Budaya Masyarakat India yang sepatutnya diketahui oleh semua rakyat Malaysia

Setiap minggu kami akan bawakan korang artikel tentang budaya yang ada kat Malaysia. Benda ni penting, sebabnya – untuk hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum, kita kena ketahui budaya masyarakat lain. Takdelah kita jadi katak yang duduk kat bawah tempurung, sebab katak yang duduk kat bawah tempurung bukan setakat tak dapat tengok dunia, tapi dia juga lambat laun akan mati. Jadi hari ni kami akan bawakan serba sedikit tentang masyarakat India. Ada beberapa budaya diorang yang sebenarnya menarik.

Masyarakat India ni merupakan etnik ketiga terbesar kat Malaysia yang telah menyumbang ke arah pembentukan  masyarakat majmuk kat negara kita.

1. Perkahwinan masyarakat India, ada tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India

Thirumanam bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Ada tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu vaitikat thirumanam, tamil thirumanam, dan diya thirumanam. Perkahwinan ni akan mengikut suku yang ada dalam masyarakat India. Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan di bahagian atasnya, menuang air susu kedalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki kedua ibu bapa (basuh kaki ibu bapa, beri hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang).

Selamat pengantin baru ye bang. Via Pengajian Malaysia

Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ni menandakan pasangan ni secara rasmi telah menjadi suami isteri

2. Kematian umpama tidur sementara bagi masyarakat India

Bagi masyarakat India, diorang mempercayai konsep kelahiran semula, iaitu kematian adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun selepas tidur. Sarjana India juga menyatakan kematian adalah perpisahan roh dan jasad, walaupun jasad akan hancur, ia akan kembali ke alam barzakh. Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau di kebumikan. Untuk melaksanakan upacara ini pelbagai adat ditentukan.

3. Upacara menanggalkan thaali dan upacara vaikkarasi dalam upacara kematian

Thaali vaangutal adalah upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali iaitu rantai suci perkahwinan hanya boleh ditanggalkan oleh isteri setelah suaminya meninggal dunia.

Via IDN

Setelah dimandi dan dihias cantik, mayat akan dimasukkan kat dalam keranda. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Saudara mara akan beri penghormatan yang terakhir kepada si mati dan mendoakan agar roh si mati akan tenang. Pada masa yang sama, ucapan tenna adudaiya shinaneepottri disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara tersebut telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli keluarga akan kelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan.

4. Selain daripada dua upacara kematian tu, diorang juga ada upacara kollic catti

Kollic catti ni bermaksud periuk tanah liat yang mengandungi api. Periuk tu diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati,  orang yang bertanggungjawab periuk tanah liat tu adalah anak atau bapa si mati.

Via Youtube

Anak sulung akan lakukan tradisi ni untuk bapa yang meninggal dunia dan anak bongsu jika ibu yang meninggal dunia. Diorang akan bawa kollic catti mengiringi mayat. Sebelum tu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur rambut. Ini menunjukkan bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti rambut yang baru tumbuh.

5. Deepavali dan beberapa lagi perayaan lain masyarakat India

Sebenarnya masih ada banyak lagi perayaan yang popular dalam masyarakat India. Selain daripada merayakan benda yang kami senaraikan ni, diorang juga merayakan perayaan seperti Deepavali, Thaipusam, dan Ponggal setiap tahun. Bagi perayaan Deepavali, penganut Hindu akan mandi minyak yang melambangkan penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil.

Via Giphy

Bagi Thaipusam pula, ia merupakan perayaan untuk hapuskan dosa-dosa yang telah dilakukan di atas muka bumi. Tapi tak semua penganut Hindu melakukan Nazar. Nazar ni bawa maksud memohon sesuatu hajat kepada dewa Murugan dan jika permohonan dikabulkan, maka satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran.

Via India Malaysia

Bagi Ponggal pulak, perayaan ni diraikan secara beramai-ramai, dengan memasak menggunakan periuk yang kebanyakannya diperbuat daripada tanah liat, bertujuan untuk menandakan masa mereka menuai hasil tanaman. Ia membawa mesej muhibbah dan persaudaraan kepada mereka yang dah lama terpisah.

Masyarakat India adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia

Kami saje je kata masyarakat India adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia, sebabnya masih ada rakyat Malaysia di luar sana yang selalu kata masyarakat India adalah pendatang kat negara ni. Memang betul ada sesetengah diorang berhijrah dari negara asal ke Tanah Melayu pada zaman penjajahan dahulu, tapi setelah beberapa generasi berada di Malaysia, diorang adalah sebahagian daripada kita. Sebab inilah Malaysia unik, kita terdiri daripada masyarakat yang pelbagai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *