah gerakan Al-Arqam. Dalam Al-Arqam, mereka ni ada jugak kumpulan nasyid yang bermula secara kecil-kecilan. Masa tu takde orang kenal sangat dan hanya dijemput ke majlis ceramah je.

Tapi lama-kelamaan, semakin ramai orang minat. Ketika itu, mereka dah tambah banyak kemudahan termasuklah sistem audio dan studio sendiri. Jualan kaset mereka oleh anggota pemuda Al-Arqam pun semakin meningkat, bersama dengan populariti mereka sebagai sebuah kumpulan nasyid yang berbakat.

Kaset Lama Nadamurni The Zikr
Antara kaset lama nasyid yang masih tersimpan. Via Pictame

Bila dah semakin serius, mereka pakai nama rasmi, dari Putera-Putera Al-Arqam Malaysia menjadi Nadimurni. Selain tu, mereka dah mula pakai kompang dan alatan muzik tradisional untuk mengiringi alunan nasyid. Dari sinilah rezeki mula mencurah-curah hingga mereka berjaya bina sebuah syarikat rakaman sendiri iaitu OVA Production. Artis pertama mereka ialah The Zikr.

Namun begitu, Nadamurni terpaksa dibubarkan kesan dari pengharaman kerajaan ke atas Al-Arqam dan Aurad Muhammadiyah.

Vokalis Nadamurni
Vokalis Nadamurni, dari kiri: Munif, Arwah Ust. Asri dan Yusof Sabri. Via Nadamurni

Artis OVA Production pun terpecahlah menjadi beberapa kumpulan iaitu Rabbani, Raihan dan Hijjaz. Menurut perkongsian ni, Rabbani dianggotai oleh bekas Nadamurni manakala Raihan pula dianggotai sepenuhnya oleh The Zikr dan Hijjaz pula dianggotai oleh barisan Nadamurni dan The Zikr.

The Zikr ni pula ada 8 orang dan dikatakan rajin buat persembahan kat universiti. Jadi atas nasihat pengurusnya, Farihin Abdul Fattah, mereka kurangkan ahli tersebut kepada 5 orang dan menukar namanya jadi Raihan yang bermaksud ‘haruman dari syurga’.

Pernah jumpa Queen Elizabeth, bergurau dengan Prince Charles…

Bukan senang ye nak jumpa Queen Elizabeth II, hanya orang tertentu dan dalam acara tertentu je dapat bertemu walaupun sekejap dengannya. Masa tu Raihan dah hangat kat Malaysia, lepas album pertama mereka bertajuk ‘Puji-pujian’ laris teruk pada 1996. Setahun lepas tu, mereka dijemput untuk wakili Malaysia buat persembahan kat Sidang Kemuncak Komanwel 1997 di Edinburgh, Scotland.

Raihan Pujipujian
Album yang lonjakkan nama mereka. Via Youtube

Tony Fernandes, yang ketika tu belum lagi mengusahakan Air Asia, percaya sangat dengan bakat mereka ni, sampaikan ikut cerita Che Amran (salah sorang anggota Raihan), Tony Fernandes jerit “Ini yang saya mahukan!” bila mereka habis uji bakat. Sebagai seorang eksekutif Warner Music, dia terus cadangkan agar Warner Music ikat kontrak dengan Raihan untuk buat album pertama tadi.

Ketika di Scotland, bukan setakat Queen Elizabeth je jumpa Raihan. Prince Charles pun sempat bergurau dengan mereka dengan cadangkan agar mereka berkolaborasi dengan Spice Girls. Spice Girls ni pun kumpulan penyanyi pop wanita British yang hangat diperkatakan pada waktu tu.

Dunia Islam pun mulai mengenali Raihan, terima kasih pada siaran BBC yang diikuti kebanyakan warga dunia ketika tu.

Raihan Ratu Elizabeth
Kumpulan Raihan terima kunjungan Ratu Elizabeth di studio kat Petaling Jaya. Via HMetro

Sejak tu lah, mereka turut bekerjasama dengan beberapa artis antarabangsa lain seperti Yusuf Islam, Sheila on 7 dan Kris Dayanti. Program konsert jelajah turut diadakan, mula-mula dalam peringkat tempatan je dulu. Lepas tu, barulah Raihan adakan konsert jelajah hampir ke seluruh benua kecuali Antartika. Kejayaan Raihan ni buatkan lebih ramai minat nasyid, dan cetuskan lebih banyak kumpulan nasyid seluruh dunia.

“Selepas kami ke Afrika Selatan, kumpulan bergelar Raihan 2 dan Raihan Girl muncul di sana,”- Che Amran, seperti yang dilapor oleh Malaysian World Times News pada 5 Jun 2019

Raihan Live
Via iVideo

Populariti Raihan pada dekad 90-an ni buatkan ada orang nak buat filem berdasarkan Raihan kat Amerika Syarikat. Korang boleh bayangkan macam trend artis Hollywood lah, asal dah cukup popular terus nak buat dokumentari atau program realiti pasal diri serta keluarga mereka. BBC pada 1999 kata memang ada wujud ura-ura nak buat Raihan the movie pula.

Menjadi jugak filem, jadi bukti hiburan boleh jadi dakwah…

Kalau korang tak tau, nasyid ni biasanya tak pakai alat muzik. Namun berbeza dengan pendekatan yang diambil oleh Raihan, mereka dah gunakan alat muzik, guna melodi pop dan rock hingga melahirkan contoh nasyid kontemporari yang amat digemari ramai ketika tu. Penerbit dan pengurus Raihan, Farihin kata memang mencabar jugak waktu tu nak tarik perhatian orang pada nasyid kontemporari.

Raihan Kompang
Via Hickorycom23

Beberapa lagu dalam album pertama mereka dicipta dan digubah agar dapat tarik hati para masyarakat yang sebelum ni tak kenal Raihan, apatah lagi nak layan nasyid kontemporari. Nak lawan dangdut lagi, nak lawan rock lagi. Memang besar sebenarnya cabaran Raihan waktu tu hingga pengurusnya sendiri pun imbau kenangan awal mereka menapak kat industri muzik Malaysia. Mereka boleh tembusi pasaran jualan album tanpa Youtube dan Spotify masa tu.

Raihan Album
Syukur. Via Great Song

Kongsi Farihin lagi, kejayaan Raihan tak bolehlah nak diukur hanya berdasarkan jualan album je. Antara kejayaan terbesar Raihan bagi Farihin adalah mereka berjaya yakinkan Menteri Besar Kelantan waktu tu, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk benarkan hiburan Islamik serta turut membuka jalan untuk mereka adakan konsert pertama di Kelantan.

“Paling menarik apabila pada 1997, Raihan menjayakan persembahan jelajah seluruh Malaysia. Kami juga mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya membuka hati Menteri Besar Kelantan ketika itu, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat untuk membenarkan hiburan berkonsep Islam… Sebelum itu, beliau melarang sebarang bentuk konsert di Kelantan. Momentum daripada itu, kami diundang buat persembahan di Indonesia dan negara-negara lain.”- Farihin, seperti yang dilaporkan oleh Harian Metro pada 27 Mac 2016

Selain tu, Raihan pun ada filem sendiri jugak ye. Cuma lain sikit dari apa yang dirancangkan, Raihan hanya membintangi filem tu je. Bukan pasal perjalanan Raihan sebagai kumpulan nasyid bertaraf antarabangsa. Korang boleh tonton filem tersebut bertajuk ‘Syukur 21’ kat iflix di sini.

Tetap dianggap antara Muslim berpengaruh dunia…

Raihan pernah tersenarai dalam 500 Muslim berpengaruh di dunia bermula pada 2008 dan kali terakhir dilaporkan masih di dalam tangga tersebut adalah pada tahun 2017. Pengiktirafan tu bukan calang-calang juga ye, sebab ia adalah hasil kajian yang dilakukan oleh Universiti Georgetown di Washington, Amerika Syarikat. Kajian ni turut menempatkan ramai tokoh dari pelbagai bidang.

“Apa yang pasti, semua itu disebabkan impak Raihan sebagai pencetus genre muzik baharu kontemporari Islam yang diterima di seluruh dunia. Dari situ mula tertubuhnya banyak kumpulan nasyid baharu, baik di negara ini mahupun di luar negara… Selain itu, kami satu-satunya artis yang berjaya melengkapkan jelajah ke enam benua di seluruh dunia untuk mengadakan persembahan seperti ke Asia, Eropah, Amerika Utara, Amerika Selatan, Afrika dan Australia,”- Che Amran, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian pada 25 April 2017

Dengan sumbangan Raihan yang bukan hanya menaikkan nama negara, mereka turut memperlihatkan kreativiti dalam usaha berdakwah hingga dikenali dan diiktiraf dunia. Walaupun tahun ni Raihan tak lagi dicalonkan dan termasuk dalam senarai berprestij ni, tak bermakna mereka akan hilang dari hati kita.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on skype
Share on linkedin
Share on pinterest
Share on tumblr
Share on email
Share on print
Scroll to Top