Selain ABAM Bocey, ini lagi ENAM pelawak terkenal yang dah pergi meninggalkan kita

F1

Umum mengetahui bahawa sudah menjadi lumrah dalam hidup ini bahawa setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Baru-baru ini kita semua telah dikejutkan dengan pemergian seorang pelawak terkenal negara iaitu Syed Umar Mokhtar bin Syed Mohd Rezuan ataupun lebih dikenali sebagai Abam Bocey.

Via Giphy

Kalau korang nak tahu, sebenarnya ada ramai lagi barisan para pelawak legenda terkenal tanah air yang telah pergi tinggalkan kita buat selamanya. Kat bawah ni kami senaraikan barisan nama pelawak yang telah meninggal dunia dan pernah menghiburkan kita semua pada suatu ketika dulu…

1. Pak Tam Raja Lawak, kekurangan oksigen dalam badan…

Pada 31 Mac 2019, seorang pelawak veteran yang dikenali sebagai Pak Tam Raja Lawak ataupun nama sebenarnya iaitu Muhammad Nooruulah Ismail yang berusia 61 tahun telah meninggal dunia dipercayai akibat kekurangan oksigen dalam badan dan paru-paru berair. Pak Tam Raja Lawak telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya iaitu di Kampung Permatang Badak, Kuantan, Pahang.

Unnamed
Via frontdesk.com.my

Difahamkan bahawa kesihatan Pak Tam Raja Lawak sememangnya tak stabil semenjak dia keluar daripada Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan sejak dua bulan lalu. Allahyarham Pak Tam Raja Lawak telah meninggalkan seorang balu iaitu Fatimah Apong yang berusia 58 tahun bersama empat orang anak dan lapan orang cucu.

Antara kejayaan yang pernah dikecapi oleh Pak Tam Raja Lawak semasa hidupnya ialah dia telah meraih tempat keempat dalam Raja Lawak musim kedua pada tahun 2008 dan pernah membintangi drama “Chapalrela”.

2. Selepas enam bulan menderita kanser, akhirnya Zaibo meninggalkan kita…

Siapa yang tak kenal dengan pelakon dan pelawak veteran terkenal tanah air iaitu Zaibo ataupun nama sebenarnya Zainal Ariffin Abd. Hamid. Selepas enam bulan menyedari hidupnya menderita akibat kanser esofagus tahap empat, Zaibo telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 14 November 2018 di Rengit, Johor pada usia 62 tahun dalam keadaan suci berwuduk.

Menurut isterinya iaitu Siti Hawa Sawal yang berusia 58 tahun, Allahyarham Zaibo telah minta untuk dimandikan dan sempat untuk mengambil wudhuk. Setelah itu, tiba-tiba Allahyarham Zaibo batuk dan sempat untuk takbir sebanyak tiga kali sebelum rebah.

1zaibo
Via iamlejen.com

Allahyarham Zaibo telah mula aktif dalam bidang seni dan dunia hiburan sejak tahun 1970-an lagi. Sewaktu usia mudanya, iaitu pada era 70-an dan 80-an dia pernah menari dengan gaya seumpama John Travolta. Allahyarham Zaibo mula dikenali dan popular menerusi karakter dalam sitkom Spanar Jaya iaitu pada tahun 1999-2005. Selain tu, dia juga telah menjayakan sitkom terkenal iaitu Under One Roof (1999) dan telah muncul sebagai pelakon undangan dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu (2000).

3. Accapan, mengalami penderitaan kegagalan buah pinggang…

Pelakon dan pelawak terkenal iaitu Accapan ataupun nama sebenarnya Samynathan a/l Rethinam telah meninggal dunia pada 14 September 2018, pada usia 63 tahun di sisi keluarganya yang bertempat di Taman Puchong Utama. Accapan merupakan seorang artis yang sangat popular semenjak tahun 1980-an lagi dan merupakan seorang yang telah dicungkil bakatnya menerusi rancangan terbitan RTM.

Accapan dipercayai telah meninggal dunia akibat mengalami penderitaan kegagalan buah pinggang yang hanya diketahui oleh keluarganya tiga bulan sebelum itu. Accapan telah meninggalkan seorang balu iaitu Yogeswari Subramaniam yang berusia 53 tahun bersama dengan tiga orang anak.

Zieaca010117
Via thestar.com.my

Untuk pengetahuan korang, selain berlakon dan membuat lawak Accapan juga adalah merupakan seorang penyanyi dan dia pernah merakam album Trio Santan Berlada dan Trio Santan Berlada II bersama dengan Ali Mamak dan Khairul Anuar. Album tersebut menampilkan irama seperti dangdut, raggae, rock dan pop. Kebanyakannya diambil daripada lagu Melayu dan ditukarkan liriknya kemudiannya dirakamkan dalam bahasa Tamil.

4. Mr Os, siapa yang boleh lupa juara Maharaja Lawak Mega ni…

Korang mesti kenal dengan Mr Os kan? Mr Os ataupun nama sebenarnya Mohd Yusof bin Abdul Hamid telah dilahirkan pada 15 Februari 1961 di Kuala Kangsar, Perak dan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 8 April 2016 pada usia 55 tahun bertempat di Hospital Selayang, Gombak. . Punca kematian Mr Os adalah dipercayai akibat daripada menghidap kanser paru-paru tahap empat.

Osbon Mlm 2011
Via ms.wikipedia.org

Mr Os memulakan kariernya dalam bidang seni pada tahun 1986 dengan membintangi sebuah filem yang bertajuk Balik Kampung. Pada tahun kemudiaannya, dia telah diberikan kepercayaan untuk memegang watak utama dalam filem Mr Os yang telah diarahkan oleh A.R Badul.

Antara kejayaan-kejayaan yang pernah dikecapi oleh Mr Os adalah dia pernah memenangi Anugerah Pelakon Komedi Terbaik sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1987 dan tahun 1997. Selain itu, Mr Os pernah jadi juara dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega musim pertama bersama-sama dengan rakannya iaitu Abon dan membentuk sebuah kumpulan bernama Osbon.

5. Yus Jambu, meninggal dunia selepas membuat persembahan…

Pemergian Yussry bin Edoo ataupun lebih dikenali sebagai Yus Jambu yang merupakan anak kelahiran negeri Perlis telah mengejutkan seluruh peminat lawak tanah air hal ini kerana dia sempat membuat persembahan di Dataran Merdeka pada 30 November 2015 sebelum rakannya iaitu Tauke mengumumkan pemergiannya. Yus Jambu telah meninggal dunia pada usia 39 tahun iaitu pada 30 November 2015 di Hospital Selayang akibat daripada sesak nafas.

Pix Gal0
Via buzerra.blogspot.com

Kerjaya seni Yus Jambu bermula apabila dia telah menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan pada tahun 2001 anjuran sebuah stesen televisyen tempatan namun tak berjaya. Dengan semangat yang tak pernah mudah mengalah, pada tahun 2007, Yus Jambu telah mengikuti program Raja Lawak Astro musim pertama dan telah merangkul anugerah juara program tersebut pada 11 Mac 2007.

Allahyarham Yus Jambu juga banyak membintangi filem-filem tempatan tanah air antaranya ialah filem Hantu Bonceng, Apa Celop Toqq, KL Zombi dan banyak lagi.

6. Harun Salim Bachik, hanya mahu memakan makanan isterinya sahaja…

Nama Harun Salim Bachik ataupun nama sebenarnya Haron Aminar Rashid bin Salim merupakan sebuah nama yang tak asing lagi bagi kita semua. Dia adalah merupakan anak lelaki kepada seorang pelakon pada zaman 50-an iaitu Allahyarham Salim Bachik.

Harun Salim Bachik telah meninggal dunia pada usia 55 tahun iaitu pada 8 Mac 2015 selepas rebah di tandas stesen minyak kawasan rehat dan rawat (R&R) Gunung Semanggol di Bukit Merah, Perak akibat sesak nafas. Isteri Allahyarham ada menyatakan bahawa Allahyarham Harun Salim Bachik ada melakukan permintaan terakhir sebelum dia meninggal dunia iaitu dia hanya mahu makan masakan isterinya sahaja.

61425808631 295x200
Via astroawani.com

Harun Salim Bachik telah memulakan perjalanan karier seninya dengan menjadi pelakon dalam sebuah drama bersiri iaitu Rumah Kedai yang ditayangkan di TV3 pada awal tahun 90-an. Pada tahun 2001, Allahyarham Harun Salim Bachik telah berjaya memenangi gelaran anugerah Pelakon TV Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2001 menerusi lakonannya dalam drama Hangatnya Salju Dinginnya Bara.

Allahyarham Harun Salim Bachik juga pernah merangkul anugerah naib juara dalam pertandingan Maharaja Lawak Mega musim pertama bersama dengan sahabatnya iaitu Dato’ Afdlin Shauki yang membentuk sebuah kumpulan bernama Boboi.

Jutaan terima kasih atas segala lawak yang pernah menghiburkan kami…

Pasti ada di antara korang yang merindui aksi dan lawak mereka semua ni kan? Semoga mereka semua ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Jutaan terima kasih juga kami ucapkan kepada mereka semua kerana pernah mewarnai kehidupan kita semua dengan lawak yang tak kering gusi. Biar lawak-lawak mereka jadi kenangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *