Lima filem P. Ramlee yang sering menjadi tontonan bersama keluarga

Apabila kita bercakap tentang Allahyarham P Ramlee, tentulah lakonan dan lagu-lagunya bermain di minda. Kita dibesarkan dengan filem-filem P Ramlee, dan begitu juga generasi sebelum ni. Nampaknya P Ramlee turut diminati oleh generasi muda yang ada pada hari ini, benarlah orang berkata; P Ramlee akan hidup 1,000 tahun lagi kerana keagungan karya yang dia cipta. Tentu sahaja banyak filem yang akan kekal diingatan kita, untuk mengimbau lagi kenangan yang ada tu, hari ni kami bawakan beberapa filem terbaik P Ramlee yang selalu jadi pilihan untuk ditonton bersama keluarga…

1. Panggilan Pulau, kisah pengembaraan penjaga kuda yang nak ubah taraf hidupnya

Filem ni antara filem Melayu klasik bercorak pengembaraan yang dilakonkan oleh P Ramlee, Normadiah, Latifah Omar dan Yusof Latiff. Filem ni berkisar mengenai seorang penjaga kuda yang berazam untuk mengubah taraf hidupnya kerana dihina golongan yang kaya.

Via SFLA

Dia akhirnya menjadi kelasi kapal dan berjaya menjumpai harta karun yang tersorok kat Pulau Kazambo. Lagu evergreen daripada filem ini termasuk Bulan Dan Juga Angin, Dengarlah Gemala Hati dan Mengapa Pilu Saja.

2. Hang Tuah, filem warna-warni pertama Studio Jalan Ampas

Filem arahan Phani Majumdar ni adalah filem Melayu pertama terbitan Studio Jalan Ampas dalam format warna-warni Eastman Colour. Macam yang korang dah tahu, filem ni tentang kesetiaan Hang Tuah pada Sultan Melaka. Rasa teruja sikit bila tengok, sebab ada warna-warni, biasanya hitam putih je. Kami suka filem ni, lebih-lebih masa Hang Tuah lawan Taming Sari.

Filem ni memenangi trofi Skor Muzik Terbaik pada Festival Filem Asia 1956 di Hong Kong selain menyertai Festival Filem Berlin Ketujuh tahun yang sama dan menerima pencalonan Golden Bear. Antara lagu merdu dalam filem ini adalah Berkorban Apa Saja dan Joget Pahang.

3. Sergeant Hassan, filem yang beri penghormatan pada Askar Melayu Diraja

Sebelum ada filem Rambo, kita ada filem Sergeant Hassan, filem yang mengisahkan seorang askar yang cekal dan power dalam menumpaskan musuh. Dengan plot bertumpu kepada penjajahan Jepun kat Tanah Melayu pada era Perang Dunia Kedua, Sergeant Hassan diarah dengan cemerlang oleh P Ramlee bersama Lamberto Avellana.

Via Youtube

Turut membintangi filem ini ialah Saadiah, Salleh Kamil dan Jins Shamsuddin. Filem ni dianggap satu penghormatan kepada Rejimen Askar Melayu Diraja. Lagu merdu daripada filem ini tidak lain daripada Tunggu Sekejap.

4. Pendekar Bujang Lapok, kisah tiga orang sahabat yang nak jadi pendekar

Filem ni adalah filem kedua dalam siri Bujang Lapok lakonan trio P Ramlee, Aziz Satar dan S Shamsudin. Pendekar Bujang Lapok mengisahkan tiga bujang terlajak – Ramli, Ajis dan Sudin pergi berguru seni silat dengan Wak Mustarjo sambil cuba memikat anak gadisnya, Rosmah (Roseyatimah). Babak yang kami tak boleh lupakan adalah ketika diorang tengah bertapa. COBAAAN.

Pendekar Bujang Lapok menggondol anugerah Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia 1959 di Kuala Lumpur. Lagu popular dalam filem ini adalah Malam Bulan Di Pagar Bintang, Maafkan Kami dan Pok Pok Pok Bujang Lapok.

5. Madu Tiga, kalau dua-dua merajuk, ana kahwin tiga!

Filem ni tentang kekecohan tiga madu, Latifah (Zaharah Agus), Hasnah (Jah Mahadi) dan Rohani (Sarimah) yang menjadi tulang cerita bagi karya popular arahan serta lakonan P Ramlee ini. Antara babak yang paling kami suka dalam filem tu adalah ketika ada seorang apek Cina ni nak bunuh diri, terus masuk kereta abang Jamil.

Madu Tiga sekali membuktikan ketokohan Seniman Agung di kerusi pengarahan genre komedi apabila diiktiraf sebagai Filem Komedi Terbaik pada Festival Filem Asia 1964 di Taipei. Lagu popularnya termasuk Madu Tiga dan Selamat Pengantin Baru.

Sebenarnya banyak lagi filem P. Ramlee yang power-power

Kalau nak diikutkan ada beberapa lagi filem P Ramlee yang buat kita gelak tak kering gusi, mungkin kami akan cover kat artikel yang lain. Kehebatan P Ramlee tak boleh dinafikan, dalam filemnya sering tersirat banyak pengajaran dan sindiran yang berguna. Agak-agaknya, akan adakah individu yang akan setanding dia pada zaman sekarang? Apa lagi filem P Ramlee yang korang suka? Cepat beritahu kami…

 

Beberapa maklumat dalam artikel ini diambil daripada artikel 10 Filem Teragung P Ramlee terbitan Harian Metro.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *