Umum mengetahui bahawa Malaysia terkenal dengan keindahan gunung-gunung yang terdapat di dalamnya. Malah, gunung tertinggi di Asia Tenggara juga terletak di negara Malaysia iaitu Gunung Kinabalu. Selain itu, Gunung Kinabalu juga adalah merupakan gunung ke-20 yang tertinggi di Asia. Tapi, korang tahu tak ada beberapa kisah misteri yang berkaitan dengan gunung tersebut yang ramai tak tahu? Kali ini kami akan kongsikan kepada korang tentang lima gunung dengan kisah misteri yang terdapat di Malaysia.
1. Gunung Berembun, gunung yang dipercayai mempunyai misteri bunian
Gunung Berembun merupakan gunung yang terletak di Negeri Sembilan dan mempunyai ketinggian setinggi 2,078 meter. Disebabkan flora dan fauna yang cantik, gunung ini sering menjadi tumpuan para pendaki dan juga para pelancong dari dalam dalam luar negara.
Kisah misteri Gunung Berembun dikaitkan dengan misteri kehilangan seorang pelancong yang bernama Nora Anne yang datang bercuti di kawasan tersebut bersama keluarganya. Selepas tu, dia telah hilang untuk beberapa hari dan hanya pada hari kesepuluh barulah Nora Anne ditemui. Malangnya, dia telah ditemui dalam keadaan meninggal dunia di kawasan hutan Gunung Berembun. Apa yang pelik dan misteri, bagaimana anak gadis yang pada waktu itu sedang tidur boleh berada sejauh 2 kilometer dari kawasan resortnya?
Ada segelintir individu yang mempercayai bahawa kejadian tersebut berlaku disebabkan Nora Anne adalah seorang kanak-kanak istimewa dan berkemungkinan dia sendiri yang keluar daripada rumah dan pergi merayau-rayau di dalam hutan sehingga tersesat.
Namun begitu, ada juga (mitos) yang kata golongan bunian di sekeliling kawasan gunung tu kerana semasa mayat Nora Anne ditemui, posisi Nora Anne adalah sama seperti ketika dia sedang tidur di dalam resort yang mana seakan-akan seperti ada sebuah kuasa yang telah mengangkatnya dan dialihkan jauh ke dalam hutan. Misteri bukan? Selain itu, masyarakat tempatan juga mempercayai bahawa Gunung Berembun mempunyai penunggunya yang tersendiri iaitu dari golongan bunian. Namun, sehingga kini kisah Nora Anne masih lagi kekal misteri.
2. Gunung Santubong, gunung yang dikatakan terbentuk akibat pertelingkahan dua buah kampung
Gunung Santubong merupakan sebuah gunung yang terkenal dan terletak di Sarawak. Berketinggian setinggi 810 meter dan terletak 35KM dari utara bandar Kuching. Apa yang menarik ialah pada tahun ke-14 Masihi, kawasan gunung ini merupakan pusat pentadbiran dan perdagangan negeri Sarawak kerana lokasinya yang sangat strategik dengan itu tidak hairanlah jika kawasan ini terdapat banyak tinggalan artifak yang membuktikan penyebaran islam dan hindu di negeri Sarawak.
Kisah misterinya melibatkan kisah Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang dipercayai turun dari kayangan suatu ketika dahulu. Dipercayai bahawa mereka telah turun ke bumi semata-mata untuk menyelesaikan pertelingkahan yang terjadi antara dua buah kampung iaitu Kampung Pasir Kuning yang mana merupakan tempat Puteri Santubong turun dan Kampung Pasir Putih merupakan tempat Puteri Sejinjang telah turun.
Dengan kebijaksanaan mereka, dua puteri ini berjaya untuk meleraikan persengketaan di antara dua kampung ini dan mereka kemudiannya telah bersumpah jika kedua-dua kampung ini bersengketa semula maka mereka akan menjadi gunung. Malangnya, tidak beberapa lama kemudian selepas itu, kampung tersebut telah bergaduh semula dan sumpah pun telah dilanggar seterusnya kedua-dua puteri itu tadi telah menjadi dua buah gunung iaitu Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang.
Sejak daripada hari tu, mulalah kisah misteri menyelebungi Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang yang mengatakan bahawa terdapat kota ghaib yang terletak di sana dan hanya orang yang mempunyai keistimewaan sahaja yang boleh melihat kota bercahaya seperti kristal dan dihuni oleh para bunian dan jin, yang mana mereka berada di sana untuk menjaga kedua-dua gunung tersebut.
3. Gunung Nuang, dipercayai jadi tempat kematian seorang ibu yang mengandung
Gunung Nuang terletak di atas sempadan negeri Selangor dan Pahang yang mana ianya berada di titik pertemuan di antara tiga negeri iaitu Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan. Gunung ini menjadi sasaran pendaki kerana ianya adalah merupakan gunung tertinggi yang ada di Selangor.
Kisahnya bermula dengan beberapa kemalangan dan insiden orang hilang dilaporkan telah berlaku di gunung tersebut. Untuk pengetahuan korang, di gunung ini juga ada tumbuhan buluh terbesar yang ada di negeri Selangor. Dikatakan pada tahun 1995, terdapat seorang wanita dan bayinya yang telah meningga dunia di sini. Mengikut kepada kisah rakyat, wanita ini telah dihalau oleh keluarganya semasa dia didapati mengandung anak kekasihnya dan dia kemudian dikatakan telah lari ke Gunung Nuang dan melahirkan bayi tersebut di sana.
Akibat daripada telah kehilangan banyak darah, dia telah meninggal bersama bayinya. Mayatnya telah ditemui oleh masyarakat orang asli dan ditanam mengikut cara pengebumian mereka.
Sehingga hari ini, masih ada pendaki yang mengatakan pernah melihat bayangan wanita bersama bayi yang berlegar-legar di kawasan gunung tersebut. Mengikut pengalaman para pendaki, terdapat banyak kejadian pelik yang berlaku, termasuklah ada yang seperti dirasuk, histeria dan yang paling teruk ada yang hilang yang akhirnya membawa maut akibat terjatuh di gaung. Selain itu, ada kisah yang menceritakan bahawa mereka telah diganggu dengan bunyi loceng sehingga pendaki hilang tumpuan dan hampir jatuh ke dalam gaung.
4. Gunung Stong, mempunyai tumbuhan yang dikatakan hanya mengeluarkan baunya setiap tujuh tahun sekali
Gunung Stong merupakan gunung yang terletak di daerah Dabong, Kelantan. Ia mempunyai ketinggian 1,422 meter. Gunung Stong ini terletak di dalam sebuah hutan simpan bersama-sama dengan air terjun Jelawang di salah satu lembah yang dikelilingi oleh empat gunung iaitu Gunung Basor, Gunung Anak Noring, Gunung Chamat dan Gunung Setong.
Kalau korang nak tahu, Gunung Stong juga merupakan gunung yang amat popular untuk dijadikan sebagai tempat pendakian. Dikatakan bahawa gunung ini mempunyai penunggu yang mana menurut para pendaki ada di antara mereka yang pernah diganggu oleh suatu kelibat seolah-olah seekor binatang yang berbulu lebat. Ada juga yang pernah terserempak dengan lembaga yang kelihatan sebagai pemuda yang beserban serta menggunakan pakaian berwarna putih.
Mereka ni dipercayai akan memunculkan diri apabila para pendaki berada dalam kesusahan dan apa yang lebih misteri, ada pendaki yang telah diganggu sehingga dirasuk di kawasan gunung tersebut. Menurut cerita daripada penduduk tempatan, di kawasan pergunungan tu ada bunga dari sebuah pokok yang hanya menghasilkan bau setiap tujuh tahun dan makhluk yang dikatakan sebagai penunggu di kawasan gunung itu tadi dipercayai adalah penjaga kepada pokok tersebut.
5. Gunung Kinabalu, gunung yang dikaitkan dengan misteri naga Tambuakar dan lelaki yang bernama Gunting Lagadan
Gunung Kinabalu merupakan gunung yang terletak di Sabah dan mempunyai ketinggian 4,095 meter dari aras laut, sekali gus menjadikan Gunung Kinabalu sebagai gunung yang tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara.
Terdapat beberapa kisah misteri berkaitan dengan Gunung Kinabalu yang melibatkan adat kepercayaan masyarakat. Kawasan gunung ini banyak didiami oleh masyarakat Kadazan Dusun yang menyifatkan diri mereka sebagai penjaga serta pelindung kepada Gunung Kinabalu. Mereka percaya bahawa tanah di sekitar hutan, air, dan Gunung Kinabalu merupakan tanah suci yang perlu dipelihara dan mereka juga mempercayai roh-roh nenek moyang mereka yang telah mati kini berada dan berehat di sekitar Gunung Kinabalu.
Kisah misteri penunggu Gunung Kinabalu telah dikaitkan dengan naga Tambuakar dan Gunting Lagadan. Mengikut kisah legenda masyarakat Kadazan Dusun, Tambuakar adalah seekor raksasa sungai yang besar berwarna hitam, lehernya panjang, mempunyai kaki yang menyerupai sirip, dan ada yang menyamakan Tambuakar ini seperti seekor ular besar yang menyerupai naga. Seterusnya, penunggu yang bernama Gunting Lagadan pula, penduduk tempatan mempercayai bahawa dia adalah manusia pertama yang telah berjaya mendaki Gunung Kinabalu pada 7 Mac 1851.
Pendakian ke Gunung ini mempunyai pantang larang yang perlu dipatuhi, di antaranya ialah para pendaki harus sentiasa menjaga perkataan, tidak melanggar adat resam seperti meludah, mengotorkan kawasan gunung dan membuat kacau di sekeliling gawasan gunung tersebut.
Sebaiknya korang kaji selidik dahulu sesuatu tempat sebelum pergi berkunjung
Bagi korang yang sangat meminati aktiviti pendakian, sebaiknya korang mengkaji terlebih dahulu tempat yang korang nak pergi tu. Selain itu, korang haruslah sentiasa berhati-hati dan menjaga adab semasa berada di tempat tersebut. Hal ini kerana, tidak semua tempat itu membolehkan pengunjung yang datang berbuat sesuka hati mereka seperti yang telah kami berikan kat senarai di atas ini. Benda simple, kalau kita buat benda baik, selalunya kita akan selamat.