Fesyen Baju Melayu 2019 yang buat korang terbeliak biji mata

Sedar tak sedar, Ramadan sudah hampir melabuhkan tirainya. Seperti tahun-tahun yang lepas, kita akan menyaksikan beberapa fesyen baju Melayu yang baharu. Bukanlah kita tak suka pada inovasi dan kreativiti pereka fesyen, tapi anda pernah jumpa orang India ubah fesyen Saree mereka? Atau anda pernah jumpa baju cheongsam diikat dengan kain di belakang ala-ala Superman?

Haaa, tak pernah jumpa kan?

Tapi uniknya tahun ini ada baju melayu Superman weh! Kali ini kami akan mengulas serba sedikit tentang fesyen-fesyen baru baju Melayu 2019.

1. Baju Melayu Superman, ada fungsi 2 dalam 1

Pelakon Erry Putra menggayakan baju melayu yang unik ini-via Malay Mail

Tapi nanti dulu! Tak baik kecam awal-awal. Sebenarnya ada sebab kenapa baju ini disertakan sekali dengan selendang Superman ini. Selendang ini sebenarnya boleh ditanggalkan, dan anda boleh gunakan untuk dijadikan sejadah. Haa, kan mudah? Tak perlu susah-susah nak lipat untuk dibawa ke masjid, butangkan saja pada pin di bahu. Ewah!

Fungsi utama Selendang Superman pada baju Melayu Erry Putra – via Astro Gempak

Tambah pula demam Avengers End Game tak surut lagi, boleh juga anda gayakan fesyen ala-ala adiwira ini. Kalau bukan Superman, boleh berlagak macam Thanos, ye tak?

2. Baju Melayu Pak Nil, bengkung sedondon hanya aksesori

Selain Erry Putra, pengacara televisyen terknal, Dato Aznil Haji Nawawi atau lebih dikenali dengan nama Pak Nil juga turut menggayakan fesyen baju melayu terbaru…

Baju Melayu yang digayakan Pak Nil – via RotiKaya

Nampak okay juga fesyen ini, cuma samping alah-alah bengkung sedondon itu saja yang macam tak sesuai. Sebenarnya, menurut Pak Nil, baju ini diinspirasikan oleh penyanyi kegemarannya iaitu Sudirman. Katanya lagi, gaya ini juga nak mudahkan pemakaian sampin supaya nampak lebih kemas. Jangan risau, kalau anda beli, sampin ala-ala bengkung tersebut tak dijahit sekali dengan baju melayu. Anda masih boleh pakai sampin biasa kalau tak berkenan dengan sampin yang dipakejkan sekali. Haaa gitu~~

Baju Raya Sudirman – via sudirman-arshad.blogspot.com

Sebenarnya fesyen ni dah lama… cuma zaman dulu tak ada media sosial tempat netizen mengecam. Kedua-dua fesyen di atas sebenarnya masih boleh diterima sebab kita boleh tanggalkan selendang sejadah dan sampin bengkung tersebut. Cuma fesyen seterusnya benar-benar mencuit hati kami…

3. Baju Melayu paling aneh tahun ni, pening kepala tengok!

Nampaknya fesyen ini unisex, laki perempuan dua-dua boleh pakai – Via dhia.com.my

Fesyen ini juga tak kurang mendapat perhatian di laman Twitter. Telah banyak fesyen unik dan aneh dikeluarkan pada tahun-tahun lepas dan tahun ini. Tapi kami rasa yang inilah yang paling aneh. Kalau ada pertandingan fesyen baju melayu paling pelik, tentulah fesyen ini yang menang!

Mengapa kita mengecam fesyen baju Melayu yang pelik-pelik?

Seperti juga makanan tradisi yang dicampur dengan cheese (contohnya Keropok Lekor Cheese), mengubah suai pakaian tradisi seperti baju Melayu seolah-olah mencemari nilai tradisi yang dibawa. Ianya diibaratkan seperti pencemaran alam, bezanya yang tercemar di sini adalah tradisi kita.

Kalau anda nak tahu, baju melayu cekak musang dan teluk belanga mempunyai falsafahnya tersendiri. Baju melayu yang dipakai sejak 700 tahun lalu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka direka dengan tujuan untuk menampilkan orang Melayu sebagai bangsa yang mempunyai jati diri.

Untuk baju Melayu Cekak Musang, kami kongsikan tweet di bawah dari laman Twitter

Secara ringkasnya, Baju Melayu Cekak Musang mempunyai

  • 5 butang yang melambangkan 5 rukun Islam. 2 butang di atas merujuk kepada mengucap dua kalimah syahadah dan menunaikan solat. Selebihnya ialah berpuasa di bulan Ramadan, membayar zakat dan menunaikan Haji.
  • 3 saku/poket: Iman, Islam dan Ihsan dalam kehidupan seharian kita.
Baju Melayu Teluk Belanga yang digayakan oleh pelakon Syafiq Kyle – via ZALORA

Bagi Baju Melayu Teluk Belanga pula, pemakaian satu butang melambangkan akidah Melayu Muslim yang percaya pada  Tuhan Yang Maha Esa.

Pemakaian baju melayu juga tidak lengkap tanpa sampin. Sampin juga mempunyai cara pakai yang tersendiri menurut adat Melayu seperti mana yang disebutkan dalam satu ungkapan klasik ini:

“adat memakai sampin
kok sudah beranak bini
atau orang yang patut-patut
kain sampin bawah lutut
sama setentang paras betis
ikat bergulung lurus lurus
jika ikat atas lutut
itu tandanya nak cari lagi
harus tahu keadaan ini”

“kok anak muda muda
kain labuh di atas lutut
bagai dubalang masuk gelanggang
bagai ayam mencari lawan.”

Sumber

Jadi anda sudah faham kenapa pemakaian baju melayu sangatlah istimewa di sisi adat Melayu. Oleh itu, diharap pereka fesyen dapat menitik beratkan falsafah pemakaian ini, bukan untuk tampak maskulin saja tapi ia adalah tradisi yang perlu dipelihara.

Selamat Bergaya di Hari Raya!

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *