Pasangan popular Johnny Deep dan bekas isterinya Amber Heard dulu seringkali dipuja seperti pinang dibelah dua. Tapi sejak beberapa tahun lalu, hubungan mereka retak berkecai apabila munculnya dakwaan dan spekulasi mengejutkan tentang kedua-dua artis Hollywood ni. Berlaku jugaklah kes saman-menyaman antara satu sama lain, dan kedua-dua mereka pun dikecam oleh para peminat Amber Heard dan Johnny Depp.
Apa yang kita boleh belajar dari kisah mereka? Jom baca kupasan kami…
Pasangan Heard-Depp bahagia sementara, Depp dituduh pukul Heard manakala Heard pun dituduh pukul Depp jugak
Siapa tak kenal Johnny Depp dan Amber Heard? Haa… rasanya tak perlu diperkenalkan lagi kedua-dua artis Hollywood ni. Johnny Depp, popular dengan banyak filem meletup dulu seperti Pirates of the Carribean, Charlie and the Chocolate Factory dan Edward Scissorhands ni dah lama berkecimpung dalam dunia layar perak. Bekas isterinya, Amber Heard pula lebih popular dalam lakonan filem Aquaman dan Justice League.
Johnny Depp dan Amber Heard bertemu dalam set filem ‘The Rum Diary’ pada 2011, kemudiannya berkahwin di Los Angeles pada Februari 2015. Pada 2016, Amber failkan perceraian mereka atas alasan penderaan domestik. Tak cukup dengan tu, dakwaan dan spekulasi semakin memuncak apabila ramai yang membela nasib Amber Heard serta mengecam Johnny Depp.
Ketika tu ramai yang marah kenapa Johnny Depp masih lagi ditawarkan watak dalam filem popular seperti dalam ‘Fantastic Beast: Crimes of Grindelwald’. Pada mulanya Johnny Depp tak hiraukan sangat dakwaan tersebut dan lebih mendiamkan diri ketika ramai kecam dia.
Namun sesudahnya The Sun menyiarkan sebuah artikel pada April 2018 yang menuduh dirinya ‘pemukul isteri’, dia saman The Sun dan editornya Dan Wootton. Memandangkan tu turut mengaitkan dirinya dengan Amber Heard, maka Amber Heard pun terpalit sama dalam perbicaraan kes libel tu kerana Johnny Depp beranggapan Amber Heard menipu menerusi artikel tersebut.
Selepas tu, lebih ramai orang menyokong Johnny Deep dan menyatakan bahawa Amber Heard pun kuat maki Johnny. Di samping tu, Amber jugak dikatakan memukul, menumbuk dan mencederakan jari Johnny Depp dengan sebotol kaca sehingga boleh nampak tulang.
Menurut kefahaman kami, kebanyakan insiden ganas ni berlaku lepas parti ulang tahun kelahiran ke-30 Amber Heard di mana mereka dikatakan bergaduh teruk. Namun begitu, kisah Amber Heard jugak tak boleh ditolak terus sebab ramai tau masa tu, Johnny Depp jugak tengah bertarung melawan masalah ketagihan alkohol dan dadah. Oleh tu pada awalnya, ramai yang percaya terus kata-kata Amber Heard.
Antara dakwaan Amber Heard ke atas Johnny termasuklah menyerang dan memukul Amber ketika mabuk serta memanggil Amber seorang perempuan sundal kerana bersetuju berlakon bersama James Franco dalam filem ‘The Adderall Diaries’ pada 2015. Amber kata Johnny cemburu buta, manakala Johnny menafikan keseluruhan peristiwa memukulnya semasa dalam penerbangan peribadi dari Boston ke Los Angeles. Johnny kata dia tak cemburu, sebaliknya rasa terkejut kerana Amber pernah kata James Franco ni gatal.
Johnny Deep turut saman Amber Heard dengan tuntutan sebanyak 50 juta dolar Amerika pada 2019 selepas tersiarnya sebuah artikel mengenai penderaan domestik yang ditulis oleh Amber dalam The Washington Post. Walaupun Amber tak menamakan Johnny secara langsung, tetapi Johnny tau Amber tengah cakap pasal dirinya.
Cuma kes ini masih lagi dalam perbicaraan, cuma dah ada video yang menunjukkan keganasan berlaku di dua-dua belah pihak. Kita boleh lihat Johnny kata ada kecederaan dan Amber Heard pun turut dakwa benda yang sama. Maksudnya “kecederaan dalam perkahwinan” boleh berlaku di kedua-dua pihak, dan tak semestinya berlaku kepada wanita je, seperti yang selalu kita dengar.
Penderaan domestik terjadi tak hanya kepada wanita, lelaki pun sama jugak
Sedangkan dalam kalangan artis Hollywood ni pun wujud jugak penderaan domestik, apatah lagi orang yang tak sepopular dan sekaya mereka. Penderaan domestik ni tak hanya terjadi kepada wanita je, lelaki pun boleh kena jugak tau. Keganasan rumah tangga ni memang wujud kat Malaysia ni, khususnya apabila lelaki menjadi mangsa.
Dalam artikel Hellodoktor, rupanya penderaan ke atas suami ni bukanlah perkara baharu. Mungkin kerana tak ramai yang berani tampil bersuara dan stigma yang melingkari isu tersebut, ramai mangsa lelaki yang didera isteri lebih suka mendiamkan diri. Pada tahun 2014 hingga 2016, 26% daripada 15,617 kes keganasan rumah tangga ni melibatkan penderaan suami oleh isteri.
Dari Jun 2017 hingga Jun 2018 pulak, Jabatan Kebajikan Masyarakat merekodkan sejumlah 56 lelaki menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Daripada keseluruhan kes itu, ia melibatkan 484 kes mencederakan mangsa secara fizikal dan 401 kes sengaja meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan.
“Manakala sebanyak 69 kes adalah penderaan secara psikologi dan emosi serta melakukan khianat atau merosakkan harta dengan niat menyebabkan kesedihan dan kegusaran sebanyak 30 kes,”- Hannah Yeoh, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, seperti yang dilaporkan Astro Awani pada 21 Mac 2019
Terbaharu, dilaporkan sebanyak lima daripada 90 kes keganasan rumah tangga ni membabitkan kaum lelaki sebagai mangsa. Dr. Siti Mariah Mahmud, Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor yakin banyak lagi kes sebegini terjadi namun tak dilaporkan.
Selain dari stigma masyarakat yang seolah merendahkan nilai diri lelaki apabila laporkan diri kena dera, ramai yang tak nak buat laporan sebab masih sayangkan isteri. Ada jugak isteri tu yang memang menghadapi masalah mental dan perlu bantuan kaunseling, malah sesetengah mangsa berpandangan tindakan isteri tersebut berpunca dari salah lelaki tu sendiri.
Mangsa jugak mungkin tak dapat sokongan dari keluarga dan tak nak rumah tangga yang dibina tu diakhiri dengan perceraian. Faktor anak-anak yang dikhuatiri terkesan dengan perceraian jugak membuatkan mangsa tak nak buat apa-apa laporan ke atas isterinya.