Lima kuih raya legenda yang semakin pupus ditelan zaman

Menjelang hari raya, pastilah akan ada pelbagai kuih raya yang akan dihidangkan. Nampaknya, setiap tahun ada je kuih raya baru yang muncul, disebabkan kreativiti dan budaya moden. Benda ni menyebabkan beberapa kuih warisan bangsa semakin ditelan zaman. Kuih-kuih yang kami senaraikan ni memang dulunya jadi kuih yang wajib setiap kali hari raya datang.

Bagi generasi budak-budak baru nak up (BBNU) korang kena tahu kuih raya ni. Bukan semata-mata sebab ia merupakan kuih legend, tapi rasanya jugak sedap!

1. Putu Kacang, bukan setakat diminati masyarakat Melayu, tetapi juga masyarakat Cina

Kuih putu kacang biasanya menggunakan kacang hijau sebagai bahan asas. Ia bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat Cina, ia juga dibuat oleh masyarakat Melayu. Ia selalunya dihidangkan dalam majlis keramaian atau perayaan besar masyarakat Malaysia. Cara pembuatannya agak unik pada ketika dahulu kerana tidak perkakasan yang moden dan lengkap.

Untuk membuat kuih putu kacang, kacang hijau yang digunakan sebagai bahan utama akan ditumbuk menggunakan penumbuk kayu yang dikenali sebagai lesung kaki. Itu kaedah tradisional bagi menghancurkan kacang tersebut. Bagi kaedah moden, anda boleh menggunakan mesin pengisar untuk menghancurkan kacang.

Sedapnya…Via Gempak

Kaedah tradisional tersebut makin ditelan zaman dan alatan tersebut juga sukar ditemui sekarang kerana jarang sekali digunakan. Hanya generasi terdahulu sahaja yang masih menggunakannya sebagai alatan untuk memasak. Dalam penyediaan kuih ini juga, kacang hijau yang dikisar tidak menghasilkan rasa yang lebih enak dan akan kelihatan lebih kering berbanding penyediaan dengan menumbuk menggunakan lesung.

2. Biskut dam, nampak sekali macam tempat main dam (dah namanya kuih dam)

Sekali nampak, macam korang boleh bermain dam dan catur kat biskut ni kerana bentuknya. Biskut dam ni jika dibuat dengan kaedah yang betul dan mengikut cara penyediaan yang tepat, ia akan menjadi sangat ranggup dan enak. Kalau korang inginkan biskut mudah dibentuk dan ranggup, korang perlu masukkan doh bancuhan biskut ni ke dalam peti sejuk selama beberapa minit.

Jom main dam? Via Gempak

Ia menjadi sedikit rumit kerana penyediaannya perlu mengasingkan dua bancuhan doh yang berbeza iaitu doh vanilla dan coklat. Ia bagi menghasilkan dua warna yang berlainan suapaya menjadi seperti papan dam. Kepingannya agak besar dan pastikan ketebalannya juga bersesuaian bagi mengelakkan biskut menjadi terlalu tebal.

3. Kuih karas, kalau sekali pandang nampak macam bihun, tapi ranggup dan sedap

Kuih karas ini biasanya terkenal di negeri utara Malaysia terutama di Kedah. Ia selalu dihidangkan ketika musim perayaan Aidilfitri dan sentiasa dicari-cari oleh tetamu yang berkunjung ketika majlis rumah terbuka. Teksturnya yang rapuh dan ranggup membuatkan ianya juga digemari oleh kanak-kanak.

Via Gempak

Kuih ni merupakan kuih tradisional yang dihasilkan menggunakan tepung beras dan bentuk yang terhasil adalah jaringan halus seperti bihun tetapi sangat rangup dan manis kerana digoreng dalam minyak yang banyak. Acuan kuih karas ini khas untuk menyediakan kuih ini sahaja dan digorengkan sehingga warna keemasan lalu diangkat dan dilipat menjadi bentuk seperti kipas.

4. Kuih Suji, kuih yang buat kita teringat zaman kanak-kanak

Kuih suji ni merupakan antara kuih tradisional yang sering dihidangkan ketika musim perayaa. Kuih suji sangat lembut dan rapuh mudah cair dimulut membuatkan ia sangat diminati oleh kanak-kanak.

Via Gempak

Terigat zaman kanak-kanak dahulu, pergi je beraya rumah saudara mara, mesti ada je kuih suji terhidang atas meja. Cuma sekarang ini orang jarang dah nak buat. Jadi, kalau anda tetiba teringat zaman-zaman beraya dulu kala, bolehlah anda mencuba sendiri untuk dihidangkan kepada tetamu yang datang berkunjung ketika beraya.

5. Batang buruk, kuih yang tak perlu diperkenalkan lagi

Kuih ni tak perlu diperkenalkan lagi, memang hampir semua rakyat Malaysia yang gemarkan kuih akan tahu. Nama yang unik dan rasa yang menarik membuatkan ia juga antara kuih raya tradisional yang popular. Warnanya yang putih dan ditambah pula dengan serbuknya yang manis menjadikan rasanya sebati dan enak sekali.

Via Gempak

Pastikan bahan yang digunakan dan cara penyediaan adalah betul dan tepat, ia bagi memastikan kuih batang buruk dapat dihasilkan dengan jayanya dan mengekalkan rasanya yang rapuh dan serbuknya sebati bersama kulitnya.

Ada usaha untuk bantu kekalkan kuih yang semakin ditelan zaman ni

Ada sebuah syarikat yang bernama FriedChillies Media Sdn. Bhd bimbang kuih-muih tradisi terus pupus ditelan zaman telah mendorong syarikat tu cari inisiatif bagi mengekalkan makanan tradisional tersebut selain meningkatkan usaha untuk memastikan ia tidak dilupakan oleh generasi muda.

Via Utusan

FriedChillies dengan kerjasama Yayasan Hasa­nah (Hasanah), sebuah yayasan milik Khazanah Nasional telah mewujudkan Projek Kuih Warisan Ihsan Hari Depan (KWIH) untuk ‘memelihara dan memulihara’ resipi warisan merangkumi petua-petua lama yang diamalkan orang dulu-dulu ketika membuat kuih untuk didedahkan kepada generasi akan datang.

“Kami tidak mahu kuih-muih tradisional kita yang sangat sedap semakin hari semakin hilang dibawa arus kemodenan. Jadi, de­ngan adanya projek KWIH ini, kami harap generasi muda akan tahu kuih-muih tradisi nenek moyang mereka dan tahu bagaimana cara untuk memasaknya. Sebolehnya, kami akan me­ngekalkan kesempurnaan resipi asli dan petua kuih tradisi setiap negeri melainkan ada bahan-bahan yang digunakan sukar dicari lagi dan perlu diganti dengan bahan baharu yang masih mampu mengekalkan kesedapan kuih tersebut,” – Wakil FriedChillies, seperti yang dilaporkan oleh Utusan

FriedChillies bekerjasama de­ngan Hasanah membuat kajian dan mencari penggiat-penggiat kuih tanahair, memelihara resipi kuih tradisi, pemetaan makanan dan penghasilan video dan buku kuih tradisi menerusi dana di bawah program seni warisan dan budaya Hasanah.

Kuih-kuih klasik ni adalah warisan bangsa, dan perlu dikekalkan

Seerat apa pun kemodenan memeluk kita, paling penting kita kena pastikan makanan tradisional tidak dilupakan dan pupus ditelan zaman. Raya kali ni, kalau korang takde idea nak buat apa, boleh cuba kuih-kuih yang kami senaraikan ni. Kalau korang dah buat kuih-kuih ni, jangan lupa panggil kami untuk beraya ye?

Resepi penuh kuih tradisional yang kami sebutkan boleh didapati di website Butterkicap.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *