Kapal Taobao karam ketika bawa barangan, ini sebab orang jadi marah

S1

Kaki online shopping mesti kenal Taobao ni apa. Kalau tak tau, ia sebenarnya merupakan salah satu platform nak beli dan cari benda-benda murah khususnya produk dari China. Boleh dikatakan Taobao ni lebih murah dari Aliekspress, dan ramai penjual Shopee dan Lazada gunakan Taobao sebagai ‘pasar’ nak cari barang murah sebelum dijual semula kat korang.

Kapal sarat bawa kargo produk karam tengah jalan…

Suatu mimpi ngeri buat para pengguna Taobao khususnya kepada penjual dan pembeli langsung dari Taobao apabila kapal yang penuh muatan seberat 879 tan karam di Sungai Minjian berdekatan dengan bandar Fuzhou pada 20 November lalu. Kejadian tu berlaku kira-kira pada jam 9 malam, ia dikatakan terlanggar sebuah kapal pengangkut pasir.

Kapal Shenzen Taobao
Via World of Buzz

Peristiwa kapal ‘Shenzhen’ tersebut, dinamakan sempena sebuah bandar di China ni bukan je menyebabkan kerugian besar buat para penjual dan pembeli, malah ia turut mengakibatkan kehilangan 2 nyawa. Mangsa tersebut adalah warga Taiwan iaitu pegawai kapal Zhang Zhimao dan staf dapur Liu Xiaohua. Tujuh lagi cedera namun sempat diselamatkan dan kini sedang menerima rawatan di hospital.

Setakat ni, tak diketahui lagi punca sebenar kejadian malang ni berlaku. Menurut Mustsharenews, kapal lagi satu cuba untuk jauhkan diri, tapi gagal kerana kegagalan sistem. Walaupun kapal tersebut adalah syarikat milik Taobao, boleh dikatakan servis mereka ni tip top jugak. Ditambah lagi dengan kehilangan nyawa krew kapal, kami boleh bayangkan betapa teruk kemalangan tu.

Jualan 11.11
Jualan 11.11 antara promosi paling laris kat dunia. Via Forbes

Taobao lambat maklumkan, janji bayar ganti rugi…

Memandangkan kapal Shenzhen yang bawa kargo lepas orang dah habis membeli belah dalam talian dalam promosi 11.11 dulu dah karam, barang pun semua dah lesap. Kalaulah ada pun yang dapat dikutip balik, sudah semestinya dah rosak dan lebih baik je bayar ganti rugi terus.

Taobao Kargo Karam
Via Redchili.my

Namun bagi kami, Taobao patutnya lebih pantas nak kawal situasi tak terduga macam ni. Menurut Sinchew (dan diterjemahkan oleh seorang pengguna Lowyat), Taobao hanya maklumkan perkara ini 8 hari selepas berlakunya kejadian tu. Selain dari tu, kenyataan rasmi Taobao hanya dikeluarkan lepas lebih dari 100 pelanggan Taobao mulai bertanya-tanya status barang mereka termasuklah para pelanggan di luar tanah besar China.

Ganti rugi tu akan disalurkan semula menerusi Alipay, tapi kami rasa para pelanggan masih boleh cuba kaedah lain yang akan disarankan oleh krew perkhidmatan pelanggan mereka. Lagipun, kejadian ni adalah kali pertama Taobao ada masalah nak hantar barang.

Taobao Header Helpline
Via Marketing Interactive

Jika korang nak tau jika barang yang korang beli tu ikut karam jugak, korang boleh semak dari akaun Taobao ataupun tanya kat ejen penjual korang. Ye, ni pun termasuklah ejen penjual dropship barangan dari China yang banyak kat Shopee dan Lazada. Boleh jadi barang yang orang beli dari mereka adalah dari Taobao.

Boleh jual barang dari Taobao guna kaedah dropship

Baru-baru ni Dr. Mahathir ada sebut pasal golongan miskin kena pandai cari duit dan tak semata-mata harapkan bantuan kewangan dari kerajaan. Memetik ucapannya;

“…Mereka mempunyai masa yang cukup untuk berusaha, kalau daripada satu punca mereka tidak dapat mengatasi masalah mereka, kita akan tentukan ada punca lain yang memberi pendapatan kepada mereka… Sesungguhnya, mereka yang miskin mempunyai masa yang panjang untuk melakukan lain-lain kerja.”- Dr. Mahathir, seperti yang dilaporkan oleh Awani pada 2 Disember 2019

Mahathir Berucap
Via Utusan Borneo

Rata-rata warganet agak beremosi bila nampak tajuk berita seolah kerajaan nak salahkan orang miskin sebab taknak berusaha. Ye lah, sebelum ni Dr. Mahathir juga yang kata Melayu malas. Tapi dalam konteks ni, dia sebenarnya kata kerajaan akan tetap bantu golongan miskin ni di samping beri mereka lebih banyak peluang pendapatan.

Idea dropshipping ni boleh jadi salah satu cara korang nak cari duit secara mudah. Malah, dah ramai orang jelaskan pasal macam mana nak jana duit depan skrin telefon je. Tak payah kumpul modal banyak, hanya perlu rajin. Korang cari je kat Google, segala macam alternatif dan tips dah terpampang sedia untuk korang.

Cara Sistem Dropship Mudah
Bagaimana dropship berfungsi? -Via ecubestore

Secara ringkasnya, korang akan pilih dulu beberapa pilihan barang yang akan korang jual kat platform e-commerce (Shopee/Lazada/kedai online korang sendiri). Nak jual beg ke, baju ke… terpulang kat korang. Kemudian, pembeli akan pesan dari kedai online korang. Seterusnya, pesanan tu akan diberi kat pembekal dan dihantar terus ke rumah pelanggan.

Haa…mudah kan? Korang hanya perlu urus bahagian ‘depan’ urusan pembelian tu je iaitu dengan para pelanggan. Yang selebihnya, pembekal akan uruskan stok dan penghantaran terus ke tangan pembeli. Tak payah simpan barang, tak payah hari-hari ke pejabat pos.

Via Giphy

Ruang perbaiki diri dan cari duit semakin luas, kena kreatif…

Terima kasih dengan Internet dan globalisasi, orang dah boleh dapat sijil dari universiti berprestij dunia seperti Oxford dan Harvard dalam talian je. Nak cari kuliah profesor ternama, cari je kat Youtube. Nak tonton video informasi sepantas 1 minit, bolehlah langgan kat saluran Youtube kami. Begitu juga dengan cara nak cari duit; yang penting kena rajin berusaha, ada model perniagaan yang kukuh serta kreatif, dan yang paling penting, tak mudah berputus asa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *