Baru-baru ni Nabil dikecam sebab baling tanjak, ini jenis-jenis tanjak di Malaysia

61563026402 Nabil Mls Mohon Maaf

Baru-baru ni, tindakan Nabila Ahmad mencampak tanjak yang dipakainya ke lantai sewaktu program Muzikal Lawak Superstar (MLS) mengundang kecaman netizen kat media sosial. Kebanyakan orang sifatkan perbuatan Nabil tu sebagai biadab sebab tak hormati tataetika pemakaian busana tradisional Melayu yang tinggi nilainya. Lepas kena kecam, Nabil tampil mengakui keterlanjurannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Nabil dengan tanjaknya. Via Mstar

“Assalamualaikum, saya Nabil Ahmad. Saya nak buat permohonan maaf secara terbuka di atas keterlanjuran saya malam tadi di atas pentas Muzikal Lawak Superstar. Tidak menjadi niat saya untuk memperlekehkan bangsa dan adat Melayu kita terutama sekali tanjak yang saya pakai. Saya telah ditegur secara baik oleh Tok Cindai dan seluruh ahli keluarga pengabdi budaya. Saya ingin memohon maaf dan ampun kepada semua yang terguris hati dan perasaan di atas keterlanjuran saya,” – Nabil, seperti yang dilaporkan oleh Mstar

Menarik sebenarnya apabila kita borak pasal tanjak dan tengkolok ni, sebab dah ramai yang tak tahu nama-namanya. Tak percaya? Cuba berikan kami tiga nama tanjak…

1. Tanjak Cogan Daun Kopi, tanjak yang dipakai Sultan Pahang

Tanjak ni dipakai oleh Sultan Pahang. Warna rasminya adalah kuning muda, tapi Sultan Pahang selalu pakai warna-warna latar yang gelap. Bentuk tanjak Pahang mudah dikenali daripada bentuknya yang segi tiga dan diikat secara menegak kat atas dahi dan membiarkan bahagian kepala yang lain terdedah. Selain tu reka bentuk bunga atau daun itu terletak kat sebelah depan tanjak tersebut.

Via Dirajapahang

2. Tanjak Destar Sarang Kerengga, digunakan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan

Tanjak Destar Sarang Kerengga ni agak berbeza dengan bentuk tanjak yang lain. Tanjak ni unik dan amat menarik, ia gunakan lima lipatan yang disebut takuk dan daun lambaian kasihnya tergantung seperti sarang kerengga di sebelah kanan pemakainya. Destar jenis ini pernah dipakai dalam majlis adat istiadat diraja oleh al-Marhum Tunku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan (1898-1933).

Via Saudagar Tekua

3. Destar Laksamana Kedah, digunakan oleh pahlawan kat Kedah

Destar berwarna hitam ni menggunakan kain songket dengan ikatan asas susun sirih. Ia adalah contoh ikatan Negeri Kedah Darul Aman yang dipakai oleh laksamana. Bentuknya yang unik segagah namanya adalah pakaian hulu kerabat diraja Kedah pada masa dulu. Kalau tanya kami pasal tanjak atau tengkolok, kami tak tahu pun sebenarnya ada yang khas untuk pahlawan. Kami teringin nak satu!

Via Saudagar Tekua

4. Tanjak Lang Patah Sayap, warna merah mempunyai banyak makna

Destra khas ni adalah pakaian hulu rasmi Panglima Diraja Selangor. Ia diperbuat daripada songket berwarna merah, iaitu warna yang melambangkan kuasa, kegagahan dan kepahlawanan panglima Melayu. Reka bentuk destar ni walaupun nampak ringkas, namun kedudukan pucuk destar yang dipanggil pucuk sirih diletakkan disebelah kanan manakala daun tajuknya pula disebelah kiri. Ini menunjukkan pemakainya adalah daripada kerabat Diraja.

Via Saudagar Tekua

5. Kelantan, tanjak yang boleh digunakan oleh orang ramai

Kelantan Darul Naim adalah sebuah negeri yang kaya dengan budaya termasuk seni lipatan destar yang dinamakan Setangan Isih dan banyak dipakai oleh rakyat biasa dan juga dalam persembahan Mak Yong. Iaitu sejenis persembahan tradisional merangkum penceritaan, nyanyian dan tarian. Dalam banyak-banyak tanjak yang kami kongsikan, tanjak yang ni je yang boleh digunakan oleh orang kebanyakan.

Via Saudagar Tekua

6. Sabah pun ada tanjak, benda ni mesti ramai tak tahukan?

Negeri Sabah yang terkenal dengan pelbagai kumpulan etnik pribumi dengan seni budaya yang unik, antaranya seni ikatan kepala yang diguna pakai oleh suku kaum kadazan di Penampang daripada kain tenunan. Ikat kepala ini dikenali panggilan Siga. Lebih kurang macam tanjak yang ada di Semenanjung Malaysia.

Via Saudagar Tekua

Pemakaian tanjak dan tengkolok ni memang patut dikekalkan

Sebenarnya ada banyak lagi jenis-jenis tanjak yang ada kat Malaysia, cuma kami tak dapat cover semuanya. Kami rasa stylo jugak kalau pakai tanjak ni, tapi kalau saja-saja pakai untuk jalan pergi KLCC mesti korang akan jadi tumpuan ramai. Sayanglah kalau budaya tanjak ni hilang, ia sepatutnya dikekalkan dan masih lagi diamalkan dalam majlis-majlis tertentu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *